Saturday, December 6, 2014

Touch N Go sumbang 630 anak pokok


SUKARELAWAN membawa pokok-pokok ke kawasan penanaman.


SABAN hari, media massa se­ring mendedahkan berita me­ngenai aktiviti penerokaan hutan yang dilakukan oleh pihak-pihak ti­dak bertanggungjawab.
Sekiranya aktiviti itu tidak diben­dung lebih awal, ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada kehidupan manusia.
Antara kesan penerokaan hutan kepada ma­nusia ialah ke­jadian bencana alam sehingga menjejaskan kualiti hi­dup.
Setiap kali hujan lebat, runtuhan dan banjir lumpur pasti berlaku kerana permukaan tanah terdedah kepada ejen hakisan iaitu air.
Fenomena tersebut akan menyebabkan kawasan pertanian dan penempatan manusia musnah. Kejadian yang lebih dahsyat apabila ia meragut nyawa.
Contohnya, tragedi banjir dan tanah runtuh di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang yang meragut tiga nyawa baru-baru ini.
Dalam kejadian pada 5 November lalu, ia dipercayai berpunca daripada aktiviti pene­rokaan tanah secara ha­ram oleh penda­tang asing tanpa izin (PATI) di kawasan tersebut untuk pertanian.
Selain itu, penerokaan hutan boleh menjejaskan bekalan makanan dan air, habitat semula jadi flora dan fauna serta perubahan suhu bumi.
Menyedari hakikat kepenti­ngan hutan kepada hidupan, Pertubuhan Perlindu­ngan Khazanah Alam Ma­nusia (Peka) telah menganjurkan Program Penanaman Semula Pokok di Hutan Simpan Sungai Lalang, Hulu La­ngat, Selangor.
SEBAHAGIAN daripada kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang diteroka untuk projek pertanian sejak sedekad lalu.


Dalam program setengah hari itu, sebanyak 1,500 anak pokok yang terdi­ri dari­pada meranti, balau, cengal dan merawan ditanam di sekitar hutan ber­kenaan.
Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, keempat-empat spesies anak pokok yang ditanam itu dibekalkan oleh pihak Jabatan Perhutanan Selangor (JPS).
Pemuliharaan
Menurutnya, program yang melibatkan lebih 120 sukarelawan itu turut menda­pat kerjasama Persatuan Pe­ngakap Malaysia dan Touch N Go Sdn. Bhd.
“Saya gembira melihat sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sekolah khususnya ahli-ahli pe­ngakap menunjukkan komitmen dan minat yang mendalam terhadap program pemuliharaan alam semula jadi.
“Program seperti ini diharap mampu menjadi titik permulaan dalam usaha memupuk generasi kini dan akan datang supaya mengamalkan konsep suasana hijau,” katanya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Penolong Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Harman Baharudin dan Penolong Pesuruhjaya Persatuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor, Md. Arrif Hairoman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Touch N Go, Abdul Karim Md. Lassim berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Peka dalam menjayakan program tersebut.
Katanya, program tersebut diharap dapat menjadi perintis kepada agensi korporat lain agar sama-sama bergan­ding bahu dengan badan bukan kerajaan seperti Peka dalam memulihara hutan di negara ini.
“Ini merupakan kali pertama pihak kami terlibat dalam aktiviti berkaitan alam semula jadi.

Seramai 120 orang sukarelawan daripada Persatuan Pengakap Malaysia terlibat dalam program tersebut.


“Sempena program ini, kami telah menyumbang sebanyak 630 anak pokok dengan kos keseluruhan mencecah RM19,000,” katanya sambil memaklumkan harga setiap pokok ialah RM3 sebatang.
Dalam pada itu, Herman memberitahu, Hutan Simpan Sungai Lalang mempunyai keluasan 17,027.77 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada tahun 1907.
Bagaimanapun, sebahagian kawasan itu telah diteroka dan dimajukan untuk projek pertanian sejak sedekad lalu.
“Oleh itu, pihak Jabatan Perhutanan Selangor mengambil pendekatan menghijaukan kembali kawasan itu dengan menanam anak pokok yang mempunyai daya tahan tinggi,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Peka dan program-program penanaman pokok, sila hubungi talian 03-5513 3803 atau layari laman web http://pekamalaysia.org.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: