Wednesday, December 3, 2014

Kilang lahir juara dunia ski



SCHLIERENZAUER antara atlet sukan ski dunia yang berjaya dilahirkan STSS.


SEKOLAH Tinggi Ski Stams (STSS), Austria yang terletak di sebuah perkampungan kecil di kaki bukit bersalji Tyrolean cukup terkenal dengan kejayaan melahirkan ramai jaguh dunia dalam sukan ski.
Antara nama-nama besar yang berjaya dilahirkan ialah Stephan Eberharter, Anita Wachter, Toni Innauer, Gregor Schlierenzauer, Marlies Schild dan Felix Gottwald.
Pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014, bekas pelajar sekolah yang beroperasi hampir setengah abad itu menyapu bersih 12 pingat emas yang ditawarkan.
Kejayaan tersebut menarik minat ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran di sekolah itu. Mereka menaruh harapan untuk melakar kejayaan yang sama seperti ikon-ikon tersebut.
Jadual padat
Bagaimanapun, memasuki sekolah tersebut tidak semudah yang disangka kerana setiap pelajar perlu mengharungi jadual pembelajaran yang padat termasuk kelas selama enam jam setiap pagi diikuti latihan di gimnasium atau di lereng-lereng bukit pada sebelah petang dan perlumbaan pada setiap hujung minggu.
Bagi pelajar-pelajar yang mengimpikan gelaran juara dunia dan pingat emas Olimpik, semua itu bukan halangan.
“Saya lebih suka berlatih daripada pergi ke sekolah, sebab itu saya berada di sini.

SETIAP pelajar perlu mengharungi jadual padat termasuk latihan di lereng-lereng bukit pada waktu petang.


“Walaupun kadang-kadang saya agak tertekan, semua itu perkara biasa,” jelas pemain ski acara lompatan, Johanna Haselwanter, 15.
STSS turut memberi bayangan bahawa setiap pelajar berdepan tekanan yang lebih tinggi pada masa depan.
Salah seorang pelajar ski pergunungan, Pascal Fritz, 17, memberitahu, setiap pelajar perlu melakukan yang terbaik dalam latihan atau perlumbaan kerana persaingan sangat sengit.
“Begitu besar harapan yang diletakkan kepada pelajar-pelajar ini.
“Bagi menjadi seorang juara, mereka perlu menjalani jadual harian yang padat ketika berada di sekolah,” ujar jurulatih ski, Martin Kraetschmer.
Di asrama, setiap bilik dihuni empat orang pelajar lelaki manakala dua orang untuk setiap bilik bagi pelajar wanita.
Beg, kasut dan alatan sukan perlu disusun rapi di atas almari serta sut perlumbaan tergantung kemas pada penyangkut baju yang disediakan.
Seramai 60 orang guru dan 27 pelatih ditugaskan untuk mendidik 170 hingga 180 orang pelajar yang akan berada di sekolah tersebut selama empat atau lima tahun bergantung sama ada mereka mengambil diploma sekolah tinggi atau kolej perniagaan.
STSS merupakan salah sebuah daripada lima sekolah khas ski di Austria yang paling berjaya.
“Resipi kejayaan kami adalah konsisten. Seluruh pasukan menyokong program ini termasuk bidang akademik atau sukan,” tegas jurulatih ski dan bekas pelajar sekolah berkenaan, Thomas Reiter.
Setiap kali menjelang musim sejuk, pelajar-pelajar mula sibuk dengan latihan dan perlumbaan manakala sebahagian lagi bersaing pada kejohanan di peringkat Persekutuan Ski Antarabangsa atau Piala Eropah.
Luar negara

STss terletak di kaki bukit lembah hijau Tyrolean yang dikelilingi gunung bersalji.


Ketika ini, tiada sebarang ujian persekolahan dan guru akan kembali mengajar menjelang akhir musim sejuk selepas jumlah pertandingan semakin berkurang.
Kebanyakan pelajar bukan sahaja penduduk tempatan tetapi berasal dari Itali, Liechtenstein dan Switzerland. Pemain ski Piala Dunia, Sandro Viletta dan Tina Weirather turut tidak ketinggalan.
“Pelajar luar menambah baik program, kami lihat mereka sentiasa memberi persaingan kepada pelajar-pelajar dari Austria semasa proses pemilihan dilakukan. Mereka juga sentiasa membantu antara satu sama lain,” ujar Reiter.
Sementara itu, Keegan Sharp, 17, memilih STSS berbanding akademi ski lain di Amerika Utara dan berharap untuk mempelajari kemahiran di negara kuasa besar sukan tersebut.
“Jelas sekali, sekolah ini melakukan sesuatu yang menarik dengan melahirkan pemain-pemain hebat dunia,” ujarnya.
Tambah Sharp, kos kemasukan ke sekolah berkenaan juga sangat tinggi iaitu mencecah AS$6,600 (RM22,150) setahun tidak termasuk 10 pasang but, papan luncur dan sut perlumbaan yang perlu dibeli sendiri oleh pelajar.
Namun, kos berkenaan masih dianggap rendah berbanding negara lain kerana kebanyakan pelajar mendapat peralatan daripada penaja.
Selepas tamat pengajian, dianggarkan hanya sekitar 10 orang graduan akan bergelar atlet kompetitif, namun ia tidak sesekali mematahkan semangat para pelajar lain untuk mencuba.
“Ia merupakan satu perjalanan yang panjang (untuk meraih pingat emas Olimpik) tetapi saya mempunyai impian dan matlamat. Jadi saya perlu bekerja keras,” kata Fritz.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: