Tuesday, August 25, 2009

Rosyam cedera bahu kiri kerana ‘Libas’



Meskipun bahu kirinya tercedera teruk ketika menjalani penggambaran filem terbarunya, Libas, namun penerbit dan pelakon Rosyam Nor, tidak pernah rasa menyesal, jauh sekali mahu menyalahkan mana-mana pihak yang terbabit dalam produksi itu. Dia yang ditemui pada majlis doa selamat tamat penggambaran di Saloma Bistro, Ampang, baru-baru ini berkata, insiden itu berlaku di atas kedegilannya sendiri yang mahu mencuba sendiri aksi melibas sepak takraw tanpa menggunakan tali keselamatan, walaupun sudah dinasihatkan pengarah filem itu, Jurey Rosli.

“Saya tak rasa menyesal, tapi bila badan kita dan sampai kena ‘operate’, rasa tak sedap jugalah. Sebelum ini saya ada guna pakai tali keselamatan, termasuklah masa panjat pokok kelapa yang setinggi 1 meter, tetapi untuk aksi libas sepak takraw ni saya rasa nak buat sendiri. Bila dah cedera macam ni, rasalah juga kebodohan saya tu. Tapi kalau filem ini berjaya nanti, ia sudah cukup berbaloi untuk saya.

“Setelah terlibat dengan macam-macam filem, inilah kali pertama saya cedera. Pada mulanya saya ingatkan cuma cedera ringan sahaja, tetapi bila pergi hospital, doktor kata, perlu lakukan pembedahan sebab bahu saya dah jatuh setengah inci dan ligamennya juga koyak. Masa tu, saya tak bersedia lagi nak buat ‘operation’ dan cuba pergi urut. Walaupun dah jumpa lapan tukang urut, bahu saya tetap macam tu.

“Sehinggalah saya jumpa dengan seorang tabib Cina, dan menasihatkan saya buat ‘operation’. Nak tak nak, saya terpaksa juga buat ‘operation’. Masa tu, doktor kata, nasib baik saya tak tangguh lama lagi. Kalau tidak, kemungkinan besar tangan saya akan lumpuh. Pembedahan akan dijalankan selama tiga jam dan doktor telah memasukkan besi untuk menyokong bahu saya,” cerita Rosyam yang menjalani pembedahan bahu kirinya di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC), Damansara Heights Kuala Lumpur, setelah tiga minggu menahan kesakitan.

Menurut Rosyam, kos keseluruhan pembedahan yang berjumlah RM39,000 itu dibiayai sepenuhnya oleh polisi insuransnya dan memerlukan tempoh tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya.

Dia yang mengalami insiden itu pada 7 Julai lalu, bagaimanapun, tetap meneruskan penggambaran filem Libas, walaupun bahu kirinya itu masih belum pulih sepenuhnya. Malah kegigihannya itu turut mendapat pujian dari pengarah dan seluruh team produksi Libas, yang menyifatkannya sebagai artis yang komited. Justeru tidak hairanlah, mengapa Hero senior ini masih mampu bertahan dalam industri seni sehingga ke hari ini.

“Sakit memanglah sakit, tapi saya kena tahan untuk teruskan juga tugas saya. Lagipun Cuma tinggal tiga hari sahaja lagi untuk habiskan penggambaran. Kalau saya cuti, nanti kos produksi ini akan meningkat. Saya juga seorang produser dan saya cukup memahami mereka. Selagi saya terdaya, saya akan teruskan juga. Apa yang saya harap, filem ini akan memberikan hasil yang hebat nanti,” kata Rosyam yang juga sempat menghabiskan penggambaran telemovie raya untuk TV3, ‘Salam Terakhir’.


Kembalikan gemilang sukan sepak takraw

Kombinasi lakonan dan teknik penjanaan komputer (CGI) yang diaplikasikan dalam filem Libas, menjadi tarikan utama untuk Rosyam membintangi filem pertama terbitan MDAG Marketing Sdn. Bhd. itu. Dia yang juga tertarik dengan tema dan jalan cerita Libas mampu mengangkat kembali sukan sepak takraw yang semakin terpinggir dan dilupakan oleh masyarakat di negara ini.

“Sebelum ini lagi, Jurey pernah beritahu saya, kalau dia buat filem, dia nak saya jadi heronya. Bila saya tengok skripnya, saya pun ada tanya kenapa dia pilih sepak takraw sedangkan remaja sekarang lebih gemarkan ‘footsal’ dan sukan-sukan yang ekstrem. Tetapi bila dia terangkan pada saya, nak kembalikan semula kegemilangan sukan sepak takraw jadi saya bersetuju. Apa salahnya, kita naikkan semula sukan ini. Dengan adanya kerjasama dari pihak Kementerian, kita dapat komersialkan filem ini dengan mengajak orang ramai ke pawagam. Dengan itu, minat sukan takraw akan dapat dipupuk semula,” katanya penuh optimis.

Libas mengisahkan Adnan, Raja Libas (Rosyam) sudah tidak boleh beraksi lagi di gelanggang sepak takraw kerana kakinya telah ditempangkan oleh regu Thailand lakonan Propchai (Korie), Pratapol (Yusuraiza) dan Aknangkorng (Zek Zamri Gerak Khas) serta Topap dalam satu perlawanan tahun sebelumnya. Demi menyelamatkan, Bola Pusaka, dia telah menubuhkan regu baru dan berentap hingga ke mata penghabisan demi mempertahankan maruah negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: