Wednesday, December 3, 2014

Mata berulat dihinggapi lalat


  • Keadaan mata Mohd Zain yang kini buta, bernanah selain berulat selepas dijangkiti kuman sejak beberapa tahun lalu.Keadaan mata Mohd Zain yang kini buta, bernanah selain berulat selepas dijangkiti kuman sejak beberapa tahun lalu.

DUNGUN - Kedaifan hidup menyebabkan seorang wanita warga emas terpaksa berjalan kaki kira-kira tiga kilometer setiap hari, mengelilingi beberapa kampung berhampiran bagi menjaja kuih untuk menyara kehidupan.

Tidak kira cuaca hujan atau panas, demi memastikan dia dan suaminya dapat mengisi perut, wanita ini terpaksa menguatkan dirinya, walaupun adakalanya dia rebah tertiarap selepas pitam kerana badannya yang uzur itu sudah tidak bertenaga.

Khatijah Mohamed, 71, yang menjalani kehidupan di sebuah pondok usang bersama suami, Mohd Zain Ismail, 64, berkata, sebelum ini, mereka menyewa sebuah rumah papan di celah lorong berdekatan Jalan Kubur, Tanah Lot, di sini dengan kadar sewa RM100 sebulan.

“Selepas suami makcik jatuh sakit, kehidupan makin susah, kami tak mampu bayar sewa rumah sehingga tunggakannya mencecah ribuan ringgit.

“Suami makcik pula alami masalah jangkitan kuman pada mata dan terpaksa berulang-alik ke hospital menyebabkan makcik tak dapat cari wang kerana terpaksa jaga suami,” katanya.

Kata Khatijah, pernah beberapa hari mereka alas perut dengan hanya makan nasi bubur tanpa sebarang lauk kerana ketiadaan wang.

“Dua tiga hari makan nasi bubur sebelum ada orang beri sikit wang untuk membolehkan makcik beli barang dapur lain,” katanya.

Katanya, dia ada menerima wang bantuan daripada JKM sebanyak RM200 sebulan selain sumbangan beras daripada Pejabat Ahli Parlimen Dungun.

“Dengan wang sebanyak itu apalah sangat yang dapat makcik belanjakan kerana sebahagiannya terpaksa diperuntukkan untuk biayai kos rawatan suami yang kini mata kanannya tidak boleh melihat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zain atau lebih dikenal sebagai Pok Jin berkata, dia sudah putus harapan untuk ubati penyakit matanya yang kini sudah tahap kritikal.

Lebih menyedihkan apabila bahagian matanya itu sudah berulat dan sering dihinggapi lalat menyebabkan dia rasa malu untuk bertemu orang ramai, apatah lagi ingin menagih bantuan.

“Mata saya buta, isteri pun sudah uzur, tak larat nak kerja lagi. Kami pula tiada anak...sepatutnya kami layak dapat bantuan lain, tapi hanya RM200 itu sahajalah bantuan yang kami terima.

“Saya dengar Dungun ni ramai orang kaya, pemimpin ramai, tapi tak ada seorang pun yang bantu kami,” katanya.

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai kisah pasangan ini boleh hubungi talian 013-9629449.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: