PARIS - Mesej cinta kepada perempuan simpanan dan kekasih kini boleh dijadikan bukti dalam kes perceraian di mahkamah Perancis terhadap suami yang berlaku curang.
Sekumpulan pakar berkata, keputusan Mahkamah Agung Perancis yang menerima perbualan telefon dan pesanan khidmat ringkas (SMS) sebagai bukti kecurangan dijangka menjadikan proses perceraian lebih mudah di Perancis.
Sebelum ini, pasangan suami isteri perlu menunggu sehingga bertahun-tahun untuk bercerai jika mereka tidak boleh membuktikan pasangan mereka berkelakuan tidak baik. Keputusan mahkamah itu tidak diketahui ramai pihak sehingga ia dilaporkan oleh media tempatan pada minggu lalu. Sebelum ini SMS sudah lama diterima sebagai bukti membabitkan kes pembunuhan dan lain-lain perbicaraan kes jenayah.
Komunikasi menerusi e-mel turut diterima sebagai bukti dalam perbicaraan.
Bercerai melibatkan proses yang lama dan menyakitkan hati terutama jika ada pasangan yang enggan berpisah secara sukarela.
Mereka perlu membuktikan pasangan mereka memberi layanan buruk, berlaku curang atau melakukan penderaan sebelum dibenar bercerai.
Jika hakim tidak berpuas hati, perceraian akan dibuat selepas dua tahun duduk berasingan tetapi sehingga 2004, undang-undang Perancis mengkehendaki pasangan berkenaan hidup berasingan selama enam tahun.
"Keputusan (Mahkamah Agung) itu sangat baik. Ia membantu pengumpulan bukti. Saya memberitahu kepada pelanggan, jika kamu menerima SMS yang menghina, ancaman dan lain-lain perkara, laporkan perkara itu kepada mahkamah," kata seorang peguam, Laurence Mayer.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: