Sunday, September 27, 2009

Jangan jadi seperti dinosaur


PEMENANG anugerah Industry Person of the Year 2007 dan Best Agency Personality of The Year (2007), Anthony Wong, kini menyandarkan harapan kepada kanak-kanak untuk memahami status alam sekitar hari ini.



JUNGLE LODGE di Alang Sedayu, Gombak, merupakan 'dendam' Wong kepada mereka yang mengambil mudah tentang alam semula jadi.


“PEJABAT saya tak pernah dipasang permaidani sejak mula beroperasi lebih 30 tahun lalu kerana penggunaannya hanya akan memerangkap habuk dan menyumbang kepada persekitaran yang tidak sihat. Merokok juga diharamkan dari awal di sini.

“Lampu yang kami pasang di pejabat pula menggunakan mentol yang menjimatkan tenaga elektrik dan tidak semuanya dinyalakan pada satu masa.

“Seboleh-bolehnya kami pakai cahaya semula jadi,” ujar Pengarah Urusan Kumpulan Asian Overland Services Tours & Travel Sdn. Bhd. (AOS), Anthony Wong.

Kalau menjenguk pejabatnya, anda pasti akan dikejutkan dengan penemuan sebuah mangkuk berisi telur yang dicampur dengan sebatian kimia berupa cat yang sudah kering tetapi tidak menghasilkan sebarang bau yang memualkan.

“Ini ialah bioteknologi untuk menunjukkan tidak ada bakteria di dalam pejabat saya,” katanya.

Murah dengan senyuman, bapa kepada empat orang anak itu juga mendedahkan bangunan yang menempatkan syarikatnya itu turut menerapkan penjimatan sumber dan tenaga dengan mengumpul air hujan dan menyalurkan air lebihan pendingin hawa ke tandas lelaki.

Nah, jelas sekali anak jati Kuala Lumpur yang membesar hasil kerja keras ibunya mencuci baju itu sangat cermat orangnya. Wong menerangkan, kehidupannya yang sukar sepanjang membesar banyak menyumbang kepada pembentukan kualiti itu.

Jatuh cinta dengan hutan

Sikapnya itu sebenarnya turut menterjemahkan kepekaannya terhadap perubahan yang sedang berlaku terhadap alam sekitar.

“Lihat apa yang berlaku di pantai Port Dickson, Pulau Perhentian, Pantai Cherating dan pantai-pantai lain di Malaysia. Masih sanggupkah anda berenang di dalamnya?” soalnya.

Usaha menimbulkan kesedaran awam tentang alam sekitar, kata Wong, sering mengecewakan, memaksa beliau membuka Jungle Lodge, Alang Sedayu di Gombak, Selangor pada tahun 1991.

“Ketika saya bekerja keras untuk menerangkan tentang perubahan sikap yang perlu dilakukan untuk memulihara alam sekitar, pendengar menunjukkan minat mereka. Tetapi rupa-rupanya mereka sekadar bermuka-muka.

“Apa yang dicakap dan apa yang dilakukan ialah dua perkara yang berbeza. Saya fikir, untuk membentuk kesedaran, perlu bermula di peringkat kanak-kanak,” jelasnya.

Mula jatuh cinta dengan alam semula jadi ketika kali pertama menjejakkan kaki ke dalam hutan, sehingga hari ini Wong sudah 37 kali sampai ke puncak Gunung Kinabalu di Sabah.

“Saya juga antara orang pertama meneroka Taman Negara tanpa pemandu ketika berumur 13 tahun,” ceritanya.

Malah ketika berumur 15 tahun, Wong sudah memiliki kerjaya sebagai pemandu untuk kumpulan pelajar antarabangsa meneroka hutan di sekitar Malaysia pada kadar bayaran RM10 sehari.

“Ketika berumur 19 tahun, saya dan kawan-kawan menubuhkan AOS yang menyediakan aktiviti riadah berbentuk lasak atau adventur dan pakej pelancongan. “Bagaimanapun, lima tahun kemudian, kami diisytiharkan bankrap. Rakan kongsi beralih kepada perniagaan lain, tetapi saya masih meneruskan perniagaan ini.

“Lima tahun juga saya ambil untuk membayar semula hutang berjumlah lebih RM200,000,” kongsi Wong.

Pada hari ini, hasil komitmen itu memberi Wong peluang menghabiskan masa sehingga tujuh bulan dalam setahun di lebih 80 negara.

“Saya kini ‘berlari’ antara tujuh syarikat. Ia satu kerja yang sukar,” kata pemilik hotel bertaraf empat bintang, Frangipani Resorts & Spa di Langkawi, yang diiktiraf dunia sebagai ‘hotel hijau’ yang menyokong status Geopark Langkawi yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pensyarah di Fakulti Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini sebenarnya lebih dikenali dalam industri pelancongan, insentif, dan konvensyen selain aktif berpersatuan.

Telefon pertama

Biarpun kedengaran konvensional, Wong menunjukkan celik teknologi yang tinggi. Malah dia menerima kehadiran teknologi dengan baik sekali.

“Kita tidak mungkin dapat mengelak daripada menggunakan teknologi. Ia penting. Gunakan teknologi untuk memulihara alam sekitar. Contohnya, air hujan yang dikumpul di bumbung bangunan.

“Bagaimana kita dapat menggunakannya semula? Kita tapis air hujan yang terkumpul menggunakan sistem penapisan yang melibatkan cahaya violet ultra. Ia teknologi paling mudah tetapi sangat efektif.

“Teknologi sama ada boleh berfungsi sebagai punca keburukan atau kebaikan, kita yang menentukannya. Ketika saya mula-mula menggunakan telefon bimbit versi PDA, pukul 3, 4 pagi pun belum tentu dapat tidur melayankannya. Saya sehinggakan merayu agar telefon itu ‘tidur’.

“Hakikatnya, saya boleh buat tidak tahu jika ia berbunyi sekali pun,” ujar Wong yang kini sudah beralih menggunakan kecanggihan sistem PDA menggantikan sistem buku rekod.

Pesan Wong yang memenangi anugerah Industry Person of the Year 2007 dan Best Agency Personality of The Year (2007): “Jangan jadi seperti dinosaur yang mati kerana tidak dapat beradaptasi dengan perubahan.”

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: