Saturday, April 18, 2009

‘Saya tidak mahu subahat’

KOTA TINGGI: “Saya terkejut apabila seorang pegawai kerajaan meminta saya ke bengkel bagi mengubah nombor enjin dengan kosnya ditanggung pihak berkenaan,” kata seorang usahawan muda, Mohd Khidir Esa, 27.

Walaupun segala urusan dokumentasi dan penyerahan sudah dibuat pada 19 Januari lalu, hasrat Mohd Khidir untuk memiliki dan menggunakan kenderaan terpakai kerajaan yang dibeli melalui pejabat kerajaan berkenaan Disember lalu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Ini berikutan nombor enjin yang tertera dalam buku pendaftaran bagi kenderaan Isuzu Trooper itu berlainan dengan nombor enjin kenderaan itu.

Mohd Khidir mendakwa pada 31 Disember lalu, dia mengarahkan pengurusnya, Ahmad Fathi Sunani, 25, menguruskan pembelian dan jualan harta benda kerajaan itu sehingga boleh diguna pakai dengan selamat.


“Namun, apabila segala urusan pengesahan dan penyerahan selesai, didapati nombor enjin yang tertera dalam buku pendaftaran berlainan dengan nombor enjin kenderaan itu.


“Berikutan itu, saya tidak dapat meneruskan urusan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi penukaran hak milik kenderaan itu kerana dokumen yang diserahkan pihak berkenaan tidak lengkap termasuk butiran warna asal kenderaan itu.

“Malah, saya kesal apabila pegawai di jabatan berkenaan meminta saya melakukan perkara menyalahi undang-undang dengan mengubah nombor enjin,” katanya.

Mohd Khidir berkata, masalah itu bermula apabila pihaknya menghantar kenderaan berkenaan ke sebuah bengkel untuk dibaiki sebaik menerima dokumen pengesahan penyerahan kenderaan yang dikeluarkan pejabat kerajaan itu pada 13 Januari 2009.

Menurutnya, mekanik di bengkel itu melakukan kerja pembaikan membabitkan ‘top overhaul’, sistem brek dan kerosakan lain tanpa membuka bongkah enjin sebelum urusan itu siap sepenuhnya pada 31 Januari.

“Ketika kerja pembaikan dilakukan, saya dimaklumkan pengusaha bengkel nombor enjin tidak sama dengan nombor pada buku pendaftaran.

“Berikutan itu, pada 22 Januari lalu, saya menghubungi pegawai di pejabat berkenaan bagi memaklumkan perkara itu.

“Pegawai itu meminta masa menyemak semula dokumen kenderaan itu dan selang seminggu selepas itu, dia memaklumkan tiada dokumen pengesahan pertukaran enjin dalam fail simpanan pejabat,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, dia dihubungi seorang pegawai lain yang mengarahkannya membawa kenderaan itu ke sebuah bengkel bagi menukar nombor enjin berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak bersetuju dengan saranan itu kerana tidak mahu terbabit atau bersubahat memalsukan nombor enjin berkenaan.

“Akibatnya, saya tidak dapat meneruskan urusan dengan pihak Puspakom dan JPJ kerana butiran tidak lengkap dan bercanggah.

“Pada 20 Februari lalu, saya dihubungi sekali lagi oleh pegawai berjawatan sama diikuti seorang pegawai lain pada 23 Februari, yang meminta saya menghantar kenderaan itu ke bengkel bagi tujuan sama.

“Berikutan desakan demi desakan selain meminta saya bersubahat melakukan perkara menyalahi undang-undang, saya mengambil keputusan membuat laporan polis dan seterusnya menyerahkan perkara itu kepada peguam,” katanya.

Sementara itu, pejabat kerajaan berkenaan melalui satu surat bertarikh 17 Mac yang ditanda tangani ketuanya memaklumkan kepada peguam pengadu, kenderaan itu dijual secara sebut harga terbuka bertujuan dibuat pelupusan kerana kenderaan itu tidak lagi ekonomik untuk dibaiki dan Sijil Tidak Ekonomik Dibaiki dikeluarkan pihak Jabatan Kerja Raya (Bahagian Mekanikal) pada 23 Jun 2008.

Kandungan surat itu turut menyatakan pengadu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu semua aset dijual sebagaimana keadaannya ketika dilihat, jabatan itu tidak bertanggungjawab ke atas aset yang sudah dijual dan semua perbelanjaan berkaitan pembelian aset seperti kos menanggal,

mengangkut dan sebagainya hendaklah ditanggung pembeli sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: