|
KEGANASAN terhadap wanita merupakan satu isu menyayat hati yang sering menjadi topik utama di media massa. Kita sering mendengar kes wanita disimbah asid kerana cemburu dan dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan kematian.
Ia bukan sahaja berlegar dengan isu rumah tangga, tetapi adakalanya ia juga berlaku di luar rumah. Dalam kebanyakan kes, pelakunya ialah kaum lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung kepada kaum wanita.
Mengapa hal yang buruk seumpama ini selalu sahaja berlaku?
Secara tabiatnya, kaum wanita dan lelaki dikurniakan sifat yang berbeza. Wanita dikurniakan dengan sifat lemah lembut dan penyayang kerana ia berpadanan dengan tugas wanita untuk melahirkan dan membesarkan anak. Lelaki pula dikurniakan dengan sifat kasar dan secara fizikalnya mempunyai bentuk yang sasa kerana ia bertujuan untuk melindungi keselamatan keluarga.
Bagaimanapun, kerana tidak memahami peranan sebenar ini, wanita yang dianggap sebagai makhluk yang lemah sering menjadi objek pukulan kaum lelaki. Lelaki sepatutnya menjadi pelindung kepada kaum wanita sebaliknya menjadi musuh yang menakutkan.
Di Malaysia, dianggarkan antara 3,000 ke 4,000 kes keganasan terhadap wanita berlaku setiap tahun. Namun, ia merupakan kes-kes yang dilaporkan. Sekiranya kita mengambil kes yang tidak dilaporkan, jumlah tersebut tentu lebih besar.
Keganasan ini tidak pula hanya bersifat fizikal, adakalanya dalam bentuk emosi. Ada wanita yang menjadi bahan cacian, hinaan dan lebih teruk, dianggap sebagai hamba yang dinafikan hak untuk bersuara.
Terdapat juga kes-kes wanita yang dianggap seolah-olahnya ‘tidak wujud’ di dalam rumah apabila suami tidak bertegur sapa selama bertahun-tahun. Kesemua kategori tersebut merupakan sifat keganasan.
Mengapa wanita tidak melaporkan kejadian buruk yang menimpa mereka, khususnya apabila dilakukan oleh suami atau pasangan mereka?
Dalam kebanyakan kes, apabila wanita ini diperlakukan secara kasar, mereka kelihatan sanggup melakukan pengorbanan yang lebih besar kepada keluarga dan pasangan mereka.
Stockhlom
Dalam istilah psikologi, ia dikenali sebagai sindrom Stockholm. Sindrom ini selalu dikaitkan dengan mangsa penculikan yang pada peringkat awalnya sangat membenci penculik tersebut. Bagaimanapun, setelah sekian lama ditahan, kekuatan psikologi mangsa merosot dengan teruk kerana tidak menjumpai jalan keluar untuk menyelamatkan diri.
Mangsa yang asalnya membenci penculik tadi berubah menjadi orang yang simpati dan menyayangi penculik itu. Ini kerana mangsa sudah bertemu jalan buntu dan dengan hanya menterbalikkan perasaan tadi, dia mampu bertahan.
Simptom yang sama mungkin berlaku dalam banyak kes mangsa keganasan rumah tangga ini. Ada wanita yang masih sanggup memberikan wang mereka kepada suami yang diketahui sebagai penagih dadah, atau terus hidup dengan pasangan yang panas baran. Apabila diperlakukan secara tidak wajar, mereka mendiamkan diri dan tidak pula melaporkan kepada pihak berkuasa.
Sesetengah beranggapan bahawa lelaki yang memukul atau memperlakukan wanita secara kasar ini seorang manusia yang gagah. Secara logiknya ia mungkin begitu, tetapi pada hakikatnya ia mungkin tidak. Dalam psikologi, Sigmund Freud, pelopor aliran psikoanalisis yang selalu dirujuk menghuraikan bagaimana manusia ini mempunyai satu mekanisma helah belah diri.
Manusia cenderung menyembunyikan kelemahannya dengan berpura-pura menunjukkan kekuatan yang mereka miliki. Dalam erti kata lain, apabila mereka tidak mempunyai apa-apa, mereka akan menunjukkan seolah-olahnya mereka memiliki sesuatu yang istimewa.
Rendah diri
Sebab itu, ada kemungkinan pelaku kepada banyak keganasan ini sebenarnya ialah mereka yang mempunyai perasaan rendah diri, tetapi mereka cuba menunjukkan ego mereka dengan melakukan sesuatu yang dianggap dapat menunjukkan betapa mereka bukan manusia yang lemah. Malangnya, dalam kebanyakan kes, mereka telah menjadikan wanita sebagai mangsa kepada kelemahan diri mereka.
Disebabkan itu, bagi menangani kes keganasan terhadap wanita ini, setiap pihak perlu bekerjasama. Wanita yang menjadi mangsa tidak lagi patut menyembunyikan penderitaan mereka. Ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa atau kepada individu yang dirasakan mampu membantu mereka.
Ahli masyarakat juga sewajarnya lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Sebenarnya, mereka yang terlibat dengan kes keganasan dan penderaan ini dapat dikesan dengan pola perubahan tingkah laku.
Kebanyakannya, mereka yang terlibat dengan kes keganasan ini, sama ada sebagai mangsa atau pemangsa, selalunya cuba untuk menjauhkan diri daripada aktiviti sosial dengan masyarakat setempat.
Ini kerana mereka bimbang masalah tersebut akan terbongkar. Perkara itu mungkin boleh menjadi petunjuk ada sesuatu yang tidak kena terhadap jiran atau rakan komuniti kita yang lain.
Keganasan terhadap wanita tidak boleh ditangani sekiranya semua orang beranggapan bahawa apa yang berlaku merupakan masalah rumah tangga masing-masing. Sedangkan hakikatnya, ia mungkin bukan sekadar isu rumah tangga semata-mata, tetapi mungkin sudah berubah menjadi kes jenayah apabila ada wanita yang terus didera setiap hari.
Golongan wanita merupakan golongan yang perlu dilindungi dan bukannya dijadikan sebagai objek kebencian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: