|
SEAWAL pukul 8 pagi, suasana di pekarangan Masjid Aminah Abdullah Al-Muhairi di SS2 Petaling Jaya, Selangor mula dipenuhi pengunjung.
Kelihatan ahli jawatankuasa masjid lelaki yang lengkap berbaju Melayu sibuk menyusun atur kerusi dan meja manakala golongan wanita pula menghidangkan makanan di satu sudut lain.
Pelbagai menu istimewa seperti nasi himpit kuah kacang, lemang, serunding, nasi minyak, ayam goreng berempah, kuah dalca, spageti, bihun goreng dan pelbagai kuih-muih disediakan oleh pihak penganjur.
Raikan
Semua itu bertujuan untuk meraikan ahli kariah dan penduduk sekitar sempena penganjuran hari terbuka masjid yang diadakan baru-baru ini.
Menurut nazir masjid, Azmi Aris, hari terbuka merupakan salah satu aktiviti yang tersenarai dalam kalendar tahunan mereka sebagai inisiatif mengeratkan ukhuwah tidak sahaja sesama ahli kariah bahkan penduduk yang bukan beragama Islam.
“Kami mahu menjadikan masjid ini sebagai pusat kegiatan masyarakat. Tahun ini ia agak istimewa kerana penganjurannya sempena merasmikan pembukaan Anjung Serbaguna dan Sudut Bacaan Masjid Aminah untuk kegunaan khalayak.
“Justeru, anggota masyarakat dialu-alukan jika mahu mengadakan sebarang aktiviti atau majlis dengan menggunakan kemudahan sedia ada di masjid ini,” kata Azmi ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini,
Masjid ini mula dibina pada tahun 1978 atas sumbangan orang ramai. Namun, sebahagian besar dananya dibiayai oleh Sheikh Said Al-Otaiba, seorang menteri dari Abu Dhabi yang merupakan kenalan kepada seorang ahli kariah. Sehubungan itu, nama masjid ini dipilih sempena nama ibu beliau.
Tambah Azmi, kemudahan Anjung Serbaguna dan Sudut Bacaan itu dapat direalisasikan hasil sumbangan orang ramai serta tajaan dari Perpustakaan Negara Malaysia, Ar-Risalah Products Sdn. Bhd. dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Imam 1 masjid ini, Mohd. Hakimi Mohd. Alim, 30, berkata, terdapat pelbagai bahan bacaan merangkumi pelbagai bidang dan genre termasuklah buku agama, buku cerita kanak-kanak serta buku-buku ilmiah dan akademik.
Hubungan baik
“Diharap dengan adanya sudut bacaan ini, ia boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk sekitar dan kariah masjid. Ia dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam,” ujar Mohd. Hakimi.
Salah seorang pengunjung yang hadir, William Teoh, 39, mengakui penubuhan sudut bacaan sedemikian sangat baik dalam pendidikan anak-anak. Malah, penganjuran program seperti hari terbuka ini juga mampu menjalinkan hubungan baik sesama penduduk bukan Islam.
Sempena majlis itu, pihak masjid turut mengundang tetamu istimewa dari Rumah Anak-Anak Yatim Baitul Mahabbah, Tanjung Malim, Perak dan memberi layanan istimewa pada mereka.
Bagi Muhammad Fateh Jamaluddin, 12, dia seronok kerana dapat membaca pelbagai buku cerita di samping membuat persembahan untuk tetamu yang hadir.
“Terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput kami pada majlis ini. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik kalian,” tutur Muhammad Fateh yang kehilangan ibu pada usia enam tahun.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Datuk Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: