
PAPARAN kisah panas, hangat serta kontroversi, soalan-soalan merapu atau kurang diterima akal, tidak sensitif kepada perasaan orang lain dan sanggup mempersembahkan berita-berita murahan demi mencatatkan jumlah penonton yang tinggi.
Itu semua tuduhan percuma yang dilemparkan ke atas program hiburan sensasi, Melodi lewat kebelakangan ini.
Mahu tidak mahu, ia harus diterima oleh seluruh tenaga produksinya apatah lagi Melodi memang 'berjuang' dengan konsep sedemikian. Lantang bersuara, menyoal dan mengkritik setiap perkara yang jelek di depan mereka tanpa ada sebarang belas ihsan.
Gara-gara tindakan berani wartawan-wartawan Melodi yang gemar bertanyakan soalan berbentuk provokasi, ada sahaja peminat termasuk sebilangan penggiat seni tanah air yang menggelengkan kepada tanda tidak bersetuju dengan stail dan pengolahannya yang sudah bersiaran lebih satu dekad lalu.
Dengan kehadiran anak bulan Syawal yang akan bertemu titiknya tidak lama lagi, lantas timbul tanda-tanya apakah Melodi untuk siaran Hari Raya nanti masih menebal dengan pendirian untuk menghidangkan berita hangat demi meraih tumpuan umum?
Menjawab kepada persoalan itu, wartawan yang terkenal dengan segmen Terjah merangkap penerbit Melodi Raya pada tahun ini, Nas Ahmad memberitahu bahawa program itu tidak akan menayangkan cerita yang panas dan sensasi semasa Hari Raya nanti.
"Memang kita sering terdengar persepsi masyarakat yang beranggapan kurang manis apabila Melodi Raya menyiarkan berita-berita yang hangat sempena bulan Syawal.
"Lantaran itu, kami di Melodi Raya yang mengenengahkan tema Simfoni Dalam Sensasi ingin menyejukkan berita yang panas agar tidak terlihat keterlaluan.
"Kalau boleh kami hendak mengelakkan diri daripada memaparkan benda-benda berkaitan kontroversi dalam Melodi Raya termasuk berkaitan artis bercerai-berai atau bergaduh," terang Nas ketika ditemui sebelum rakaman program berkenaan diadakan di pekarangan Taman Tema Sunway Lagoon, Sunway, Petaling Jaya, Selangor 28 Ogos lalu.
Menyambung bicara tentang perjalanan Melodi Raya, beritahu Nas, rakaman program sebanyak dua episod dengan durasi sejam untuk setiap satunya itu menampilkan konsep tersendiri.
"Kita masih menekankan pembabitan dan gabungan artis generasi baru serta lama dengan atmosfera tetamu seperti berada dalam sebuah perkampungan moden di tepi pantai.
"Cuma yang bezanya Melodi Raya pada tahun ini apabila kami menampilkan 70 peratus kandungan daripada episod pertama dengan acara nyanyian yang diserikan dengan beberapa artis popular tanah air.
"Manakala 30 peratus lagi kami akan menyajikan penonton dengan paparan berita yang disampaikan oleh skuad Melodi sendiri pada majlis ini.
"Untuk episod kedua pula, sebanyak 70 peratus diperuntukkan untuk berita terbaru dan selebihnya adalah sambungan persembahan nyanyian.
"Satu lagi keistimewaan Melodi Raya pada tahun ini adalah dengan kemunculan semula bekas-bekas pengacara dan peyumbang suara latar yang pernah terlibat dengan Melodi sejak dulu hingga ke saat ini.
"Mereka terdiri daripada Datuk Mahathir Lokman, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Adiel Abdul Ghafar, Raja Azura, Faizal Ismail, Tabah Syazwan dan lain-lain.
"Mereka juga turut bergandingan dengan pengacara Melodi sekarang iaitu Fara Fauzana dan Wahid dalam rakaman Melodi Raya ini," jelas Nas tentang pembaharuan yang ditonjolkan untuk program berkenaan.
Dalam pada itu, anggota skuad Melodi yang dibarisi oleh Michelle Wee, Azmi Jamsari, Zuan Azmi, Zamzuri (Ayau) dan Nas sendiri akan ditampilkan dalam situasi lain sempena rancangan yang dikhaskan untuk Hari Raya nanti.
Kalau sebelumnya mereka hanya tampil menggalas tugas kewartawanan, sebaliknya Melodi Raya bakal menonjolkan sisi lain mereka.
Melodi Raya tukar lokasi 2010
Selepas dua kali, Melodi mengadakan rakaman luar untuk Melodi Raya, nampaknya tahun depan seluruh tenaga produksinya bakal kembali ke lokasi tertutup seperti empat tahun sebelumnya.
Bermula tahun 2008 dan 2009, Melodi Raya menjadikan latar di Taman Tema Sunway Lagoon sebagai tempat rakaman, perubahan untuk 2010 itu perlu dilakukan bagi memberi keselesaan kepada artis-artis dan para tetamu yang hadir.
![]() |
| GANDINGAN Fara Fauzana dan Wahid yang sentiasa menghangatkan. |
Memang ada kebenarannya soal tersebut. Apabila bercakap tentang perlaksanaan sebarang acara yang terdedah ditambah berada di bawah terik mentari mahupun sinaran rambulan pada waktu malam, macam-macam boleh berlaku. Malah terdapat 1001 kemungkinan yang boleh menimpa.
Kebiasaannya ia dikaitkan dengan faktor cuaca yang tidak menentu sekali gus menyebabkan setiap rencana yang sudah siap menerawang di kepala akan lekas terbantut.
Menurut Nas, perasaan bimbang sudah pasti menyelubungi seluruh tenaga produksi Melodi yang mahu mengadakan rakaman Melodi Raya di kawasan terbuka.
"Dengan keadaan cuaca sekarang yang kurang elok maka saya yang pertama kali bertanggungjawab mengendalikan program Melodi Raya ini pastinya berasa berdebar-debar.
"Saya cuma boleh berdoa agar rakaman Melodi Raya yang diadakan untuk kali kedua di Taman Tema Sunway Lagoon ini berjalan lancar tanpa berdepan dengan sebarang masalah.
"Yang pasti pada tahun depan krew Melodi sudah membuat keputusan untuk tidak lagi menganjurkan Melodi Raya di tempat yang terbuka.
"Ia tidak senang seperti yang orang lain tengok. Malah saya lihat rakaman Melodi Raya di luar studio merupakan satu tanggungjawab yang sukar dan tidak boleh dipandang ringan.
"Ia ibarat meletakkan kepala sendiri untuk dipenggal," katanya sambil tertawa kecil.
Antara artis generasi baru yang membuat persembahan pada acara Melodi Raya itu ialah Aizat, One Nation Emcees, Fabulous Cat dan kumpulan Butterfly.
Manakala artis generasi dewasa pula menampilkan Amy Mastura, Aishah, Fazley, Junainah M. Amin, Aman Shah, Ramlah Ram, Jay Jay, Datuk Shake, kumpulan Balle Balle, Elite, Kristal dan Sweet Charity dan Hijjaz.
Melodi Raya juga tidak terkecuali menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000 setiap seorang kepada tiga orang artis yang dilanda kesempitan hidup dan menderita akibat penyakit tertentu.
Mereka ialah Jamaludin Sulik (Seri Bayu), Abdul Karim Abdul Latif (Karim Latif) dan Nurul Kamal Mohd. Zainuddin (Kamal Pendek). Selain itu, seorang peminat setia Melodi, Siti Nor Fatimah Mokhtar juga menerima sumbangan bernilai RM5,000.
Selain individu dan perseorangan, dua buah rumah kebajikan iaitu Asrama Baitul Ummah, Setapak Indah dan Pusat Jagaan Titian Kaseh, Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur juga menerima wang sumbangan ikhlas berjumlah RM5,000.
Episod pertama Melodi Raya bakal bertandang di kaca televisyen penonton pukul 12.30 tengah hari di TV3 pada Hari Raya Pertama yang dijangka pada 20 September nanti manakala episod kedua pula pada 27 September.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: