|
LEGENDA rock tanah air, Amy Search antara personaliti yang sinonim dengan gaya unik dan tersendiri.
Begitu juga kecenderungannya terhadap kasut berjenama seperti Dr. Martens (DM), satu imej yang sukar dipisahkan. Mengenali kasut DM sekitar era 1970-an, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman memperoleh sepatu DM pertamanya selepas tamat sekolah.
Amy yang ketika itu menetap di Johor Bahru, Johor sanggup menyeberang Tambak Johor ke Singapura semata-mata mahu membeli kasut DM. Baginya, label prolifik dari England itu melengkapi jiwa rocknya dan sehingga kini, Amy masih membeli keluaran baharu DM yang semakin pelbagai rekaannya.
Memiliki enam pasang kasut DM dalam koleksi peribadinya, Amy amat menyenangi evolusi rekaan DM yang berubah menjadi sebuah jenama universal.
“Dulu hanya kumpulan tertentu yang memakai kasut DM dan ia sangat popular sekitar 1970-an. Kemudian zamannya berlalu dan kini ia kembali dengan pembaharuan mengagumkan,” kongsi Amy ketika ditemui Stailo pada perasmian butik Dr. Martens di Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor.
Tahun 1945 merupakan permulaan segala-galanya kepada DM. Penciptanya, Klaus Martens ialah seorang doktor yang berkhidmat untuk tentera Jerman pada Perang Dunia Kedua.
Sekitar tahun tersebut, Martens terjatuh ketika meluncur ski di sekitar Pergunungan Alps Bavaria sehingga mencederakan buku lalinya. Dalam keadaan cedera, Martens kembali berkhidmat dan menyarungkan but tenteranya seperti biasa.
Namun, ketidakselesaan yang dialami telah mendorong Martens melakukan penambahbaikan but miliknya menggunakan kulit lembut bersama tapak berpad udara yang diperbuat daripada tayar.
Sejurus tamat peperangan, Martens mula mengumpulkan kulit yang diambil di kedai-kedai tukang kasut. Berbekalkan bahan mentah itu, Martens mencipta sepasang but dengan tapak berkusyen udara.
Bagaimanapun, but rekaannya hanya laris dijual selepas beliau bertemu rakan sekuliahnya, Dr. Herbert Funck, seorang warga Luxembourg yang tinggal di Munich, Jerman pada tahun 1947.
Kerjasama niaga dua sahabat itu bermula di Seeshaupt dengan kebanyakan material berupa getah terpakai diperoleh dari Lapangan Terbang Tentera Luftwaffe.
Dalam tempoh sedekad pertama, produk mereka meraih populariti luar biasa dalam kalangan suri rumah. Dianggarkan 80 peratus jualan dalam tempoh tersebut disumbangkan oleh wanita berumur 40 tahun ke atas.
Hak cipta
Pengembangan jenama duo tersebut juga membolehkan mereka membuka kilang pertama di Munich, Jerman pada tahun 1952. Ekoran kestabilan jualan pada tahun 1959, Martens dan Funck sepakat untuk memasuki pasaran antarabangsa.
Dalam tempoh singkat, pengeluar kasut British, Bill Griggs di bawah R. Griggs Group Ltd. bersetuju untuk membeli hak cipta pengeluaran kasut tersebut di United Kingdom (UK).
Griggs menjenamakan semula kasut tersebut menggunakan nama Inggeris, mengolah sedikit tumit kasut, menambah jahitan kuning yang kini menjadi signatur jenama dan bertanggungjawab mendaftar tanda dagangan tapak DM kepada AirWair.
But DM pertama yang dikeluarkan di UK pada 1 April 1960 adalah koleksi 1460, rekaan kulit klasik bersama lapan lelubang berwarna merah gelap (oxford) yang kekal menjadi produk kekuatannya sehingga ke hari ini.
Kesemua but DM di UK dihasilkan di kilang Cobbs Lane, Wollaston, Northamptonshire yang masih beroperasi sehingga sekarang. Beberapa pengilang kasut berlesen di Northamptonshire juga mengeluarkan kasut DM dan perlu melepasi ujian kualiti standard.
Pada awal keluarannya di UK, but tersebut menjadi kasut kegemaran pekerja-pekerja industri khususnya posmen, pegawai polis dan pekerja kilang.
Fenomena
Seawal tahun 1970-an pula, pengikut budaya skinhead mula menyarung but DM sehingga mengaitkan jenama tersebut dengan keganasan.
Lewat tahun 1980-an, fenomenanya meresap ke dalam kelompok penunggang skuter, punk, pemuzik genre baharu dan pengikut-pengikut subbudaya generasi muda yang pelbagai. But dan kasut DM bertambah popular sekitar 1990-an apabila fesyen grunge mengambil alih.
Pada penghujung November 1994, butik enam tingkat DM dibuka di Covent Garden di London yang turut menjual tali pinggang dan jam tangan.
Ketika itu, R. Griggs menggaji kira-kira 2,700 staf dengan hasil tahunan dianggarkan mencecah 170 juta pound sterling (RM899 juta) dan mampu mengeluarkan sehingga 10 juta pasang kasut setiap tahun.
Memasuki era tahun 2000, DM dijual secara eksklusif di bawah perusahaan AirWair International dan didatangkan dalam variasi rekaan termasuk kasut hitam konvensional dan sandal.
Bagaimanapun, hasil AirWair International merosot dari AS$412 juta (RM1.3 bilion) pada tahun 1999 kepada AS$127 juta (RM429 juta) pada tahun 2006. Pada tahun 2003, syarikat DM hampir bankrap.
Akibat kemerosotan itu, pada 1 April 2003, syarikat tersebut membekukan pengilangan kasut-kasutnya di UK dan memindahkan semua pengeluaran ke China dan Thailand.
Lima kilang dan dua butiknya ditutup di UK kesan daripada keputusan tersebut dan lebih daripada 1,000 stafnya kehilangan pekerjaan. Akibat krisis tersebut, R. Griggs hanya menggaji 20 staf di UK dengan semuanya ditugaskan di ibu pejabatnya.
Pada tahun 2004, DM kembali mengeluarkan kasut di kilang Cobbs Lane. Produk kali ini adalah sebahagian daripada koleksi vintaj yang dihebahkan mereka sebagai kasut yang dihasilkan mengikut spesifikasi asli.
Jualan kasut-kasut itu bagaimanapun agak rendah berbanding yang dihasilkan di Asia. Begitupun, pada tahun 2010, kilang tersebut berjaya mengeluarkan kira-kira 50 pasang kasut sehari.
Jualan global DM kembali kukuh pada awal tahun 2010 dan menjelang tahun 2012, ia dikenal pasti sebagai perusahaan kelapan British yang berkembang pantas.
Lebih 100 juta pasang kasut DM dijual bermula tahun 1960 hingga 2010 melibatkan 250 rekaan. R.Griggs juga membuka 14 butik DM baharu di UK, AS dan Hong Kong dalam tempoh bermula tahun 2009 hingga tahun 2011 serta melancarkan koleksi pakaiannya tiga tahun lalu.
Perkembangan luar biasa DM sejak kebelakangan ini nyata mencorakkan dimensi baharu dalam industri fesyen dunia. Kasut-kasut DM bukan lagi imej eksklusif kepada segelintir kumpulan.
Generasi baharu
Kini, ia menjadi simbolik kebebasan mewakili pelbagai lapisan individu. Mereka yang menyarungkan DM berhak menginterpretasi stail bawaannya secara individualistik tanpa kekangan paradoks lapuk.
Vokalis band Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar Mohd. Baharom antara generasi baharu yang begitu meminati DM.
Mengenali jenama itu pada usia 15 tahun selepas diperkenalkan oleh ibunya, sebagai pemuzik, Sam memerlukan kasut bervariasi rekaan untuk setiap persembahannya. Justeru, kasut-kasut DM banyak menyempurnakan imej peribadinya yang mudah diasosiasikan bersama genre rock.
“Setiap tiga bulan sekali, saya beli sepasang kasut DM dan setakat ini, koleksi yang masih terpelihara ada dalam sembilan hingga 10 pasang. Rekaan kegemaran saya tentunya rekaan edisi pertama.
“Jika dilihat berdasarkan sejarah DM ini, ia sebenarnya dicipta untuk keselamatan dan disebabkan itu ia popular dalam kalangan pekerja-pekerja industri berat.
Kemudian ia dipakai pengikut skinhead tetapi kini rekaan DM banyak melalui improvisasi. Rekaannya lebih pop dan sesuai untuk pasaran komersial. Bagaimanapun, keaslian DM itu masih dikekalkan dan sejujurnya, ia bebas digayakan sesiapa pun,” jelas Sam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: