Friday, December 5, 2014

Astro Ceria Beri Keutamaan Kepada Mia Sara, Rykarl Iskandar


Mia Sara (kiri) dan Rykarl Iskandar
KUALA LUMPUR: Stesen televisyen Astro memberi lebih keutamaan kepada dua pelakon kanak-kanak iaitu Mia Sara dan Rykarl Iskandar bagi membintangi program dan drama bagi saluran Astro Ceria.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin berkata, pihaknya memilih kedua-dua pelakon itu berikutan populariti mereka sebagai pelakon kanak-kanak paling diminati ketika ini.

"Ya, kedua-dua pelakon ini merupakan kegemaran Astro Ceria dan kami akui memang sering mengandingkan mereka untuk program terbitan kami.

"Salah satu sebab ialah nama dan populariti bintang kecil ini adalah yang paling atas ketika ini," ujarnya kepada mStar Online pada sidang media pelancaran drama 3 Campur 2, di Souled Out, di sini, Khamis.

Turut hadir pelakon Norman Hakim, Scha Al Yahya, Hefni Sahad, Mia Sara dan pengarah drama Emi Suffian Sabhe.

Sebelum ini, Mia Sara dan Rykarl bergandingan dalam telefilem Strawberry Karipap Sesat Kat Paris.
mStar Default Image
Mia Sara (dua dari kiri) dan Rykarl Iskandar (tiga dari kiri) bersama Nabil Ahmad (kiri), Lisa Surihani dan Zizan Nin menerajui telefilem Strawberry Karipap Sesat Kat Paris.

Tambahnya, biarpun menggunakan gandingan yang sama, namun watak-watak yang diberikan kepada dua kanak-kanak ini berbeza.

"Kita tidak mahu mereka kelihatan sama sahaja setiap drama atau telefilem, jadi kami akan pastikan watak yang mereka bawa berlainan berbanding sebelum ini," katanya.

Sementara itu, tambah Hadzelynda, drama ini menerapkan nilai-nilai kekeluargaan yang semakin rapuh.

Katanya, banyak mesej mengenai realiti kehidupan yang diselitkan sebagai panduan dan teladan kepada penonton.

"Melalui penelitian kami, rata-rata penonton menggemari kepada pengisian yang bersifat komedi, ringan dan tidak perlu penghayatan berat.

"Drama ini banyak menyelitkan usur positif dalam komedi yang menyentuh soal rumah tangga masa kini yang banyak berakhir dengan penceraian," ujarnya.

Drama 13 episod ini turut dilakonkan oleh Dynaz Mokhtar, Shahz Jaszle, Ana Dahlia dan Radhi Khalid.

Ia akan bersiaran bermula 13 Disember ini, setiap Sabtu, pukul 11 pagi di Astro Ceria,  Prima dan Maya HD.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: