Saturday, December 6, 2014

Pelukis jalanan Jalan TAR


ORANG ramai teruja menyaksikan bakat Mohd. Shofi melukis.


SIAPA sangka, hobi boleh menjana pendapatan lumayan. Apatah lagi, jika hobi yang melibatkan kemahiran dan bakat yang boleh ditonton oleh ramai orang.
Bagi pelajar Kejuruteran Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Mohd. Shofi Asrozi, 21, kerja yang dilakukannya kini merupakan salah satu daripada cabang hobinya. Bermula dengan melukis menggunakan cat air di Pusat Akademik UiTM, kini beliau menggunakan semburan angin berwarna.
Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur merupakan lubuk rezeki bagi Mohd. Shofi. Jalan tersebut merupakan laluan pelbagai lapisan masyarakat dan pelancong dari dalam mahupun luar negara sama ada untuk mencuci mata atau membeli-belah.
Sejak kecil, beliau begitu meminati bidang lukisan, namun tiada ruang untuknya mempamerkan bakat.
Kini, beliau mampu memberikan persembahan lukisannya menggunakan semburan angin di khalayak ramai.
“Saya seronok melihat orang ramai datang bersama keluarga untuk melihat lukisan saya, adakalanya saya berikan percuma kepada warga emas untuk tatapan mereka pada masa akan datang,” katanya yang menjual lukisan pada harga RM10 sekeping.
Proses pertama sebelum beliau melukis menggunakan semburan udara itu ialah membersihkan papan kayu yang digunakan dan membuat tanda pada papan tersebut. Adakalanya, beliau ditemani beberapa rakan sekelas sehingga larut malam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: