|
GUA MUSANG – Penerokaan tanah untuk aktiviti pertanian yang semakin berleluasa di tanah tinggi Lojing di sini dikhuatiri bakal mengulangi tragedi banjir lumpur seperti yang berlaku di Ringlet, Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.
Lojing, tanah tinggi terkenal di Kelantan, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kampung Raja, Cameron Highlands turut ditarah dan digondol untuk dijadikan kawasan tanaman sayur-sayuran oleh pekebun sama seperti kes di Cameron Highlands.
Tinjauan Kosmo! mendapati landskap hutan tanah tinggi itu telah digantikan dengan khemah-khemah plastik yang didirikan untuk melindungi tanaman sayur-sayuran di lereng-lereng bukit.
Lebih memburukkan keadaan, penerokaan tanah tersebut turut menyebabkan air Sungai Brooke yang jernih pada tahun 1980-an kini bertukar menjadi keruh.
Sungai yang keruh itu mengalir ke Sungai Nenggiri sebelum memasuki Sungai Kelantan. Sungai itu kemudian mengalir terus ke Kuala Tumpat dan Kuala Besar di Laut China Selatan dekat Kota Bharu di timur Kelantan.
Menurut Penghulu Penempatan Orang Asli (Pos) Blau, Salleh Ngah, 52, pada awal tahun 1980-an sungai tersebut masih jernih tetapi mula bertukar menjadi keruh sejak aktiviti pembalakan haram dilakukan di kawasan Lojing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: