Sunday, December 7, 2014

Lupa gayat kerana minat


FAKTOR cuaca menjadi cabaran kepada mereka yang menjalankan pekerjaan mencuci bangunan tinggi.


BERULANG kali kru Jurnal mendengar pemilik Crystal D’ Anne Enterprise, Aszemi Arip, 47, memberikan peringatan berkenaan langkah keselamatan kepada pekerjanya yang ditugaskan untuk mencuci bangunan tinggi.
Peringatan itu diberi bagi memastikan setiap pekerjanya mengikuti arahan dalam melaksanakan kerja-kerja mencuci bangunan tinggi dengan hanya menggunakan tali.
Aszemi yang berpengalaman selama 27 tahun dalam bidang itu memberitahu, dia sangat tegas dalam melaksanakan tugas mencuci bangunan tinggi yang diberikan kepada setiap pekerjanya kerana jika tersilap percaturan, ia boleh membawa ajal.
“Idea untuk menjalankan perniagaan jenis ini diperoleh selepas saya merasakan sudah puas bekerja. Saya pernah bekerja sebagai tukang sapu sehinggalah menjadi pengawal peribadi tetapi itu semua tidak memberikan kepuasan kepada saya.
“Saya merupakan seorang individu yang menggemari aktiviti-aktiviti lasak dan kerana itu, saya tercari-cari pekerjaan yang betul-betul dapat memenuhi kehendak serta minat saya.
“Ketika saya berusia 20-an, saya menjadi sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kerana tidak berpeluang untuk menjadi tentera. Dari situlah, saya mendapat pendedahan berkenaan kemahiran menggunakan tali dan timbul minat terhadap pekerjaan berisiko tinggi menggunakan tali,” jelasnya yang berpangkat Sarjan dan merupakan jurulatih tali tinggi di JPAM.

TEKNIK mencuci bangunan tinggi biasanya dimulakan pada bahagian atas terlebih dulu.


Gayat
Aszemi yang pernah gagal dalam perniagaan memberitahu, untuk menjadi seorang pencuci bangunan pencakar langit, minat dan keberanian perlu ada dalam diri seseorang.
“Saya merupakan seorang yang gayat tetapi disebabkan minat, saya gemar mencabar diri dengan melakukan pekerjaan yang lain daripada lain selain gemar melakukan aktiviti-aktiviti lasak.
“Boleh dikatakan, saya menjadi gian untuk memanjat bangunan tinggi sejak mula membabitkan diri dalam bidang yang dahulunya banyak didominasi oleh kaum Cina.
“Jika dilihat, saya lebih gemar menggunakan khidmat daripada sukarelawan JPAM bagi membantu saya melakukan kerja-kerja mencuci kerana mereka sudah mempunyai asas dan sijil dalam melakukan kerja-kerja berkaitan penggunaan tali.
“Penggunaan tali atau rope access ini mampu melaksanakan tugas yang tidak dapat disempurnakan dengan penggunaan kren, gondola atau skylift bagi membersihkan bangunan tinggi,” ujarnya yang mempunyai lesen kerja di tempat tinggi.
Jelas Aszemi, seramai tiga hingga lima orang sahaja yang akan berpaut pada tali bagi menjalankan kerja-kerja mencuci manakala ada juga yang akan memantau di bahagian atas dan bawah bangunan.
“Pada kebiasaannya, sebelum kami melakukan kerja-kerja mencuci bangunan tinggi, saya sendiri akan meninjau lokasi bangunan yang bakal dicuci. Malah, saya juga akan memastikan peralatan yang digunakan ketika proses mencuci seperti topi keselamatan, tali dada keselamatan, stopper knot (tali simpul sebagai penahan), carabiner (cangkuk khas), walkie talkie dan bosun chair (kerusi khas diikat pada tali untuk duduk) serta tali berada dalam keadaan selamat dan baik sebelum mengarahkan pekerja untuk mencuci bangunan tersebut.
“Tidak terkecuali juga kelengkapan mencuci seperti batang mop, bahan pencuci dan baldi yang digantung di bahagian pinggang menggunakan carabiner.
“Pekerja akan diajar terlebih dulu berkenaan fungsi peralatan yang digunakan, teknik mencuci dan teknik untuk menggunakan tali. Selain itu, saya juga akan memberi taklimat ringkas kepada pekerja-pekerja yang akan melakukan kerja-kerja mencuci.
“Pekerja akan dibahagikan kepada beberapa bahagian sepanjang kerja-kerja mencuci dilakukan dan mereka diletakkan pada jarak yang tidak terlalu berjauhan,” ujarnya sambil memberitahu, proses mencuci sebuah bangunan tinggi memakan masa selama 10 hingga 30 hari bergantung kepada ketinggian dan berapa lama bangunan tersebut tidak dicuci.
Tambahnya, setakat ini, bangunan yang paling mencabar untuk dicuci ialah Muzium Negara kerana bahagian anjungnya yang mendatar dan sukar didaki.
“Kadar bayaran pula ditentukan melalui tahap kekotoran, ketinggian dan kerumitan proses mencuci dilakukan dengan lingkungan harga RM15,000 hingga RM95,000,” ujarnya yang kini dalam proses mencuci bangunan CP Tower di Petaling Jaya setinggi 22 tingkat.

ASZEMI (tengah) bersama sebahagian pekerja yang membantunya mengendalikan kerja-kerja mencuci bangunan.


Tali statik
Jelasnya, komunikasi sangat penting dalam melakukan pekerjaan itu dan pekerja perlu patuh pada arahan yang diberikan oleh ketua bagi mengelakkan berlaku kemalangan.
“Faktor-faktor seperti ingkar arahan, cuai, peralatan tidak diselenggara dengan baik selain ego menjadi punca berlakunya kemalangan ketika proses mencuci tingkap bangunan tinggi dilakukan.
“Disebabkan itu, saya sangat mementingkan keselamatan kerana pekerjaan ini membabitkan nyawa, malah saya sendiri pernah berdepan situasi terjatuh dari tingkat dua akibat kecuaian ketika mencuci sebuah bangunan setinggi 18 tingkat sehingga menyebabkan buku lali saya retak,” jelasnya sambil memberitahu, pihaknya memperuntukkan tiga hingga lima projek mencuci bangunan tinggi dalam setahun.
Aszemi memberitahu, kerja-kerja mencuci itu dilakukan dengan menggunakan tali jenis statik berukuran 11 milimeter (mm) yang boleh menampung berat sehingga 3,500 kilogram.
“Tali jenis ini lebih sesuai digunakan berbanding tali jenis dinamik yang digunakan untuk tujuan rekreasi kerana ia boleh menganjal dan semakin mengecil sekiranya mempunyai beban yang ditarik tetapi itu tidak berlaku kepada tali jenis statik.
“Setiap pekerja akan dilengkapi dengan dua tali iaitu tali utama dan tali keselamatan sepanjang 200 meter. Saya sendiri akan menyelenggara tali tersebut sebelum dan selepas digunakan.
“Tali boleh digunakan untuk tempoh masa yang lama bergantung kepada cara penjagaannya selain tidak dicampuradukkan bersama peralatan lain,” tambahnya sambil menyatakan, pihaknya memperuntukkan kos peralatan sebanyak RM22,000 untuk setiap seorang pekerja.


1 comment:

  1. salam.. boleh saya tahu. untuk pakaian mencuci bangunan ini dy ada berapa jenis. means baju tu ada had untuk ketinggian tertentu k.? saya student dari uitm shah alam kena menjalankan kajian tentang pakaian baju yang dipakai untuk mencuci bangunan. sekiranya pihak encik tidak keberatan untuk membantu saya dalam menjalankan kajian ini saya tinggalkan number saya 01111513323 untuk dihubungi.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: