Monday, September 28, 2009

Kongsi pengalaman




Eja, Maya Karin hormati sikap suami yang enggan tonjolkan diri kepada umum

LIMA tahun lalu, Eja dan Maya Karin pernah digandingkan bersama dalam sebuah majalah hiburan. Ketika itu, Maya masih solo, manakala Eja tetap tidak mahu mendedahkan status sebenar dirinya. Mereka juga tidak pernah berlakon sama.

Sekarang, Maya menjadi isteri kepada Muhammad Ali Abdullah. Eja pula akhirnya mendedahkan dirinya kini adalah suami kepada Mohd Silahuddin Jamaluddin. Pengakuan Eja atau Siti Shahrizah Saifuddin itu bukanlah satu kejutan. Namun, yang mengejutkan ialah mengenai dirinya yang sudah berbadan dua.

Perkahwinan Eja, 37 dengan suaminya lebih 10 tahun akhirnya diserikan dengan kehadiran anak sulung pada 3 September lalu. Bayi comel yang diberi nama Nur Eishal itu menjadi pengikat kasih sayang antara Eja dan Mohd Salihuddin. Lucunya, pelakon drama Wadi Unung ini sambil berseloroh mengakui kehadiran anak membuatkan dirinya menjadi kelam kabut seperti kartun.

Bagi Maya pula ini tahun kedua dia menyambut Aidilfitri sebagai seorang isteri. Lumrah apabila selebriti menamatkan zaman bujang, Maya yang akan genap 30 tahun pada Oktober nanti juga tidak lepas ditanya mengenai perihal terbabit.

Istimewa mengambil mood berhari raya, mereka bergaya klasik dengan busana tajaan Zainal Abd Rahman. Kalau sudah cantik, letakkan apa saja untuk membaluti tubuh mereka nescaya akan terpancar juga pesona dua profil yang dikurniakan seraut wajah jelita itu.

Maya pernah diberi label sebagai ratu filem, sedangkan Eja pula pernah digelar ratu drama.

Bersama Hip, dua wanita ini bercerita mengenai kehidupan mereka termasuk kisah lelaki istimewa di dalam hidup mereka.

Bagi Eja yang sedang dalam berpantang, dia dan suaminya tidak beraya di kampung suaminya di Ipoh, Perak sebaliknya meraikan hari lebaran di rumah mereka sendiri di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

“Memang lebaran kali ini memberikan suasana berbeza kepada keluarga saya kerana diceriakan dengan anggota baru. Kehadiran Nur Eishal melengkapkan hidup saya selepas bergelar isteri.

“Anak mengubah 100 peratus diri saya, termasuk soal masa, tidur dan makan. Selepas raya dan apabila saya sihat sepenuhnya, saya akan undang rakan media untuk memperkenalkan anak ini,” kata Eja yang dijangka menyambung baki penggambaran drama Tasbih Cinta arahan Erma Fatimah sekitar November atau Disember ini.

Eja secara berseloroh berkata dia cemburu kerana suaminya yang semakin teruja bergelar ayah lagi selepas dikurniakan dua orang anak menerusi perkahwinan pertamanya.

Dalam pada itu, Eja menjelaskan mengenai prinsip suaminya yang tidak mahu mendedahkan diri kepada media. Begitupun, katanya, bukanlah pelik jika dia dan suaminya biasa dilihat oleh orang ramai kerana sebagai isteri, kadang-kadang perlu menemani suami menghadiri acara tertentu.

“Saya menghormati pendirian suami. Lagipun dia bukannya selebriti pun. Dia ada kerjaya sendiri dalam dunia korporat. Rasanya, tidak sesuai untuknya selalu berada dalam dunia saya.

“Tidak timbul istilah jika dia tidak selalu berada di sisi saya, bermakna dia tidak menyokong kerjaya seni saya. Selama ini, selain keluarga, suamilah yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya untuk berjaya dalam bidang seni,” kata Eja.

Tidak selesa tayang suami

Bagi Maya Karin yang bakal muncul dengan filem terbaru lakonannya berjudul Pisau Cukur pada November ini, dia beraya di apartmennya di Kuala Lumpur kerana rumah keluarganya di Sungai Penchala sedang diubahsuai.

Mengamalkan kesederhanaan, Maya memberitahu dia hanya memakai baju raya yang masih belum dipakai tahun lalu tetapi untuk membelikan dua pasang baju Melayu baru untuk suaminya. Berbanding tahun lalu yang agak kelam kabut kerana menyambut raya beberapa bulan selepas berkahwin, kata Maya, tahun ini lebih teratur.

“Selepas raya, saya terbabit dengan promosi Pisau Cukur. Tahun ini tiada rezeki berlakon filem. Filem Jula Juli (tajuk sementara) arahan Osman Ali masih tergendala buat seketika. Tahun ini, saya sempat berlakon sebagai cameo untuk filem Magika.

“Kerjaya nyanyian semakin baik. Kebetulan lagu Nyanyikan Lagu Mu ciptaan Ng Ching Ching dan Wong Seng Jinn yang dinyanyikan untuk pertandingan Pencarian Lagu 1Malaysia Kita anjuran Hot FM mendapat maklum balas positif di kalangan peminat dan internet,” katanya. Bagaimanapun, pada tahun 2010 nanti, Maya mengakui dia kembali sibuk kerana ada beberapa projek sudah menantinya.

Mengenai kehidupan berkeluarga, pelakon ini, mengakui belum bersedia sepenuhnya untuk menimang cahaya mata.

“Saya suka tengok bayi. Sudah tentu saya ada keinginan menimang anak sendiri. Cuma pada masa sama, saya akui belum 100 peratus untuk ke arah itu,” kata pelakon yang juga aktivis alam sekitar itu.

Mengenai suaminya, Maya bersetuju dengan pendapat Eja bahawa suami bukan milik umum kerana yang bergelar selebriti hanya mereka. “Saya sudah menjalankan tugas dengan menghebahkan hari bahagia saya dan memberitahu serta memperkenalkan suami saya. Kini, saya berhak untuk menghormati pendirian suami yang tidak mahu mendedahkan diri kepada umum. Saya tidak selesa dan segan menayang suami. Seperti wanita lain yang mempunyai suami yang ingin bebas tanpa terikat dengan dunia yang saya ceburi.

“Sesekali ada juga majlis dihadiri suami saya. Dia pun sebenarnya tidak selesa menghadiri majlis yang dihadiri ramai orang lebih-lebih lagi dia jenis yang tidak sukakan perhatian. Buat apa saya nak paksa dia hadir ke sesuatu majlis, kalau dia tidak mahu,” kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 (2004) dan Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Sepanyol (2005).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: