Monday, December 1, 2014

Rezeki si pengayuh beca terjejas


  • Hashim bersedia mengayuh beca untuk mencari pelanggan ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang, di sini.Hashim bersedia mengayuh beca untuk mencari pelanggan ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang, di sini.

KUALA TERENGGANU - Walaupun cuaca hujan, Hashim Umar, 62 tidak pernah terfikir untuk berhenti mengayuh beca kerana ia adalah sumber pendapatannya sejak 44 tahun lalu bagi mencari sesuap nasi untuk menampung keluarganya.

Menurutnya, sepanjang musim hujan dan banjir sejak hampir seminggu lalu, pendapatannya agak terjejas malah pernah hanya dapat RM4 sehari oleh seorang pelanggan yang meminta untuk dihantar ke pusat bandar.

“Hari ini (semalam) dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, saya hanya dapat seorang pelanggan dan hanya RM2 sahaja, sedangkan orang rumah (isteri) kirim macam-macam untuk dibeli di pasar seperti beras, ikan dan sebagainya.

“Macam mana nak buat tu saya tak tahulah sebab punca pendapatan bergantung sepenuhnya kepada hasil kayuhan beca,” luahnya kepada Sinar Harian.
Hashim yang kini menyewa rumah di Kampung Laut berkata, harga barangan yang kian mahal terutama musim banjir ini juga memberi tekanan kepada individu yang berpendapatan rendah sepertinya.
“Musim sekarang, harga ikan, ayam, sayur pun mahal. Jadi bagaimana nak bagi makan anak-anak. Tambah pula ada empat cucu yang tinggal bersama saya sekarang,” katanya.
Menurut Hashim, dia mempunyai lapan orang anak dan masih menanggung dua anak serta empat cucu.

“Dengan jumlah keluarga yang besar ini kalau pendapatan tidak tentu memang kena ikat perut. Makan pun tidak boleh yang sedap-sedap.

“Nak bertani atau berternak saya tiada rumah atau tanah sendiri. Rumah sedia ada pun yang menyewa,” katanya.
Hasim berkata, walaupun turun dari rumah seawal jam 6 pagi untuk mencari rezeki, dia masih sukar mendapatkan pelanggan kerana kebanyakannya kini memilih pengangkutan lain yang masih selamat musim ini.

“Kita turun awal dari rumah sebab bimbang jalan sesak apabila ramai orang mahu ke tempat kerja. Tapi nak buat macam mana, cuaca hujan. Rezeki pun kurang, saya terpaksa ikat perut. Sekarang pun masih belum jamah apa-apa.

“RM2 nak minum kopi pun tak lepas. Inikan pula mahu beli barang keperluan asas untuk dibawa pulang ke rumah. Isteri saya faham, kalau tiada bawa balik barang tu tandanya saya tidak ramai pelanggan,” katanya.

Menurutnya, mengayuh beca pada musim hujan dan berangin ini memerlukan tenaga lebih.

“Bukan tidak letih kayuh beca, letih. Sama juga dengan kawan-kawan saya yang lain yang turut sama kayuh beca. Habis sakit belakang sebab angin tolak. Kayuh beca perlu tenaga, bukan ada enjin.

“Tapi nak buat macam mana, kalau ada bantuan untuk pengayuh beca pada musim tengkujuh ini memang kami sebagai pengayuh beca amat bersyukur sebab masing-masing alami nasib serupa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: