|
|
SENIMAN yang mahu diceritakan kisahnya ini barangkali namanya tidak sesohor seniman-seniman lain yang kita kenali. Namun, kekebalan jiwanya terhadap kesenian keroncong membuatkan Wawang Wijaya muncul sebagai satu-satunya pemuzik tersohor yang tiada tolok bandingnya di rantau nusantara.
Percayalah bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia kurang kenal siapa itu Wawang Wijaya.
Andai yang mengenali seniman ini sekalipun, mereka barangkali, orang-orang yang pernah rapat dengan beliau, individu yang pernah berguru dengannya atau penonton dan peminat setia beliau.
Sayang sekali, Wawang sudah tiada lagi di muka bumi ini untuk terus mengalunkan muzik keroncong yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Bahkan, kerugian besar dapat dirasakan oleh para karyawan muzik muda khususnya serta pengkaji-pengkaji muzik Melayu kerana di dada Wawang sarat dengan ilmu yang boleh mengajak kita untuk sama-sama meningkatkan apresiasi terhadap kesenian muzik serantau umumnya dan tentunya keindahan muzik keroncong.
Justeru, perlu dijelaskan, artikel ini ditulis dengan satu harapan iaitu mengajak khalayak seni untuk mengenang satu-satunya pahlawan keroncong yang ketika hayatnya memilih untuk hidup tanpa cahaya kemilau glamor.
Berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa kenalan Allahyarham, beliau lebih banyak memberi tumpuan terhadap kerja-kerja kesenian seperti memenuhi undangan bermain muzik di acara-acara yang melibatkan tokoh-tokoh kenamaan negara.
Wawang juga sangat gemar berkongsi ilmu dan , mengajar dan mengasah bakat anak-anak muda dalam muzik keroncong serta mengajar di pusat-pusat pengajian tinggi selain diundang memberikan ceramah mengenai keroncong adalah keutamaannya.
Sebetulnya, pengaruh lelaki yang dilahirkan di Jogyakarta, Indonesia pada penghujung era penjajahan Jepun sangat besar dalam perkembangan muzik keroncong di rantau ini.
Lalu, bukan sesuatu yang mengejutkan pemergian Wawang ke rahmahtullah pada 25 Jun lalu sehingga kini dan selamanya akan terus dikenang di kalangan rakan-rakan rapat serta sebilangan besar tokoh-tokoh kenamaan negara yang sering dihiburkan oleh seniman yang berasal dari negara jiran itu.
"Saya pasti akan merindui beliau. Allahyarham banyak membantu saya mengasah bakat dalam bidang nyanyian khususnya lagu-lagu keroncong.
"Sebagai seorang guru, banyak ilmu dan nasihat Allahyarham yang akan menjadi bekalan buat saya selama-lamanya," ujar si cilik Jamilah Abu Bakar, 14, salah seorang anak murid yang sangat dikasihi Allahyarham Wawang.
Hubungan Wawang dengan Jamilah bukan sekadar hubungan guru dan anak murid, sebaliknya, Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun sudah seperti saudara kandung.
Masakan tidak, keluarga Jamilah khususnya ayah dan ibunya, Abu Bakar Ismail serta Kamariah Che' Soh sudah begitu akrab dengan Allahyarham sementelah Wawang sebatang kara di Malaysia.
"Oleh kerana beliau bersendirian di sini, maka kami antara yang mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham.
"Cuma, saya serta isteri dan Jamilah agak sedih dan ralat kerana tidak berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas terakhir," kata Abu Bakar kepada Hits dalam satu pertemuan dengan beliau baru-baru ini.
Kesedihan Abu Bakar ada sebabnya kerana Wawang disedari meninggal dunia sendirian di kediamannya di sebuah apartmen di Apartmen Lestari, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor oleh polis yang memecah masuk pintu rumahnya.
Beberapa jam sebelum meninggal dunia, Abu Bakar ada menerima panggilan telefon daripada Allahyarham memaklumkan kelas muzik keroncong Jamilah terpaksa dibatalkan memandangkan beliau kurang sihat.
Itulah perbualan terakhir antara Abu Bakar dengan Allahyarham.
Sebetulnya persahabatan antara Abu Bakar sekeluarga dengan Allahyarham Wawang bermula pada 2007 pada acara Festival Pertandingan Akhir Keroncong Remaja Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam.
Mengimbas kenangan silam itu, Abu Bakar berkata, pada malam itu Jamilah yang baru berusia 11 tahun dijemput sebagai penyanyi undangan menyampaikan dua buah lagu keroncong, Stambul Baju Biru dan Sate Kajang.
"Kami diperkenalkan kepada Wawang oleh tokoh pemuzik keroncong tanah air, Abdullah Safri. Tertarik dengan persembahan nyanyian Jamilah, Wawang menawarkan diri untuk melatih anak saya," kata Abu Bakar bercerita detik permulaan perkenalan dengan Allahyarham Wawang.
Kasih sayang sebagai seorang guru terhadap anak muridnya terpancar pada peribadi Allahyarham yang begitu mengagumi minat Jamilah kerana jarang sekali Wawang bertemu dengan si kecil yang mempunyai kecenderungan pada muzik keroncong.
Keakraban itu juga membuatkan Wawang menganggap Jamilah seperti anak kandungnya sendiri dan memanggil anak muridnya itu dengan panggilan Puteri.
"Jamilah dan Wawang juga sering bersama-sama memenuhi undangan persembahan di banyak tempat," kata Abu Bakar menyambung perbualan.
Biarpun jasad Wawang sudah tiada lagi, namun dalam diri Abu Bakar dan Jamilah terutamanya, kekentalan semangatnya, ketabahannya menghadapi pancaroba kehidupan seorang diri tetap bersemadi dalam sanubari mereka.
Mengimbas kembali fasa kehidupan Wawang, apa yang perlu khalayak ketahui mengenai seniman ini ialah beliau didedahkan dengan muzik keroncong melalui datuknya.
Ke mana destinasi
Pada tahun 1977, Wawang berhijrah ke Kuala Lumpur dan semenjak itu, Wawang aktif dengan kumpulan keroncong O.K. Malindo (sebuah kumpulan keroncong dari Melaka yang dianggotai oleh pemuzik-pemuzik keroncong Indonesia dan Malaysia).
Selang tujuh tahun, Wawang ditawarkan sebagai pensyarah keroncong Indonesia di Universiti Teknologi Mara dan pada tahun 1995 di Universiti Sains Malaysia.
Allahyarham juga antara pengasas Orkes Keroncong Putra Malaysia yang pernah diundang mengadakan persembahan di Belanda pada tahun 2003 dan 2005.
Ketika di sana juga, Allahyarham bersama rombongan yang lain mengadakan persembahan di Den Haag.
Dalam satu tulisan beliau, Allahyarham pernah menyuarakan kebimbangan terhadap minat dan kecenderungan masyarakat terhadap muzik keroncong yang sudah semakin pudar.
Paling utama, Allahyarham Wawang ada mempersoalkan ke mana destinasi masa depan muzik keroncong seandainya minat dan kecenderungan generasi muda terhadap genre muzik itu sudah berakhir.
Kini, Wawang Wijaya pula sudah tiada lagi untuk membantu memasyhurkan muzik yang begitu sinonim dengan kehidupannya.
Jika berpegang pada kebimbangan yang disuarakan Allahyarham Wawang, apakah ini bermakna satu hari nanti, kita terpaksa mengucapkan salam perpisahan pada muzik keroncong?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: