Sunday, December 7, 2014

Tiga bulan menganggur – Indah Ruhaila




BUKAN mudah untuk terus berada di atas. Semuanya perlu bermula dari bawah. Atas nama usaha dan kesungguhan tanpa mengenal erti putus asa sahaja yang mampu meletakkan seseorang mencapai apa yang dihajati.
Begitu juga dengan apa yang dilalui oleh penyanyi Indah Ruhaila.
Mana tidaknya, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu sebenarnya sudah pernah memiliki album terlebih dulu pada tahun 2009 sebelum menyertai Akademi Fantasia (AF) 2013.
Cuma sayangnya ketika itu rezeki masih tidak berpihak kepadanya lagi.
Atas rasa kecintaan yang tinggi untuk terus menempa nama dalam industri, penyanyi berusia 27 tahun itu kemudian mencuba nasib dengan menyertai program realiti tersebut.
Hari ini, dia mampu menarik nafas lega kerana kesungguhan dan kesabaran yang dipupuk selama ini mula membuahkan hasil.
Bagaimanapun, menurut Indah, apa yang dikecapi sekarang bukan semudah yang disangka.
Katanya, biarpun tahun 2014 boleh dikatakan tahun rezeki buatnya, masih ada kenangan pahit yang terpatri dalam hidupnya.
“Sebenarnya selepas saya keluar daripada AF, saya menganggur selama tiga bulan. Saya tidak ada menerima tawaran untuk membuat persembahan atau undangan nyanyian.
“Ketika itu saya terfikir apalah nasib saya. Memandangkan sebelum ini pun saya pernah menjadi penyanyi, tetapi tidak begitu menyerlah dan selepas keluar daripada AF jadi perkara sama, saya agak terkilan pada mulanya,” ujar penyanyi yang popular menerusi lagu Percayalah itu.

INDAH kini lebih memberi keutamaan kepada kerjaya seni daripada memikirkan soal tarikh perkahwinannya.


Segala-galanya kemudian berubah selepas Indah membuat persembahan di majlis Anugerah Bintang Popular.
“Daripada situlah baru ramai yang mengenali diri saya. Jika selama ini orang hanya tahu lagu itu sahaja,” katanya.
Mengakui pada masa sama, lagu Percayalah banyak memberi tuah kepadanya, Indah memberitahu, dia bersyukur dengan limpahan rezeki yang diperoleh kini.
“Ramai orang memberikan respons positif pada lagu tersebut. Kekuatan lirik dan melodi yang indah membuatkan lagu itu mudah diterima,” katanya yang bakal membawakan lagu tersebut di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-29 yang akan diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 18 Januari tahun depan.
Ditanya mengenai kisah sisi peribadinya yang bergelar tunangan orang, menurut Indah, buat masa sekarang dia masih belum menetapkan tarikh perkahwinannya.
Katanya, buat masa ini, dia lebih memberikan fokus kepada perkembangan kariernya sebagai penyanyi terlebih dulu.
“Baru setahun kami bertunang. Bukan tak terfikir untuk mempercepatkan ikatan perkahwinan, cuma ada perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu,” ujarnya.
Menurut Indah, dia sudah mengenali tunangannya yang berusia 31 tahun itu sejak empat tahun lalu.
“Saya bersyukur kerana dia seorang yang memahami kerjaya saya. Kami pun jarang berjumpa memandangkan saya tinggal di Kuala Lumpur, manakala dia pula di Johor Bahru,” katanya.
Dalam perkembangan lain, menurut Indah, dia kini dalam perancangan untuk menghasilkan single kedua yang dijadual bakal dilancarkan pada awal tahun depan.
“Ada tiga pilihan lagu yang sedang dibuat. Salah satunya akan ada lagu duet bersama kumpulan HyperAct,” kongsinya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: