|
LAZIMNYA, setiap cuti hujung minggu Sarah Lee gemar menghabiskan masa cuti berehat di rumah.
Bagaimanapun, pada hari tersebut, wanita berusia 27 tahun itu sanggup bangun awal semata-mata untuk berkunjung ke acara I Eat Nasi Lemak 2014.
I Eat Nasi Lemak 2014 merupakan acara yang menghimpunkan 20 penjual nasi lemak terbaik di seluruh negara anjuran FriedChillies Media Sdn. Bhd. (FriedChillies).
“Saya sanggup bangun awal hari ini, semata-mata untuk menikmati keenakan nasi lemak.
“Tambahan pula, nasi lemak sesuai dijamah pada waktu pagi sebagai sarapan,” katanya yang memiliki perniagaan sendiri.
Anak kelahiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur itu berkata, nasi lemak merupakan menu wajib kebanyakan penduduk Malaysia pada setiap pagi.
Sebagai penggemar nasi lemak, dia tidak mahu terlepas berkunjung ke acara tersebut untuk merasai aneka pilihan nasi lemak dari seluruh negara.
“Semua orang tahu nasi lemak merupakan sarapan No. 1 di negara ini. Ia bukan sahaja menu untuk kaum Melayu, bahkan semua kaum datang untuk menikmati keenakannya,” jelas Sarah yang berkunjung ke acara tersebut bersama tiga rakannya.
Teruja
Pada acara yang berlangsung di TM Convention Centre, Bangsar, Kuala Lumpur itu, dia berkesempatan merasai nasi lemak di gerai Nasi Lemak Kelana Jaya dan Nasi Lemak Royale, Alor Setar, Kedah.
Acara tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba keenakan nasi lemak di sekitar Lembah Klang malah dari seluruh negara.
“Saya sangat tertarik dengan menu nasi lemak Royale dari utara kerana ia menggabungkan nasi lemak dengan campuran kuah pelbagai lauk.
“Acara ini memberi peluang kepada penduduk di sekitar Lembah Klang merasai nasi lemak dari negeri-negeri lain di seluruh negara. Jika berkunjung ke Kedah, saya pasti akan mencari kedai nasi lemak ini,” ujarnya.
Bagi salah seorang penjual nasi lemak, Phirence Tan, 32, dia sangat teruja kerana dijemput oleh FriedChillies sebagai salah seorang penjual pada hari tersebut.
Pemilik Restoran GreenLicious, Allamanda, Petaling Jaya, Selangor itu memberitahu, pada acara tersebut pihak penganjur meminta mempromosikan nasi lemak organik di restorannya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih kami sebagai salah satu penjual nasi lemak paling popular di negara ini.
“Ia merupakan satu pengiktirafan kepada kami selepas sekian lama mencuba untuk menghasilkan menu nasi lemak yang baik untuk kesihatan ini,” katanya.
Rendang tempe
Pada acara tersebut, 80 kilogram (kg) nasi lemak organik yang dibawa oleh Tan habis dijual dalam tempoh kurang lima jam.
Menurut anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, lauk yang menjadi kegemaran pengunjung ke gerainya pada acara tersebut ialah rendang tempe.
“Kami membawa beberapa jenis lauk pada acara ini tetapi yang paling laris ialah lauk rendang tempe.
“Kami berjaya menjual hampir 2,000 bungkus nasi lemak dengan keuntungan bersih mencecah hampir RM3,000,” katanya yang membawa tiga pembantu dalam acara tersebut.
Sempena acara berkenaan, gerainya juga menawarkan nasi lemak pada harga istimewa khusus untuk pengunjung acara itu.
Di restoran, nasi lemak rendang tempe harganya ialah RM15.90, namun pada acara tersebut pengunjung boleh menikmatinya pada harga RM2 sahaja.
“Acara ini merupakan sebahagian daripada medium untuk mempromosikan nasi lemak di restoran kami.
“Sehubungan itu, kami perlu menjualnya pada harga yang lebih murah bagi memberi peluang kepada pengunjung merasainya,” jelas Tan.
Berjaya
Selepas program tersebut tamat, dia mendapati jumlah pengunjung ke restorannya meningkat sekali ganda.
Selain itu, pengunjung-pengunjung tetap restorannya juga memilih untuk menikmati nasi lemak organik berbanding menu-menu lain.
“Selepas hampir sebulan acara ini berlangsung, saya dapati ramai pengunjung ke restoran memilih menu nasi lemak organik.
“Saya anggap acara ini berjaya mencapai objektifnya iaitu membantu mempromosikan nasi lemak kepada masyarakat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai FriedChillies, Mohd. Adly Rizal berkata, I Eat Nasi Lemak 2014 merupakan kesinambungan daripada penganjuran kali pertama tahun lalu.
Disebabkan sambutan yang begitu hebat, pihaknya mengambil keputusan untuk menambah bilangan penjual nasi lemak daripada 10 kepada 20 orang.
“Tahun ini kami bawakan 20 orang penjual nasi lemak dari negeri-negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Tahun ini, acara I Eat Nasi Lemak 2014 berlangsung selama tujuh jam bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang di dewan yang lebih besar,” katanya ketika di temu bual Kosmo! Antara penjual nasi lemak yang menyertai acara kali ini ialah nasi lemak Vegetarian dari Kepong, Kuala Lumpur, nasi lemak kerang (Taman Tun Dr. Ismail) dan nasi lemak paru (Taman Melur, Ampang, Selangor).
Kesemua penjual nasi lemak pada acara tersebut dikumpul sendiri oleh FriedChillies.
“Penjual-penjual ini mempunyai tarikan tersendiri dalam menyediakan nasi lemak.
“Kami kelaskan mereka kepada lima kategori iaitu Luar Kawasan, Lauk Power, Ayam Goreng Terbaik, Unik dan Institusi,” ujar Adly.
Selain menikmati nasi lemak, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti menarik seperti Kejohanan Makan Nasi Lemak (UNLC).
Pada hari tersebut, para peserta bertanding untuk merebut gelaran Diva Division bagi peserta wanita manakala Heavyweight Division untuk peserta lelaki.
“Kami juga menganjurkan acara UNLC buat julung-julung kalinya bagi menambah keseronokan pada acara ini.
“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pengunjung,” katanya sambil memaklumkan jumlah keseluruhan pengunjung pada acara tersebut lebih 15,000 orang.
Seperti tahun lalu, acara pada tahun ini dilangsungkan seperti Hari Kantin. Para Pengunjung perlu membeli kupon dan menukarnya dengan nasi lemak, lauk dan minuman.
Setiap kupon bernilai RM2 dan pengunjung boleh membelinya dalam bentuk buku kupon yang bernilai RM10.
“Kami melangsungkan acara ini seperti Hari Kantin. Ia bagi mengimbau pengalaman kita ketika berada di bangku sekolah dahulu,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: