Saturday, December 6, 2014

Tanda-tanda si comel sakit


SEBAIK-BAIKNYA kucing yang menunjukkan gejala tidak sihat dibawa ke klinik veterinar.


BOLEH dikatakan setiap jenis baka kucing mempunyai jenis penyakit, simptom, kesan dan akibat yang sama.
Setiap kucing yang diserang penyakit atau sedang sakit akan menunjukkan reaksi dan karakter yang berlainan. Perubahan reaksi, karakter dan perangai mungkin merujuk kepada tanda-tanda kucing anda sedang sakit.
Berikut tanda-tanda yang menunjukkan kemungkinan si comel mengalami masalah kesihatan.
1.Kurang selera makan : Semua kucing yang sihat mempunyai selera makan yang tinggi. Jika kucing menunjukkan tanda-tanda hilang selera atau makan terlalu sikit daripada biasa, anda perlu mengambil tindakan segera dengan mengenalpasti masalah yang dihadapi. Antara faktor-faktor yang menyebabkan pengurangan selera makan ialah:
- Jemu dengan makanan harian yang sama tetapi campuran pelbagai jenama makanan juga tidak disarankan.
- Menginginkan makanan yang lembik/basah.
- Makan yang diberi sudah rosak. Mungkin lemau, basi dan sebagainya.
- Ada gangguan luar seperti kehadiran kucing lain.
- Makanan tidak menepati cita rasa.
- Jika kucing anda dalam kategori luar rumah, ada kemungkinan ia telah memakan sesuatu yang ditangkap seperti hasil buruan.
- Tidak menggemari kedudukan tempat makannya.
- Musim mengawan/ingin mengawan/tidak dapat mengawan kerana dikurung.
Sekiranya semua faktor di atas sudah diambil kira tetapi masih tidak berselera, kemungkinan besar kucing anda sedang mengalami masalah kesihatan. Jika ini berlaku, anda disaran membawanya segera ke klinik veterinar yang berdekatan.
Antara faktor-faktor kucing yang sedang sakit hilang selera makan ialah demam dan mengalami masalah pernafasan yang teruk, tidak dapat menghidu makanan, dehidrasi (minum air lebih daripada biasa boleh mengurangkan selera makan kucing), mengalami masalah atau penyakit dalam mulut dan mengalami masalah penyakit hati serta penyakit buah pinggang yang serius.
2.Sukar makan: Hilang selera makan dan susah hendak makan merupakan dua perkara yang berbeza.
Kucing yang mengalami kesukaran untuk makan bukan disebabkan kurang selera makan tetapi berkemungkinan mengalami sakit di mulut, dalam mulut, gigi, gusi, lidah, lelangit, kerongkong serta sakit organ-organ dalamannya yang lain. Penyakit gigi dan gusi sering berlaku pada kucing yang sudah berumur
Jika perkara ini berlaku, sila rujuk pada veterinar.
3.Penurunan berat badan: Parasit luar dan parasit dalaman seperti kutu, hama atau cacing, jangkitan virus (FIV/FeLV) penyakit usus, penyakit hati, diabetes, penyakit buah pinggang, stres dan perubahan hormon antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini.
4.Muntah: Muntah boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya termasuklah gumpalan bulu yang terperangkap dalam usus, makan terlalu cepat, gopoh, gelojoh dan makan sesuatu yang tidak boleh di hadam. Selain itu, sering menukar makanan, alahan pada makanan atau bahan-bahan dalam makanan, jangkitan atau serangan penyakit, kecacingan yang teruk dan keracunan juga menyebabkan kucing muntah.
5.Darah dalam air kencing atau najis: Darah dalam air kencing kucing berlaku disebabkan pelbagai penyakit serius atau sesuatu yang serius telah berlaku pada kucing anda.
Keadaan ini di panggil hematuria. Salah satu penyebab hematuria ialah batu karang atau jangkitan dalam pundi (Flutd). Jika keadaan ini berlaku pada si comel, tindakan segera ialah membawa kucing anda kepada veterinar yang terdekat.
Bagi permasalahan najis berdarah kemungkinan kucing anda mengalami masalah cacing yang teruk, penyakit usus, keracunan dan cirit-birit yang serius.
6.Demam: Kucing akan demam apabila tindak balas atau reaksi tubuhnya kepada sesuatu jangkitan atau penyakit yang menyerangnya. Suhu normal tubuh kucing ialah antara 37.7 hingga 39.1 darjah Celcius.
Bagi menyukat suhu badan kucing mungkin sukar kepada yang kurang mahir tetapi kucing demam akan menunjukkan beberapa tanda seperti, keletihan atau lesu atau tidur lebih lama dari kebiasaan, hilang selera makan, bernafas dengan laju secara konstan (mencungap) dan menggigil. Suhu badan yang tinggi boleh mengakibatkan si comel kita berada dalam keadaan tidak stabil seakan-akan menggigil.
Selain itu, simptom-simptom lain seperti bulu-bulu badan yang menegak atau serabai, tidak memberikan reaksi ketika diajak bermain, ada kalanya air liur meleleh tanpa sebab dan pucat pada bahagian hidung, mata, gusi serta tapak kaki.
7.Minum dalam kuantiti yang banyak dan kerap: Antara punca kucing terlalu kerap minum, mungkin mereka sedang mengalami masalah seperti serangan virus parvo, kelenjar tiroid, diabetes dan buah pinggang.
Jika si comel anda menghadapi tanda-tanda tersebut, tindakan segera untuk dibawa ke klinik veterinar berdekatan amatlah disarankan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: