Friday, September 11, 2009

Noraniza Beraya Tanpa Anak Di Sisi

"Anak-anak Kak Ani akan beraya bersama keluarga sebelah ayahnya dan setiap tahun pun begitu sejak kami berpisah. Kak Ani mengalah kerana merasakan mereka akan lebih menikmati suasana raya di sana.


"Jika dengan Kak Ani, tiada apa yang ingin diraikan kerana Kak Ani sentiasa sibuk dengan aktiviti seni. Jika dulu mungkin Kak Ani terasa sangat kehilangan mereka namun lama kelamaan, Kak Ani lebih tenang kerana fikirkan mereka berada di tempat yang selamat," ujar Noraniza Idris ketika ditemui pada Majlis Meraikan Anak-Anak Yatim dan Wartawan di Hotel De Palma Ampang.

Bersendirian di Aidilfitri tidak memberikan kesan kepadanya kerana beliau akan berusaha membiarkan diri dihujani pelbagai aktiviti dan undangan nyanyian. Namun katanya, setiap hujung minggu, janji temu dengan anak-anak adalah kemestian yang harus dilakukan.

"Bila hidup bersendirian, Kak Ani jadi lebih yakin untuk membuat keputusan mengenai sesuatu perkara. Kak Ani mampu berdikari tanpa bantuan sesiapa kerana hampir semua masalah akan diselesaikan sendiri termasuk tekanan hidup.

"Tidak dinafikan ramai yang cuba mendekati, tapi buat masa ini, Kak Ani lebih selesa bersendirian. Yang Kak Ani dapat lihat lelaki yang nak mendekati ada agenda mereka sendiri dan Kak Ani tak dapat rasa keikhlasan mereka. Mungkin mereka hanya ingin merasakan bagaimana rasanya apabila berdampingan dengan artis.

"Namun jodoh atas ketentuan Tuhan. Hati Kak Ani hanya terbuka kepada insan yang sesuai dan cukuplah jika dia seorang yang mengambil berat dan boleh membimbing di dalam kerjaya dan agama," luah Kak Ani setelah mahligai selama 18 tahun yang dibina berkecai tiga tahun lalu.

Walaupun kini telahpun memakai tudung, namun masih terdapat suara-suara nakal yang menyentuh soal pemakaiannnya yang dilihat tidak sesuai dengan imej bertudung.

"Pernah berlaku dalam satu persembahan live di salah sebuah stesen tv di mana baju yang perlu dipakai Kak Ani mengecut selepas dihantar ke dobi. Nak tak nak, Kak Ani kena pakai baju tersebut dan Kak Ani sendiri sedar macam balut nangka ketika itu. Tahan malu sajalah.

"Kak Ani sangat menghargai mereka yang menegur dan Kak Ani juga perlukan teguran agar tak tersasar dari landasan. Pakaian yang Kak Ani kenakan hanyalah mengikut kesesuaian persembahan di atas pentas dan perlu menyanyi dan menari dalam masa yang sama. Lagipun Kak Ani adalah penyanyi etnik dan bukannya penyanyi nasyid," ujar penyanyi berusia 41 tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: