Saturday, December 6, 2014

Penguat kuasa kena tumbuk


  • Suspek ditahan polis selepas menumbuk anggota MPKj. Gambar kecil: Cermin lori milik MPKj dipecahkan dua lelaki bertindak samseng.Suspek ditahan polis selepas menumbuk anggota MPKj. Gambar kecil: Cermin lori milik MPKj dipecahkan dua lelaki bertindak samseng.

KAJANG – Seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) cedera di pipi selepas ditumbuk seorang lelaki yang berang apabila PBT itu mengambil tindakan menangkap lembu berkeliaran di Seksyen 6, Sungai Long, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, seorang pegawai dan 10 anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima aduan orang ramai berhubung lembu berkeliaran di sekitar kawasan pekan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKj, Shariman Md Nor berkata, daripada empat ekor lembu, pihaknya berjaya menangkap dua ekor yang kemudian dinaikkan ke atas lori milik majlis.

Ketika dalam perjalanan pulang ke ibu pejabat kira-kira jam 5.30 petang, lori membawa muatan lembu dan dinaiki tujuh anggota penguat kuasa itu ditahan dua lelaki.

“Mula-mula dua lelaki itu tahan lori guna motosikal sebelum menghalang laluan menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira berdekatan bulatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Long,” katanya.

Kedua-dua lelaki itu katanya menyuruh anggota melepaskan kembali lembu ditangkap sambil membuat provokasi dengan cuba memecahkan cermin lori.

Perbuatan samseng tersebut tidak terhenti di situ, sebaliknya mereka memecahkan cermin sisi lori dan menarik keluar anggota penguat kuasa sambil mengacukan sebilah parang.

Bimbang dicederakan dan sebagai langkah mempertahankan diri, anggota mengeluarkan sebilah parang yang memang diletakkan dalam lori untuk tujuan operasi menurunkan iklan haram sebelum ini.

“Lelaki tersebut terus paksa supaya lembu dilepaskan namun anggota tidak menuruti kehendaknya menyebabkan seorang daripada mereka terus  menumbuk muka kakitangan MPKj tersebut,” katanya.

Beliau berkata, ketegangan yang berlaku berakhir apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas itu.

Empat lelaki ditahan dan beliau dimaklumkan dua daripadanya direman pihak polis selama beberapa hari untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: