
Sejurus selepas menjuarai rancangan realiti TV3 tersebut, Wana terus dilamar Warner Music untuk dijadikan artis rakaman mereka.
Kejayaan itu baginya adalah kepercayaan semua pihak yang menyokong dirinya selama ini, terutama keluarga dan peminat.
”Justeru, payah ataupun sukar sekalipun perjalanan anak seni itu, saya perlu tabah dan cekal menghadapi cabaran yang bakal mendatang.
“Ketika mula-mula buat keputusan untuk menyertai My Starz LG, saya dah tekad dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi hidup bergelar artis.
”Berbekalkan semangat keluarga dan peminat, ianya buat saya semakin kuat berusaha membina nama sebagai penyanyi dan penghibur yang dihormati, mudah-mudahan dapat menjadi contoh kepada remaja lain. Saya akan cuba tunjukkan diri saya tanpa cuba meniru artis-artis lain yang ada dalam industri ini,” katanya.
Rentetan kejayaan itu, tanggal 18 Ogos lalu merupakan detik penuh makna bagi Wana apabila album sulungnya yang berjudul ‘Siapa’ mula berada di pasaran.
Mengetengahkan konsep segar dan bertenaga, ‘Siapa’ mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan secara langsung kena dengan usia Wana yang muda remaja.
Menampilkan komposer seperti Zaf VE dan Audi Mok, album memuatkan lima lagu berkonsepkan pop itu diadun elemen balada serta raggae dan hanya mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.
Wana berkata, beliau menghadapi sedikit masalah ketika merakamkan lagu bertajuk Gerhana kerana lagu tersebut berentak balada.
“Sebelum ini Wana selalu nyanyi lagu berentak rancak dan jarang nyanyi lagu balada. Itu yang susah sikit bila nak nyanyi lagu Gerhana,” kata.
“Kalau ikutkan perancangan asal, album ini sepatutnya keluar tiga bulan selepas kemenangan saya di My Starz LG. Namun, disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, misalnya kesukaran mencari lagu bersesuaian vokal saya termasuk hal lain menyebabkan proses rakaman terpaksa dilewatkan," katanya.
”Bagaimanapun, saya bersyukur kerana album ini dapat juga dilancarkan. Terasa seperti sedang bermimpi pula, meskipun sejak dari kecil saya memang suka menyanyi tetapi tidaklah pula terfikir suatu hari nanti akan memiliki album sendiri.
”Apapun, saya berharap peminat menyukai lagu dalam album ini kerana ia cukup istimewa dan mampu memenuhi kehendak semua pendengar, tidak kira yang muda mahupun tua,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: