BAROMETER kontroversi penyanyi Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram, 27, pernah memuncak apabila dia dipukul oleh ahli keluarga isteri bekas kekasihnya dalam satu pertemuan di hadapan pihak media, sekitar empat tahun lalu.
Perbalahan tersebut tercetus apabila keluarga wanita itu tidak berpuas hati dengan kenyataan Tom yang mengaku dirinya difitnah atas tuduhan mendera seorang wanita yang sarat mengandung. Tom juga menafikan dakwaan bahawa dia menjalin hubungan sulit dengan suami wanita berkenaan.
Akibat kemarahan yang tidak tertahan, Tom yang juga juara pertandingan MyStarz LG musim ketiga itu telah dipukul dan ditendang oleh abang wanita terbabit.
Walaupun namanya masih panas diselimut kontroversi, karier seni Tom masih berjalan seperti biasa. Setahun selepas kejadian hitam itu, Tom muncul dengan album pertamanya berjudul Redha. Namun, entah di mana silapnya, percubaan Tom itu tidak mampu meraih perhatian pendengar.
Tidak mengenal erti putus asa, Tom kini kembali dengan single terbaharu berjudul Lagu Cinta Buat Rockers. Selain kontroversi, penyanyi itu mengakui, sifat mementingkan diri sendiri banyak menyumbang kepada kegagalannya untuk memacu karier dalam bidang nyanyian secara komersial.
Salahkan diri
“Selepas album pertama diterbitkan oleh syarikat rakaman, Warner Music Malaysia, saya tidak merebut peluang tersebut untuk terus dikenali.
“Ada beberapa kali saya tidak muncul ke majlis promosi yang diaturkan oleh syarikat rakaman. Pada waktu itu, saya lebih pentingkan band dan kerjaya nyanyian di kelab malam,” katanya.
Tambah penyanyi genit itu, disebabkan sering mengambil remeh terhadap peluang yang telah terbuka di hadapan matanya, karier nyanyiannya selepas memenangi pertandingan MyStarz LG tidak mampu bertahan lama.
“Saya akui, disebabkan sifat endah tak endah, nama saya kurang dikenali.
“Namun, saya bersyukur kerana masih ada yang sudi menyokong saya walaupun selalu dihimpit kontroversi,” katanya yang turut aktif menyanyi bersama band E6 membuat persembahan di dalam dan luar negara.
Kontroversi
Bercakap mengenai sorotan kontroversi yang pernah melanda dirinya, penyanyi bersuara serak-serak basah itu enggan memikirkan kritikan dan tohmahan yang pernah diterima. Kontroversi yang pernah terpalit dalam diari hidupnya disusun sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Saya faham, kontroversi demi kontroversi yang dialami bukan satu perkara yang baik. Lebih-lebih lagi ia berlaku ketika saya baru sahaja memenangi pertandingan MyStarz LG musim ketiga.
“Namun, dugaan itu membuatkan saya lebih kuat dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang,” jelasnya.
Melanjutkan perbualan mengenai kehidupan peribadinya, Tom kini bahagia bersama suami baharunya, Ahmad Khairul Mizan dan anaknya, Putera Adler Iesta yang baru berumur setahun.
“Saya bernikah dengan Ahmad Khairul pada Mei 2012 dan dikurniakan Putera Adler setahun kemudian.
“Hubungan saya dan Adler sangat rapat kerana saya masih lagi memberikan susu badan kepadanya.
“Jadi, setiap kali pergi menyanyi atau menghadiri majlis, saya pasti akan membawanya bersama,” ujar Tom sambil memberitahu, dia masih lagi berhubungan dengan anak pertamanya, Megat Arieal Shakur Mohd. Farhan, 6, yang dipelihara oleh bekas suaminya.
Pilih lagu
Berbicara mengenai single terbaharunya, Lagu Cinta Buat Rockers, Tom melahirkan rasa gembira kerana masih diberi kepercayaan dan peluang oleh syarikat rakaman terbaharu yang menaunginya, Dream Music sepanjang memilih sendiri lagu kegemaran untuk dirakamkan.
Jelas Tom, peluang tersebut dapat memberi kelebihan kepadanya untuk menonjolkan sisi sebenarnya sebagai seorang penyanyi.
“Lagu ciptaan Hadi Hassan dan lirik oleh Amy G dan J. Looi ini memang kena dengan jiwa rock dalam diri saya.
“Walaupun kedengaran agak agresif, namun, saya yakin lagu itu mampu menjadi sebuah platform untuk saya menjenamakan semula diri sebagai seorang penyanyi rock,” ujar Tom yang bakal mengeluarkan lapan buah single sepanjang kontrak empat tahun bernaung di syarikat berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: