Monday, August 24, 2009

Realiti impian Amir Luqman

Biarpun nama mereka masih baru dalam industri fesyen tetapi mereka sudahpun mendapat kepercayaan daripada penghibur tersohor negara untuk menghasilkan busana bagi pertunjukan pentas.




SEBELUM ini, dia begitu mencemburui pereka terkenal Michael Ong. Menonton rakaman Konsert Mega Siti Nurhaliza yang berlangsung pada tahun 2001, sepasang matanya terpesona dan terpukau melihat persalinan yang membaluti tubuh diva nombor satu negara itu.

Sementelah hati kecilnya bersuara : "Bertuahnya...Michael Ong kerana menjadi pilihan Siti Nurhaliza."

Bukan sekadar rakaman konsert menjadi tatapan saban hari, malah koleksi majalah yang menyiarkan kisah perjalanan konsert Siti turut dimilikinya.

Ini bagi memudahkan tugasnya meneliti rekaan busana Michael Ong yang digayakan oleh Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, di Stadium Bukit Jalil.


KOSTUM ala tentera yang dipakai oleh Siti Nurhaliza diinspirasi daripada uniform tentera Rusia.


Sejak detik itu, pereka muda Amir Luqman Othman mula memasang impian untuk mereka busana yang disarung khas untuk konsert Siti Nurhaliza. Biarpun menyedari impian yang menggunung itu sukar dikecapi, dia tidak pernah berputus harap.

Namun benarlah kata pepatah, tuah ayam, nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Walaupun namanya masih hijau dalam industri fesyen tempatan, pereka yang berusia 25 tahun itu sudahpun mendapat kepercayaan daripada Siti Nurhaliza.

Terkedu seketika apabila dimaklumkan dia merupakan salah seorang yang bertanggungjawab mereka busana Siti Nurhaliza untuk konsert Satu di Istana Budaya, baru-baru ini.

"Walaupun menyedari masih baru dalam dunia fesyen dan tiada pengalaman menghasilkan busana untuk konsert sebesar itu, saya tidak menolak. Lagipun, tiada siapa yang akan menolak apabila ditawarkan bekerjasama dengan Siti Nurhaliza.

"Apatah lagi busana berkenaan digayakan pada konsert beliau yang gilang-gemilang dan eksklusif.

"Jika dahulu, ia sekadar impian tetapi hari ini, apa yang saya impikan itu telah direalisasikan. Pada tarikh 26 Jun hingga 28 Jun 2009, impian tersebut menjadi realiti. Ya, sebuah realiti yang mengejutkan dan mengujakan," luah Amir yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan.


AMIR LUQMAN


Mengimbas kembali pengalaman bekerjasama dengan Siti Nurhaliza, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu menyifatkan Siti merupakan individu yang tidak cerewet dan memiliki cita rasa fesyen yang tinggi.

Jelas Amir, sebelum melayangkan ilham untuk mereka tiga kostum yang dipertanggungjawabkan, dia terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan Siti Nurhaliza dan pengarah konsert, Pat Ibrahim.

Perbincangan itu bertujuan memberi input kepada Amir mengenai selok-belok dan perjalanan konsert Satu. Dalam sesi perbincangan tersebut, Amir mengenal pasti pemilihan lagu, susunan muzik, kumpulan penari dan rekaan pentas.

"Banyak perkara yang perlu dititikberatkan sebelum konsert berlangsung. Walaupun hanya ditugaskan menghasilkan kostum tetapi ia bukan perkara yang perlu dipandang enteng.

"Rekaan busana perlu seiring dengan persembahan tarian dan lagu yang dipersembahkan. Sebagai contoh, penampilan si penyanyi akan kelihatan janggal sekiranya memakai gaun labuh ketika menyanyikan lagu pop,"jelas Amir ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.


TERNYATA kreativiti Amir Luqman menjadi pilihan selebriti tempatan seperti (dari kiri) Amylea, Ainul Aishah dan Nita Hamzah.


Dalam konsert yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut di Istana Budaya itu, Amir memilih fabrik yang bertakhta kristal dan manik untuk digayakan Siti pada segmen pembukaan. Kombinasi warna putih dan biru ais pula dipilih untuk rona fabrik.

Gabungan warna tersebut menjadi simbolik pada cahaya dan berlian. Ia bersesuaian dengan status Siti yang merupakan permata hati negara.

"Saya difahamkan, dalam acara pembukaan Siti akan muncul dari bawah pentas dengan diiringi sinaran lampu yang hanya menghala kepada beliau. Layar kaca skrin pula tertera perkataan Satu yang memberi banyak pengertian.

"Maka, dari situ tercetusnya idea untuk menghasilkan rekaan gaun labuh yang panjang mengurai ke belakang. Bersesuaian dengan imej Siti yang berselendang pula, saya mencipta penutup kepala yang tampak trendy, moden dan anggun," kata Amir yang turut mereka kostum berkonsepkan ala tentera yang diinspirasi daripada pakaian uniform tentera Rusia.

Konsep pakaian sedemikian dirasakan bersesuaian memandangkan pada segmen berkenaan, lagu-lagu yang dinyanyikan memerlukan Siti menari dan bergerak. Pada masa yang sama, kumpulan penari turut memakai kostum ala tentera.


ALEEZA KASSIM turut menggayakan rekaan busana Amir Luqman.


Menyentuh soal cabaran, Amir yang pernah mereka busana Siti pada majlis pelancaran album Lantera Timur dan untuk persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Quality, berkata, Siti tidak banyak mengomel.

Beliau tidak pernah menyekat kreativiti pereka, sebaliknya memberi kebebasan kepada pereka untuk melakar dan memilih fabrik. Cuma kadang-kala Siti melahirkan kebimbangan sekiranya busana yang dihasilkan menampakkan susuk tubuhnya yang sedikit berisi.

"Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan mereka busana khas konsert Satu, Siti Nurhaliza. Diharap selepas ini, ramai lagi selebriti dan personaliti tempatan mempercayai rekaan pereka muda seperti saya," luah Amir yang mengambil masa kurang sebulan menyiapkan tiga pasang busana tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: