JIKA dihitung perjalanan karier pengacaraan dua jejaka ini, mereka bukanlah seorang pengacara tersohor seperti Datuk Aznil Nawawi atau Datuk AC Mizal.
Bagaimanapun, kedua-dua pengacara yang lahir daripada program Raja Lawak ini mempunyai portfolio pengacaraan yang sangat memberangsangkan.
Penyampaian Zizan dan Nabil yang ‘menjadi’ setiap kali mengacarakan majlis, mungkin melenyapkan pandangan skeptikal khalayak yang tidak suka melihat pelawak menjadi pengacara.
Dua pelawak ini membuktikan keikhlasan dalam bekerja dan toleransi antara satu sama lain dalam pengacaraan, mencambahkan rezeki buat mereka.
Zizan yang melambangkan dirinya sebagai versatil sudah terbiasa dengan pandangan sinis sesetengah pihak terhadap bakat dan perjalanan hidupnya sebagai anak seni.
Bekas naib juara program Raja Lawak musim pertama itu sering kali mendatangkan keraguan terhadap sesuatu yang dinamakan pakej bergelar pengacara dan penghibur sebenar.
Hakikatnya, setelah tujuh tahun mengacarakan program Raja Lawak bersama Johan, kekasih kepada Emma Maembong ini pernah menerima anugerah personaliti TV Kegemaran di Shout Award pada 2010 dan 2012.
Ia satu bukti kerja keras pengacara berusia 30 tahun ini yang mungkin hanya dilihat sebagai pelawak di atas pentas.
Berasa terpukul dengan komen sesetengah pihak yang memandang rendah golongan pelawak menjadi pengacara, Nabil pula mendedahkan, golongan itu (pelawak) mampu mendapat lebih banyak tawaran pengacaraan berbanding pengacara yang hanya mampu mengeluarkan fakta semata-mata.
Buktinya, mereka (pelawak) bukan sahaja pandai bercakap di atas pentas, sebaliknya mereka mampu menarik perhatian penonton dengan lawak bersahaja, nyanyian mahupun fakta yang ditimba atas usaha sendiri.
Kepada Sensasi Bintang, Zizan dan Nabil mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Setiap kali menjadi pengacara, anda berdua dikatakan berjaya mengendalikan majlis dan menarik perhatian hadirin dengan lawak spontan. Disebabkan itu, tawaran dalam bidang tersebut tidak pernah putus. Komen?
ZIZAN: Saya bersyukur dan anggap ia perkara positif dalam karier pengacaraan saya. Lebih-lebih lagi apabila gandingan saya dan Faizal Ismail dalam program Akademi Fantasia 2014 (AF2014) dan Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) dianggap serasi. Bukan apa, sekarang ini tengah kecoh pasal isu ada pihak yang tidak berpuas hati pelawak jadi pengacara. Bagi saya, kalau gandingan kami ini tidak menjadi, masakan kami menerima tawaran untuk mengacara lagi. Begitu juga pelawak lain seperti Johan, Nabil dan Jep Sepah. Tawaran pengacaraan sentiasa ada kerana mereka ada bakat menjadi pengacara.
NABIL: Alhamdulillah, ikhlas dalam bekerja itu kena ada. Sebagai seorang pengacara kita ada tanggungjawab mengendalikan acara tersebut dengan lancar bukan semata-mata hanya melawak.
Apakah pendapat kalian mengenai kenyataan Awal Ashaari yang kesal apabila stesen televisyen di negara ini dilihat lebih cenderung memilih pelawak sebagai pengacara?
ZIZAN: Terus terang saya cakap, kalau tidak boleh mengacara, saya tidak akan buat. Walaupun tidak sempurna seperti pengacara profesional, saya mampu melakukannya.
NABIL: Pada saya, itu hak dia (Awal) sebagai pengacara mahu mengeluarkan pendapat. Mungkin dia tertekan dengan lambakan pelawak yang jadi pengacara dan ia membuatkan pengacara sepertinya kurang mendapat perhatian. Hakikatnya, banyak syarikat yang senang mengambil pelawak menjadi pengacara kerana mereka versatil. Sebagai contoh, saya pernah diminta oleh sebuah syarikat untuk mengendalikan majlis secara protokol kerana kehadiran orang kenamaan (VIP). Sebaliknya, selepas VIP tersebut pulang, mereka meminta saya mengendalikan majlis secara santai dengan melawak atau menyanyi pula. Alhamdulillah, saya boleh mengikut permintaan syarikat tersebut.
Bagaimana kalian membina keserasian dengan pasangan pengacara lain di atas pentas?
ZIZAN: Bagi saya, kalau ikhlas bekerja, perjalanan akan lancar. Saya melihat Faizal Ismail atau FBI seorang yang baik. Dia tidak mengejar glamor dan tiada niat untuk mencaras rakan gandingannya di atas pentas. Saya juga sepertinya. Mungkin disebabkan itu, gandingan kami ini menghasilkan sesuatu yang baik di mata penonton.
NABIL: Kalau bergandingan dengan pengacara lain, saya akan bina keserasian dengan berkawan dengan dia terlebih dulu. Kita juga kena menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap pasangan pengacara kita. Kita kena lihat apa kebolehan yang dimiliki oleh pasangan dan kemudiannya seimbangkan dengan diri kita, barulah keserasian itu dapat dibina.
Apakah cabaran bergandingan dengan pasangan?
ZIZAN: Kalau saya dengan Faizal, kami memang dari dunia pekerjaan yang berbeza. Saya pelawak dan dia bekas penyampai radio tetapi Alhamdulillah, perbezaan itu yang menyatukan kami di atas pentas. Penonton menyukainya dan setakat ini kami belum lagi menerima komen negatif.
NABIL: Kalau kita dapat pasangan pengacara yang datang tepat pada masanya dan mahu duduk berbincang bersama sebelum majlis tersebut dijalankan, itu sesuatu yang bagus. Sebaliknya, jika pasangan pengacara kita itu lambat datang dan tidak melakukan ‘homework’ mengenai majlis yang diacarakannya, ia akan menimbulkan masalah.
Apakah yang paling ditakuti kalian ketika mengacarakan majlis secara langsung?
ZIZAN: Saya paling takut kalau lawak saya tidak menjadi. Contohnya, saya buat lawak tetapi penonton tidak rasa kelakar. Bagaimanapun, saya sentiasa mengikut panduan dan mendengar secara terbuka pandangan orang.
NABIL: Saya takut kalau saya melawak tetapi orang di sekeliling ambil serius. Saya takut gurauan saya itu tidak disukai. Jika ada yang ingin bergurau atau mengenakan saya dengan perkara sama berulang kali, saya tidak kisah. Saya tidak akan melenting di laman sosial. Bukan apa, sebagai artis kita kena hadapi semua perkara itu.
Perkembangan terkini kalian?
ZIZAN: Saya sedang menjalani penggambaran telemovie sambungan Hantu Selfie iaitu Hantu Wefie bersama dengan Emma. Selain itu, saya juga masih dalam Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014).
FAIZAL: Buat masa ini cerita lakonan saya, supertelefilem Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris sedang bersiaran di saluran Astro First Eksklusif (Saluran 480). Selain itu, saya juga mengacarakan program ‘Gegar Vaganza’ dan masih bertarung secara solo dalam MLM 2014.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: