FENOMENA kopitiam meresap dalam industri makanan tempatan sejak sedekad lalu. Popularitinya melonjak ekoran permintaan tinggi masyarakat terhadap juadah ringkas berupa roti bakar yang dihidangkan bersama variasi kopi klasik dan moden.
Dekorasi tradisional berserta ambien kampung yang melatari hampir semua kopitiam di negara ini turut menangkap perhatian orang khususnya golongan belia.
Begitupun, di sebalik keistimewaan sajian ringan yang disediakan majoriti jenama kopitiam tempatan, wujud sebuah kopitiam yang cuba lari daripada konsep asas tersebut.
Old Timer Kopi yang dibangunkan Mohd. Faiz Ismail sejak lima tahun lalu adalah sebuah kopitiam istimewa jika dinilai berdasarkan penyediaan hidangannya.
Cawangan
Selain menawarkan lebih 20 jenis roti kepada pelanggannya, kopitiam itu sebenarnya turut menyediakan juadah tradisional Melayu yang amat menyelerakan.
Di ketiga-tiga cawangan Old Timer Kopi, pelanggan dapat menikmati menu klasik seperti asam pedas Melaka, ubi rebus, pisang bakar dan lempeng.
Sejujurnya, setiap hidangan ini tidak akan mengecewakan penggemar makanan Melayu kerana keaslian rasanya masih dikekalkan malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia jauh lebih sedap daripada restoran atau warung tepi jalan yang memang menyediakan menu sebegini.
Rendang, mi rebus dan mi kari misalnya antara hidangan popular dalam kalangan orang Cina manakala pengunjung Melayu kebanyakannya gemar memesan masakan Thailand.
Kue tiau daging halia yang dimasak stail Cina juga menjadi pilihan majoriti pelanggannya. Sajian modennya pula banyak bereksperimentasi dengan gabungan menu klasik seperti air kopi yang diolah menjadi ais kisar bersama ais krim.
Lempeng yang kebiasaannya dinikmati bersama sambal ikan bilis turut ditambah pelengkapnya termasuk ais krim yang memberikan keunikan rasa.
Penyempurna gastronomi di Old Timer Kopi pula dibarisi minumannya terutama kopi. Tidak menggunakan sebarang kopi segera tiga dalam satu, kopi di sini disediakan menggunakan biji kopi tempatan yang dimasak dan dikisar sendiri.
Aroma kopi
Justeru, kepekatan dan keaslian rasa kopi itu dapat dinikmati pelanggan. Aromanya sahaja sudah membangkitkan ambien persekitaran yang selesa dan mendorong anda menambah secawan lagi kopi panas.
“Jarang kopitiam memfokuskan makanan berat tetapi saya mahu menjadikan Old Timer Kopi sebagai pusat sehenti yang menyediakan semua jenis makanan di bawah satu bumbung.
“Resipi di sini juga diilhamkan oleh ibu saya yang kemudiannya diubah suai mengikut cita rasa komersial setiap lapisan masyarakat.
“Setiap menu dimasak di dapur pusat dan dihantar ke setiap cawangan dalam bentuk pes. Pekerja di setiap cawangan hanya perlu menyediakan makanan tersebut menggunakan pes dengan sukatan yang ditetapkan.
“Disebabkan itu, kami dapat mengawal kualiti makanan di ketiga-tiga cawangan,” jelas Mohd. Faiz ketika ditemui Kosmo! di Old Timer Kopi, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Menyasarkan untuk menembusi pasaran francais, Mohd. Faiz berhasrat mewujudkan lebih ramai usahawan tempatan terutamanya bumiputera dalam bisnes kopitiam.
Perancangannya yang kini dalam proses kelulusan itu membolehkan mereka yang berminat membuka francais Old Timer Kopi dengan modal serendah RM300,000 sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: