SIAPA tahu gadis cantik dan berkulit putih mulus kelahiran Singapura yang dikenali sebagai Siti Zie, 23, ini akan menjadi sehebat aktres Nasha Aziz pada suatu hari nanti.
Namun muka baru dalam industri lakonan ini tidaklah menaruh harapan yang begitu tinggi dan cukuplah setakat dikenali.
“Saya memang kerap menonton filem dan drama dari Malaysia dan gemar mengikuti perkembangan industri seni hiburan di sini.
“Saya sangat menyukai drama bersiri ‘Datin Diaries’ dan filem melibatkan kumpulan Senario.
“Kalau pelakon di Malaysia pula, saya mengagumi bakat yang ada dalam diri Nasha Aziz.
“Selepas menceburi bidang ini, memanglah banyak cabaran dan pengalaman baru yang saya dapat tapi saya berjanji tidak mahu berpatah balik kerana sekarang saya rasa dah dapat sesuaikan diri sebagai pelakon.
“Lebih-lebih lagi saya sudah menandatangani kontrak untuk menjadi artis MIG Production Sdn. Bhd. selama lima tahun. Jadi, saya memang betul-betul serius dalam bidang ini,” ujarnya yang sebelum ini menimba pengalaman sebagai guru di beberapa sekolah rendah di Singapura selama lebih setahun.
Cerita pemilik nama sebenar Siti Zainab Chia ini, pada awal tahun lalu dia hanya mencuba untuk berlakon selepas berkenalan dengan produser, sutradara dan pelakon popular Aziz M. Osman melalui laman web FaceBook.
“Saya tak pernah terfikir untuk menjadi pelakon tetapi berminat untuk mencuba berlakon.
“Pada awal tahun ini, saya ‘add’ Abang Aziz melalui FaceBook dan selepas itu dia terus memanggil saya untuk ujibakat.
“Kami memang berkawan menerusi ‘online’ dan saya memang meminati filem-filem yang diarahkan oleh Abang Aziz,” katanya yang sebelum ini pernah menceburi dunia peragaan.
Gadis yang mesra dengan panggilan Zie ini memulakan lakonannya pada Mei tahun ini menerusi filem sains fiksyen, ‘CE 1’ arahan Aziz dan bakal menemui penonton pada tahun depan.
Seterusnya, dia yang mempunyai darah kacukan Cina sebelah bapanya mula mendapat tawaran berlakon beberapa drama dan telefilem iaitu ‘Kecuali Cintamu’, ‘Bahang Ravina’, Di Garisan Takdir’ dan yang terbaru, ‘Mama Murai’ yang akan memasuki pengambaran pada 28 Ogos.
Ditanya tentang pengalaman yang diperolehi ketika berlakon, sama seperti pelakon lain Zie juga merasai pengalaman pahit dan manis ketika di lokasi pengambaran.
“Saya rasa seronok berlakon ni tapi merasakan lakonan saya tetap ada kekurangan. Saya juga pernah dimarahi oleh Abang Aziz.
“Jadi, untuk meningkatkan skil lakonan saya selepas ini, saya terfikir juga untuk mengambil kelas lakonan seperti anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) jika ada kelapangan,” katanya yang baru semalam secara rasminya bergelar artis di bawah naungan MIG.
Atas kejayaan artis lain yang turut berada di bawah MIG, terus Zie tidak berfikir panjang untuk bersetuju dengan MIG.
“Saya tengok ramai artis MIG yang berjaya dan ‘very well manage’. Jadi, ia merupakan platform yang bagus untuk saya.
“MIG juga banyak menerbitkan filem dan antara syarikat produksi yang aktif dalam industri ini sehingga membuatkan saya yakin untuk menerima tawaran ini,” akhirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: