Saturday, December 6, 2014

Berdebat dengan ilmu, bukan emosi – Azhan Rani



Azhan


Membawa karakter bernama Cina di dalam filem Lelaki Harapan Dunia, Azhan Rani dihubungi Kosmo! untuk bercakap tentang polemik yang melanda filem arahan Liew Seng Tat itu. Lelaki Harapan Dunia kini sudah masuk dua minggu ditayangkan di pawagam. Sejak ia pertama kali dipertontonkan kepada media sekitar dua minggu lalu, ia telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan penonton yang terdiri daripada karyawan tempatan sendiri.
Filem yang sudah dijaja dalam pelbagai festival hampir di seluruh dunia itu disifatkan sebagai naskhah yang menyinggung sentimen bangsa Melayu, selain didakwa mencuit soal agama Islam dalam babak seperti sembelihan unta yang menyaksikan percikan darah yang memancut kepada penduduk kampung yang menanti dengan payung sebagai benteng. Beberapa babak lain juga dilihat mempunyai satiranya tersendiri yang dianggap memperlekeh bangsa Melayu.
Kata Azhan, dia tidak kisah dikritik, namun tegasnya, jangan sampai naskhah seumpama itu yang sepatutnya diterima sebagai sebuah naskhah untuk sinema Malaysia secara umumnya menjadi medan perseteruan sesama karyawan seni sendiri.
Kosmo!: Azhan, anda sedar bahawa Lelaki Harapan Dunia mengandungi unsur-unsur sindiran yang tajam kepada bangsa Melayu dan menyentuh isu Islam sewaktu pertama kali bersetuju terbabit di dalam filem ini?
Sejujurnya, pada awal diberi peluang berlakon di dalam filem ini, saya menolaknya. Saya tidak suka, namun perasaan itu bertukar sebaik saya membaca naskhah dan jalan ceritanya. Saya faham dan sedar tentang keseluruhan isi naskhah ini dan saya menafikan ia menjatuhkan bangsa Melayu atau mempermainkan Islam. Ia hanya sebuah satira masyarakat. Sebagai pelakon, saya menjalankan tanggungjawab saya membawa watak Cina dan terpulang kepada kupasan yang mahu diberikan oleh penonton.
Adakah anda sedar risiko dan kontroversi yang bakal tercetus berikutan beberapa babak yang disifatkan sebagai agak sensitif sebaik ia ditayangkan di Malaysia?
Secara peribadi, saya tidak menjangka langsung ia menjadi kontroversi. Interpretasi setiap orang berbeza dan saya tak boleh halang pemikiran atau penilaian orang terhadap naskhah ini. Hanya apa yang boleh saya katakan, jangan terlalu dalam menilai sesuatu perkara seperti kita mahu berenang di dalam kolam yang cetek airnya. Ya, saya faham khalayak penonton terbahagi kepada dua. Satu golongan yang membayar untuk berfikir dan menilai, sementara satu lagi hanya mahu berhibur. Seharusnya kita jangan cepat melatah. Ia tidak memperkecil bangsa atau agama. Terimalah ia sebagai sebuah sinema Malaysia.
Anda kecewa dengan polemik yang berlaku?
Sedikit kecewa, lebih-lebih lagi apabila ada yang melabelkan kami pelakon Melayu yang terbabit di dalam filem arahan seorang lelaki Cina ini sebagai ‘Melayu bodoh’. Saya rasa itu satu hukuman yang agak keras. Sebenarnya, saya tidak kisah jika orang tidak suka dengan filem ini sebab ia macam sebuah hidangan yang kalau kita suka, kita makan dan sebaliknya. Hanya kalau boleh biarlah cara penyampaiannya beradab. Ini kerana pada pemahaman saya, kritikan dan kutukan ialah dua perkara yang berbeza. Kritikan perlu diusul dengan ilmu, tetapi kutukan akan membunuh semua perkara yang kita tidak suka. Cuma macam saya cakap tadi, saya tidak boleh paksa orang untuk suka atau sokong naskhah ini. Hanya harapan saya, jika ia mahu diperdebatkan, perdebatkanlah ia secara sihat.

BABAK penduduk kampung bermain kompang untuk menghalau ‘orang minyak’ disifatkan sebagai masyarakat Melayu yang selalu terpengaruh dengan perkara tahyul.


Maksudnya, anda kurang gemar apabila pertentangan pendapat tentang filem ini disebarkan secara meluas dan diperdebat di laman sosial?
Ya. Pada saya kalau mahu berdebat, kita berkumpul dan berbincang. Itu lebih matang. Bukan menulis di laman sosial dan memberi perspektif kurang sihat bagi yang belum menontonnya, macam budak-budak. Sebab itu juga saya tutup laman sosial saya kerana selepas membaca komen atau pandangan negatif tentang filem ini, saya punya kecenderungan untuk membalas atau cuba menegakkan duduk perkara. Saya tak mahu itu terjadi dan saya pilih untuk berdiam kerana saya tak punya apa untuk diperdebatkan. Saya menghormati pandangan semua pihak.
Bagaimana dengan sambutan filem ini selepas dua minggu ditayangkan?
Saya rasa memang tidak ada sambutan. Saya ada pergi menonton semula filem ini dan hanya ada 10 orang di dalam panggung. Sama ada kerana penonton kita memang sudah tidak punya budaya menonton filem lagi atau pun terpengaruh dengan polemik yang ditimbulkan. Walaupun ia gagal di pawagam Malaysia, namun naskhah ini tetap terus berjalan di seluruh dunia.
Apa yang anda boleh simpulkan tentang polemik ini?
Saya harap kita semua menilai sesuatu perkara dengan ilmu, bukan bercakap kosong dan penuh emosi. Jangan sampai sesama kita bergaduh hanya kerana sebuah interpretasi yang berbeza tentang naskhah seumpama ini. Sekurang-kurangnya kita punya sebuah naskhah Melayu yang diberi perhatian dalam banyak perspektif untuk dibicarakan. Walaupun saya mengaku kami agak tertekan dengan apa yang berlaku, namun kami mahu maju ke hadapan. Biarlah karya ini yang berbicara sendiri.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: