
MANILA – Sebahagian besar bandar raya Manila semalam ditenggelami banjir iaitu yang terburuk sepanjang tempoh 40 tahun lalu dengan 100 orang terbunuh.
Menurut beberapa pegawai, hujan lebat turun sejak kelmarin menyebabkan paras air mencecah enam meter dan menyebabkan lebih 330,000 penduduk terpaksa menyelamatkan diri.
Bencana dahsyat itu mengakibatkan ribuan rumah penduduk miskin di beberapa kawasan penempatan setinggan dan pinggir bandar raya musnah manakala 73 orang disahkan terbunuh.
Presiden Gloria Arroyo mengarahkan kerja menyelamat perlu diselesaikan menjelang malam namun tinjauan dari udara menunjukkan masih ramai gagal dipindahkan ke tempat selamat.
“Saya tidak pernah menyaksikan banjir seburuk ini di Manila,” kata seorang sukarelawan Palang Merah Filipina, Dave Barnuevo yang ditugaskan di Marikina, timur bandar raya itu.
Beliau berkata, banjir itu mungkin mengambil masa lama untuk surut kerana airnya berlumpur dan agak deras.
Seorang wanita eksekutif bank, Rachelle Solis, 35, yang masih terkejut memberitahu pemberita, dia dan dua anaknya berusia enam dan lapan tahun nyaris dibawa arus kuat banjir itu.
“Kami menyangka akan mati kerana air naik begitu cepat. Anak-anak saya terus menangis dan kami tiada pilihan kecuali naik ke bumbung apabila bantuan lambat tiba,” katanya.
Penduduk yang tidak sabar menunggu pasukan penyelamat mengambil tindakan meredah arus banjir termasuk membawa anak-anak dan barangan yang diletak di atas kepala.
Beberapa lelaki dilihat menjadikan bumbung kereta sebagai rakit dan berusaha menyelamatkan diri dengan menggunakan tali di jalan raya yang bertukar menjadi sungai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: