LAGU Hilang antara single yang melonjak namanya Shamsul Hirdy Muhid, 24, atau Diddy dalam dunia seni tanah air. Di samping nyanyian, Diddy turut mengembangkan bakat dalam dunia lakonan. |
Menyedari cabaran yang datang, Diddy mula mengasah bakat menulis lagu.
Bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4) ini mengakui biarpun sukar namun dia tetap mencuba. Namun semuanya perlu dilaksanakan dengan minat dan tidak terlalu bersikap terburu-buru.
“Saya tidak akan tahu bakat menulis skrip jika tidak mencuba.
Saya tidak boleh paksa diri untuk menulis lirik.
“Buat pertama kali juga saya cuba menghasilkan lirik. Saya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk menyiapkan lagu berkenaan. Lagu itu sudah hampir siap, begitupun saya belum memikirkan soal tajuknya.
“Saya hanya memikirkan rentak lagu ringkas dan mudah diterima pendengar.
“Saya turut mendapat pandangan daripada mereka yang berpengalaman dalam penghasilan lirik,” katanya ketika ditemui pada majlis pradengar single ketiga, Lelaki Atas Awan di Hotel Ascott, Jalan Pinang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai lagu Lelaki Atas Awan yang akan dilancarkan selepas Syawal nanti, Diddy memaklumkan lagu berkenaan memberi suntikan baru buatnya.
Lagu yang dihasilkan oleh komposer Badrulhisham manakala lirik oleh Abie Abdullah mengisahkan seseorang yang gembira dengan kehidupan yang dilaluinya.
|
“Pemilihan lagu ini sebagai single ketiga juga atas beberapa sebab. Salah satunya kerana lagu ini antara lagu yang sudah siap dan tampil dengan rentak berbeza.
“Hendak kata lagu ini terlalu lain tidak juga namun sedikit terpesong daripada lagu sebelum ini yang lebih kepada rentak balada,” katanya.
Biarpun melancarkan single terbaru itu selepas Syawal nanti namun Diddy yang dikenali dengan gelaran Diddy Hirdy dan pihak pengurusannya percaya ia masa yang paling sesuai.
Terdahulu single kedua lagu Biar Diddy Sambung dengan penampilan khas Wangi (Fabulous Cats) yang dilancarkan sejak sebulan lalu turut mendapat maklum balas positif daripada pendengar selain berada dalam senarai lagu pilihan di beberapa carta lagu stesen radio tempatan.
Di samping lagu single, Diddy dalam proses mengumpul bahan dan menyiapkan album keduanya yang dijadualkan berada di pasaran penghujung tahun ini.
“Jika penghasilan album pertama mengambil masa setahun. Namun untuk album kedua ini saya tidak terlalu tergesa-gesa termasuk juga dalam proses rakaman.
“Selagi tidak puas hati dengan lagu berkenaan saya tidak akan memasuki studio rakaman. Kemungkinan album baru akan mengandungi 10 lagu.
“Sekarang saya lebih tenang. Single ketiga juga mengambil masa selama dua bulan lebih untuk disiapkan inikan pula untuk lagu lain,” kata Diddy yang kini mendalami ilmu bermain gitar menerusi bimbingan abangnya.
Selepas tiga tahun bergelar anak seni dia melalui perkembangan positif dalam karier biarpun dikatakan tidak semeriah atau gah seperti artis lain.
Sebagai contoh dia turut mempunyai komuniti yang menyokong pembabitan dalam dunia seni.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: