| JIKA dulu RTM hanya sesuai untuk tontonan golongan veteran, gambaran itu sudah berubah berikutan kehadiran personaliti berpengalaman dengan imej bertudung lebih ceria dan moden. |
Dengan perubahan awal tahun ini, status stesen penyiaran utama negara itu kini lebih menyerlah melalui pelbagai program berkualiti ditayangkan sekali gus membolehkannya bersaing dengan stesen swasta lebih popular.
Bagi dua penyampai berita saluran nasional TV1, Norhaslina Ibrahim dan Siti Murni Abdul Aziz, bidang penyiaran menarik dan menawarkan peluang cerah untuk mencapai impian memiliki program televisyen dan perniagaan sendiri pada masa depan.
Tampil dengan imej moden wanita Islam yang sopan sewaktu membaca berita, kepuasan bekerja dan minat mendalam untuk menyampaikan maklumat terkini dan bermutu jadi keutamaan mereka berbanding mencari populariti.
Norhaslina atau lebih dikenali sebagai Ann, 27, berkata, profesion itu memudahkannya memahami psikologi dan emosi manusia serta mengkaji cita rasa orang ramai yang sentiasa mahu kelainan.
"Minat bidang ini jadi inspirasi mencapai impian lebih tinggi untuk menceburi perniagaan satu masa nanti. Buat masa ini, saya mahu timba pengalaman sebanyak mungkin dalam dunia komunikasi.
"Impian masa depan adalah membuka perniagaan sendiri, kopitiam, perkhidmatan dan agensi pelancongan kerana salah satunya berkait rapat dengan bidang diceburi sekarang," kata Haslina, bekas pengacara Agrotek.
Siti Murni, wartawan siaran langsung Parlimen, menyimpan hasrat menjayakan program sendiri pada masa depan sekalipun menyedari dia perlu bekerja keras di peringkat awal bagi memastikan impiannya tidak tinggal angan-angan.
"Pengalaman wartawan politik, penyampai berita wilayah dan saluran nasional membuatkan saya peka terhadap perkembangan global semasa. Buat masa ini, saya mahu memberikan persembahan terbaik bagi memastikan RTM menarik peminat pelbagai peringkat umur.
"Saya buat kajian sebelum siaran langsung, ini kerana bagi memastikan ia mudah difahami dan tidak mengelirukan," kata Siti Murni, memasuki tahun keempat bekerja dengan RTM.
"Pengalaman bekerja bersama stesen televisyen terutama lintas langsung dari Parlimen menjadikan saya lebih bersedia dengan perkembangan semasa."Sebelum penonton faham, penyampai perlu tahu apa hendak disampaikan. Kejelasan mesej mesti kukuh supaya penonton dapat menghayatinya dengan baik dan tidak keliru," kata Siti Murni, mula bertugas sejak 2006.
Lebih menarik, Murni membuat permohonan menjadi deejay radio, tetapi beralih kepada bidang pengacaraan selepas penerbit mengesan bakatnya lebih sesuai menjadi wartawan dan penyampai.
Walaupun baru 22 tahun, Murni, anak bongsu daripada tujuh beradik ini, berkata program impiannya adalah berdasarkan realiti serta isu perkembangan semasa dihadapi masyarakat negara ini.
"Bagi saya, ia mesti bermaklumat, menyentuh perasaan, penceritaan pengembaraan dan memberi kesedaran. Melaluinya, imej kewartawanan Malaysia lebih dihormati dan menjadi rujukan pelbagai pihak.
"Pengalaman mencabar membuat liputan beberapa pilihan raya kecil, memberikan gambaran lebih luas terhadap apa saya mahukan.
"Saya pernah ditegur penonton berikutan kesilapan sebutan baru-baru ini, tetapi saya minta maaf dan tidak berniat seperti itu. Saya tidak baca sebarang skrip kerana segala-galanya spontan ketika siaran langsung," katanya.
Harliza Ahmad, 28, tidak kesal menyertai RTM walaupun pernah berkhidmat selama empat tahun di Astro sebelum ini.
Profil serta kematangan mengendali situasi terbukti apabila dokumentari Al Muqaddim, menjalani penggambaran selama 34 hari di Poland, Hungary dan Romania tahun lalu, ditayangkan di Astro Oasis (saluran 106) tahun lalu.
"Walaupun rancangan atau program televisyen RTM dikatakan lebih sesuai untuk golongan berumur atau veteran, saya yakin banyak program ditingkatkan dengan pengisian lebih berkualiti mampu mengubah persepsi.
"Saya suka cuba sesuatu baru. Sasaran sekarang mahu menerbitkan dokumentari sendiri di RTM. Untuk masa depan, saya mahu mewujudkan perniagaan atau produksi milik sendiri dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan meminati bidang penyiaran.
"Lagipun, saya biasa bekerja sendiri sebagai menjadi penyelidik, menulis skrip dan suara latar, jadi saya tiada masalah meneruskannya," kata Harliza, pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) selama tiga bulan dari September hingga Disember tahun lalu.
>Profil
Nama: Siti Murni Abdul Aziz
Tarikh Lahir: 4 September 1986
Tempat Lahir: Kubang Kerian, Kelantan
Hobi: Menyanyi dan melancong
Kerjaya: Wartawan Penyiaran, Pengacara dan Penyampai Berita Nasional RTM
Nama: Nor Haslina Ibrahim
Tarikh Lahir: 21 November 1982
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Hobi: Membaca, tonton wayang dan melancong
Kerjaya: Penyampai Berita Nasional RTM
Nama: Harliza Ahmad
Tarikh Lahir: 16 Januari 1981
Tempat Lahir: Seberang Prai, Pulau Pinang
Hobi: Dengar muzik dan tonton wayang
Kerjaya: Penyampai Berita Nasional RTM
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: