PENYANYI rap Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 28, menegaskan, bait-bait lirik yang dicipta untuk dimuatkan dalam single terbaharu nyanyiannya bersama Salam dan Aman-RA tidak berniat untuk menyindir sesiapa. Tegas Altimet, lagu itu merupakan kesinambungan kepada single terdahulu Kotarayaku yang mana liriknya mencerminkan kehidupan warga kota.
“Itu realitinya, daripada seni kata dan olahan klip video untuk lagu Belantara Konkrit semuanya mencerminkan diri kita seharian. Tidak semua perkara di dunia ini lawa dan saya berimaginasi bagaimana sekiranya ibu kota Kuala Lumpur berubah menjadi sebuah rimba dan penghuninya terdiri daripada haiwan.
“Oleh itu, saya jadikan setiap bait kata dalam single ketiga daripada album Kotarayaku menjadi sebuah metafora. Bukan bersikap kurang ajar, tetapi, saya lebih senang bercakap terus terang,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran single Belantara Konkrit di pejabat urusan Sony Music Malaysia, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Altimet, menariknya mengenai genre hip hop dan rap, apabila sesebuah lagu itu diberikan kebebasan untuk berterus terang dan hal itu sama sekali membezakan genre yang dipegangnya dengan aliran muzik lain.
“Lagu ini tidak berniat menyinggung sesiapa, namun setiap penceritaan membawa maksud tersendiri. Hakikatnya yang indah tentang genre muzik hip hop ialah kita boleh berkarya tanpa berselindung atau berbunga-bunga. Kalau terus bertopeng, susahlah bagi seseorang artis hip hop itu hendak menyampaikan mesej dalam lagu,” katanya.
Altimet mengakui lagu Belantara Konkrit mempunyai sifat bertentangan dengan Kotarayaku yang lebih bersifat positif dan menceritakan keindahan semata-mata. Masih mengekalkan rentak muzik sama seperti lagu terdahulu, Belantara Konkrit mula digarap sekitar tiga tahun lalu secara tidak sengaja dan memakan masa selama dua bulan untuk disiapkan.
“Suatu malam, ketika saya sedang memandu kereta di Kuala Lumpur, saya mendapat bayangan bahawa semua penghuni kota hanya terdiri daripada haiwan sahaja. Ketika itu terdetik frasa concrete jungle dalam fikiran saya dan terpanggil untuk bercerita kisahnya dalam lagu. Jadi, saya menelefon Salam dan bercerita tentang idea itu kepadanya. Saya mengajak Aman-RA untuk turut berkolaborasi,” cerita Altimet yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya ke-36 pada 27 November lalu.
Kepercayaan untuk mengarahkan klip video lagu tersebut masih diberikan kepada individu sama yang pernah menghasilkan klip video lagu Bangkit, iaitu Hafiz Mohtar daripada produksi SchizoMotion. Konsep pergerakan grafik yang terkandung lirik lagu tersebut diguna pakai sekali lagi untuk memberikan visual lebih jelas kepada penonton dan pendengar.
Selepas Belantara Konkrit, Altimet akan mempromosikan single Aku Tahu yang dirakamkan bersama Tomok. Kata Altimet, lagu itu menceritakan kasih sayang antara seorang bapa dan anak.
Diajak bercerita mengenai perkembangan semasa muzik hip hop, Altimet meletakkan dirinya sebagai bukan pesaing dalam liga penyanyi hip hop baharu. Jelas bekas anggota kumpulan The Tarik Crew itu, dia melihat rapper sejati hanya menulis lagu sendiri.
“Saya letakkan diri saya sebagai old school rapper kerana saya perlu membuat lirik sendiri untuk lagu sendiri. Jangan letakkan saya sealiran dengan rapper yang baru muncul kerana saya sama sekali tidak sama dengan mereka. Bagi saya, seorang rapper sejati akan menulis sendiri lagu mereka, manakala rapper yang tidak menulis lirik untuk lagu mereka hanya boleh dianggap sekadar vokalis. Bagaimanapun, saya menghormati setiap karya yang ada dalam industri,” tambahnya.
Kata Altimet lagi, kredibiliti seseorang penyanyi rap boleh dilihat menerusi perjuangan muzik hip hop mereka sendiri. Ada antara lagu yang dihasilkan dan dinyanyikan oleh rapper gagal menyampaikan mesej kepada pendengar, sekali gus menjadikan karya itu kurang bermakna.
“Dahulu, ketika Joe Flizzow menyertai rancangan realiti pencarian bakat nyanyian, kita dapat lihat, dia bukan mencari penyanyi rap sebaliknya protege yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan penulisan lagu. Hal itu jelas membuktikan bahawa penyanyi rap bukan boleh dicari melalui program realiti seumpama itu,” simpulnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: