NAMA aktor kacak, Johan A’sari atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari sering dikaitkan dengan kisah cintanya bersama beberapa artis wanita. Kisah jodoh yang terputus di tengah jalan bersama pelakon cantik Lana Nordin awal tahun ini benar-benar memuncakkan kepanasan namanya dalam dunia hiburan tempatan.
Seiring dengan kisah cinta yang tidak kesampaian tersebut, nama dan kelibat pelakon yang sinonim dengan watak Botak yang dipegangnya dalam drama Juvana itu seperti hilang daripada pandangan. Tiada lagi kisah cinta dan tiada lagi gosip panas mengaitkan dirinya dengan mana-mana artis wanita. Situasi itu ada baiknya, namun, pada yang masa yang, aktor berusia 28 tahun itu turut sepi ditenggelami arus hiburan yang memadamkan kepanasan namanya.
Menafikan popularitinya hanya bersandarkan kisah cinta yang tidak kesampaian semata-mata, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu sebenarnya punya rencana sendiri untuk mengembalikan kebangkitan reputasinya ke persada dunia hiburan tanah air.
KOSMO!: Jika dahulu, nama Johan As’ari berada pada posisi yang tinggi, sama ada dari segi kemantapan lakonan serta cerita hangat. Namun, momentum itu tidak kekal. Apakah hanya kerana kisah kontroversi membuatkan populariti anda mencanak naik?
JOHAN: Sejujurnya, saya tidak merasakan kisah kontroversi sebelum ini membantu menaikkan nama saya dalam persada dunia hiburan.
Sebaliknya, jika dikira semula, nama saya mula dikenali setelah memegang watak Botak dalam drama Juvana. Tidak lama selepas itu barulah nama saya sering dikaitkan dengan gosip panas (ketawa). Jadi, salah sekiranya ada pihak yang mendakwa, saya dikenali kerana bersandarkan kepada cerita gosip semata-mata. Saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini, jadi jangan letakkan saya pada kedudukan seperti itu.
Sejak kebelakangan ini, mengapa wajah dan nama seolah-olah hilang daripada publisiti. Adakah sekarang perjalanan karier anda semakin perlahan?
Tidak. Saya masih di sini. Saya akui memang jarang keluar di mana-mana media sama ada elektronik atau cetak dalam tempoh beberapa bulan ini. Tapi itu bukan bermakna saya hilang. Sebenarnya sekarang saya sangat sibuk menjalani penggambaran sebuah drama terbaharu berjudul Cinta Ilahi untuk slot di TV3. Dalam drama itu, saya akan bergandingan dengan pelakon Diana Amir.
Selain itu, boleh kongsikan apa perkembangan terbaharu anda?
Selain drama, sekarang ada empat buah filem lakonan saya sedang menunggu masa untuk ditayangkan di pawagam iaitu Ophilia, Juvana II, Juvana III dan Tujuh. Filem Ophilia yang turut menampilkan lakonan saya juga menemui penonton pada 18 Disember nanti. Filem Tujuh kemungkinan besar akan ditayangkan pada tahun hadapan. Filem Juvana II dan III pula masih belum mendapat tarikh untuk ditayangkan, namun saya sangat berharap filem-filem hebat seperti itu akan dapat menemui penonton dalam kadar segera.
Menyentuh sedikit sisi peribadi, acap kali diri anda sudah melalui jalan kecundang dalam percintaan dan dengan usia yang semakin menjangkau kini, apa komen anda mengenai ini?
(Senyum). Jujur, tiada apa mahu disorokkan. Sekarang saya masih sendiri, masih tiada bertemu pengganti. Bagi saya, belum masanya untuk saya bercinta. Sekarang saya selesa hidup secara solo.
Apa yang penting, saya mahu fokuskan kepada kerjaya. Saya betul-betul mahu mencari motif sebenar, mengapa saya menceburi bidang lakonan. Soal hati dan perasaan, saya mahu tolak ke tepi dulu. Kalau diikutkan, kawan perempuan memang ada, tetapi mereka semua hanya rakan sekerja, bukannya teman yang istimewa. Kalau sudah kekasih nanti, saya tidak keberatan untuk berkongsi dengan semua orang. Sejak dahulu, saya letak target mahu tamatkan zaman bujang paling lewat pada usia 30 tahun. Tetapi, jika jodoh saya datang awal daripada sasaran itu, saya tidak menolak. Jika jodoh saya tiba ketika usia saya sudah melebihi 30 tahun, saya tidak akan merungut. Itu semua kerja Tuhan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: