Tuesday, December 2, 2014

Persembahan Kurang Memuaskan Punca Ada Lagu Tercicir Senarai Akhir AJL 29 - Azmeer


Ketua juri peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 29, Azmeer.
SHAH ALAM: Ketua juri peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 29, Azmeer menjelaskan antara faktor beberapa lagu mempunyai potensi tetapi tidak terpilih ke Anugerah Juara Lagu 29 (AJL 29) disebabkan persembahan kurang memberangsangkan pada pertandingan yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini pada malam Jumaat lalu.
Azmeer berkata, pada peringkat tersebut persembahan yang disampaikan oleh artis terlibat diambil kira biarpun sesuatu lagu tersebut mempunyai potensi tinggi untuk ke peringkat seterusnya ekoran persaingan sengit.
"Kita juga membuat penilaian pada persembahan dilakukan pada malam separuh akhir selama tiga minggu ini dan ada beberapa faktor lagu dijangka masuk ke AJL 29 namun gagal dipilih selepas persembahan.
"Lagu yang baik tetapi artis tidak bersungguh-sungguh ketika melakukan persembahan turut diambil kira dalam pemarkahan," ujarnya.

Pada malam tersebut 12 buah lagu diumumkan layak ke AJL 29 yang akan diadakan pada 18 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Barisan artis yang berjaya ke peringkat akhir AJL 29 pada pertandingan separuh akhir minggu ketiga.
Lagu-lagu yang layak ke AJL29 yang akan diadakan pada 18 Januari hadapan terdiri daripada Gilalah (Stacy), Gadis Jolobu (Datuk Hattan & Waris), Malaikai (Hazama),Romancinta (Mojo), Apa Khabar (Joe Flizzow) dan Lelaki (Yuna).

Manakala Matahari (Hafiz Suip), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Rentak Laguku(Bunkface & Amy Search), Sesal Separuh Nyawa (Alyah), Percayalah (Indah Ruhaila), danMasih Aku Cinta (Shila Amzah) turut dipilih untuk berentap pada peringkat akhir.
Sementara itu, Azmeer tidak menafikan terdapat banyak lagu yang baik dan layak untuk dipertandingkan di AJL kali ini.
"Lagu-lagu separuh akhir tahun ini banyak yang mempunyai kualiti untuk ke AJL.
"Bagaimanapun, pihak penganjur hanya mahu 12 lagu terbaik sahaja, kalau diikutkan ada 14 lagu yang kami ingin ke peringkat akhir," ujarnya.
Sementara itu, Yuna yang layak menerusi lagu Lelaki memberitahu masih memikirkan untuk membuat persembahan di pentas akhir itu berikutan dia dijangka kembali ke Amerika Syarikat Januari depan.
"Kalau lagu sebelum ini saya boleh meminta bantuan daripada Aizat, namun kali ini lagu tersebut berjudul Lelaki tidak mungkin Aizat yang akan menyanyikannya.
"Sekarang masih mempertimbangkan lagi perkara itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: