Thursday, December 4, 2014

Erma Fatima Sedia Hadapi Kontroversi Kemban 'Takhta 3 Ratu'


Antara barisan artis yang bakal tampil dalam pementasan teater Takhta 3 Ratu.
KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah filem televisyen (FTV), Takhta 3 Ratu, Erma Fatima sudah bersedia sekiranya watak wanita berkemban dalam karyanya itu kembali menjadi kontroversi.

Erma berkata, kali ini dia  menerima dengan lebih terbuka memandangkan sebelum ini perkara itu pernah berbangkit ketika penggambaran sedang dijalankan.

"Satu ketika dulu, saya pernah terduduk apabila babak rogol dalam karya saya menerusi filem Embun menjadi isu.

"Jadi andai kata ada pihak mahu menimbulkan isu dalam Takhta 3 Ratu, saya reda.

"Cuma saya harap penonton lebih bijak berfikir ketika menonton naskhah ini berbanding memikirkan isu kemban," katanya kepada mStar Online.
Erma ditemui selepas tayangan Takhta 3 Ratu di Panggung Sari, Istana Budaya di sini pada Rabu.

Erma Fatima


Pada awal April lalu, Erma mendapat kritikan hebat daripada pengikut-pengikutnya di Instagram selepas dia memuat naik foto-foto para pelakon filem tersebut yang memakai kostum ala-ala berkemban.

Pengikut-pengikut Erma meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara pemakaian pelakon yang ditonjolkan pengarah itu kerana ia dilihat tidak bersesuaian dengan norma agama Islam dan adat Melayu.

Sementara itu, Erma berkata, dia enggan memikirkan tentang perkara itu sebaliknya berharap karya berbentuk fiksyen sejarah tersebut mendapat respons positif daripada penonton.

"Saya bersyukur sangat kerana mempunyai barisan pelakon yang hebat di mana mereka memudahkan saya untuk berkarya.

"Cuma saya harap penonton dapat faham penceritaan karya ini dan tidak keliru dengan fakta sejarah kerana ia dihasilkan mengikut sudut pandang saya daripada kisah Hang Li Po dan Tun Teja.

"Sebab itu ia dipanggil sebuah naskah berbentuk fiksyen. Tetapi jangan salah faham, saya tidak  berniat mahu mengelirukan sejarah," tuturnya.

Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Feby Febiola) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar)  terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.

mStar Default Image
Dari kiri; Beto Kusyairy, Datuk Rahim Razali dan Awie yang akan tampil dalam Takhta 3 Ratu.


Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terkejut apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka.

Takhta 3 Ratu bakal bersiaran di Astro First Eksklusif mulai 25 Disember ini.

Manakala karya tersebut turut akan dipersembahkan menerusi pementasan teater bermula 13 hingga 22 Disember ini di Istana Budaya.

Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: