Walaupun pernah terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal seawal usia 13 tahun, itu tidak dijadikan penghalang buat diri seorang remaja lelaki yang berada di hadapan kru Jurnal ketika pertemuan di Sekolah Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka itu untuk berubah.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Azeem memberitahu, akibat mahu mendapatkan wang dengan cara mudah menyebabkan dia terjerat ke dalam kancah jenayah terbabit.
Memulakan bicara, Azeem berkata, dia mula mempelajari teknik mencuri motosikal daripada seorang rakan yang sudah mahir melakukan kegiatan tersebut.
“Saya pernah terlibat di dalam jenayah curi motosikal, pecah rumah dan menghisap dadah, malah kesemua jenayah yang dilakukan itu merupakan kemahuan dan kehendak diri sendiri selepas melihat seorang rakan hidup mewah hasil mencuri motosikal.
“Sejak berada di alam sekolah rendah lagi, saya sememangnya seorang pelajar yang mempunyai masalah disiplin selain kerap terlibat dengan pergaduhan dan ponteng kelas.
“Keadaan itu berlanjutan sehingga saya memasuki alam sekolah menengah. Bayangkan, sejak berusia 13 tahun lagi, saya sudah berjinak-jinak di dalam jenayah mencuri motosikal sehinggakan adakalanya saya kerap ponteng sekolah tanpa pengetahuan keluarga hanya untuk mengikut rakan melakukan aktiviti jenayah terbabit,” jelasnya yang berasal dari utara tanah air.
Wang haram
Tambahnya, dia mempelajari teknik untuk mencuri motosikal daripada seorang rakan hanya menggunakan spanar untuk menanggalkan nat pada motosikal selain menggunakan sebuah alat lain yang boleh diperoleh dengan mudah di kedai perkakasan.
“Bermula dengan mencuri sebuah motosikal, saya menjadi ketagih untuk mencuri motosikal lain. Lokasi sasaran saya ialah di sekitar kawasan perumahan dan pusat beli-belah. Pada permulaan, saya akan menggunakan motosikal yang dicuri untuk kegunaan sendiri selepas menukar nombor plat motosikal terbabit. Setelah beberapa minggu, dia menjualnya di pasaran gelap pada lingkungan harga RM400 hingga RM1,800 mengikut warna, enjin dan jarak perjalanan motosikal yang dicuri.
“Lama-kelamaan, saya mampu membeli motosikal sendiri menggunakan wang haram terbabit ketika berusia 14 tahun sehinggakan ibu dan bapa juga tertanya-tanya di mana saya memperoleh wang untuk membeli motosikal sendiri.
“Pada permulaan, saya menipu ibu dengan memberitahu motosikal itu milik seorang rakan yang berpindah ke Kuala Lumpur dan mereka mempercayainya. Melihatkan gelagat saya yang gemar bertukar motosikal menyebabkan keluarga mula mengesyaki sesuatu tetapi teguran demi teguran tidak saya endahkan kerana saya merupakan seorang yang degil selain keras kepala,” katanya yang turut melakukan kegiatan pecah rumah dan terlibat dalam penagihan dadah pada usia 17 tahun.
Ujar anak kedua daripada lima orang adik-beradik ini, dia juga semakin berani meleraikan komponen-komponen motosikal untuk dijual tetapi rangkanya akan dibuang ke dalam sebuah tasik berdekatan rumahnya.
Cuci tangan
Azeem berkata, dia hanya akan melakukan kegiatan mencuri motosikal itu sekiranya mendapat permintaan daripada pelanggan dan dia pernah mencuri tiga buah motosikal dalam sehari.
“Kegiatan jenayah ini tetap diteruskan walaupun saya dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur ketika saya menuntut di tingkatan empat.
“Saya juga pernah dibuang dari sekolah ketika berada di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta bagi mengelakkan tindakan saya dihidu keluarga yang menyangka saya masih bersekolah.
“Pada penghujung tahun 2010, kami sekeluarga berpindah semula ke rumah lama di utara tanah air tetapi keadaan tetap sama, malah sikap saya juga tidak pernah berubah dan masih meneruskan aktiviti mencuri motosikal dan pecah rumah sehingga berusia 18 tahun sebelum menyambung pelajaran ke sebuah kolej swasta.
“Walaupun begitu, saya bersyukur kerana memperoleh keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan keluarga meminta saya menyambung pengajian. Ketika itu, saya berazam untuk cuci tangan daripada melakukan aktiviti-aktiviti itu tetapi belum sempat azam saya itu dilaksanakan, saya ditahan polis ketika berada di rumah beserta bahan bukti,” jelasnya sambil memberitahu, sebelum ini dia pernah ditahan polis sebanyak lima kali tetapi dibebaskan kerana tiada bukti yang mengaitkannya.
Tambahnya, pihak polis menjumpai bahan bukti komponen motosikal yang dileraikan seperti enjin dan rim di rumahnya ketika dia ditahan.
“Saya dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun disebabkan mencuri, memiliki dan melupuskan komponen motosikal pada tahun 2012 sebelum dihantar ke sekolah pemulihan ini. Sepanjang dua tahun berada di sini, saya benar-benar menyesal kerana mensia-siakan zaman remaja.
“Walaupun begitu, saya tetap mempunyai azam untuk berubah dan mahu melanjutkan pelajaran ke menara gading apabila dibebaskan kelak dan bercita-cita untuk terlibat dalam pasukan unit beruniform,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: