|
BOM, bom, bom!!! Kepulan asap memenuhi ruang legar Muzium Negara di Kuala Lumpur. Beberapa orang yang memegang senjata dan lengkap berpakaian tentera tiba-tiba muncul di khalayak ramai.
Kelihatan beberapa orang tentera meniarap sambil mengacukan senjata kepada beberapa orang di hadapan. Situasi itu kelihatan seperti pertempuran antara tentera dan musuh kerana beberapa tembakan dilepaskan. Suasana cemas itu turut mencetuskan debaran kepada para pengunjung.
Bagaimanapun, situasi itu hanya sekadar lakukan sempena Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia 2014 yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Negara dan Muzium Tentera Darat.
Nor Syamimi Mohd. Sharif, 14, antara pengunjung yang teruja dan terkejut ketika menyaksikan kejadian tembak-menembak di hadapannya.
Kagum
Meskipun pengelola telah mengumumkan bahawa kejadian tersebut adalah demonstrasi untuk menunjukkan bagaimana anggota keselamatan negara menjalankan tugas pada saat genting, pelajar Sekolah Menengah Taman Selayang, Selangor itu tetap berasa takut.
“Saya berasa takut apabila mendengar bunyi tembakan dan letupan. Nampak asap dan pergelutan berlaku namun, pada masa yang sama timbul perasaan kagum kepada anggota tentera yang menjalankan tugas.
“Situasi itu berlaku di depan mata walaupun sekadar lakonan, ia cukup untuk menggambarkan betapa besarnya pengorbanan anggota beruniform ini.
“Ketika menyaksikan demonstrasi misi menyelamatkan mangsa tebusan yang ditawan oleh pengganas, ia kelihatan sangat hidup. Seperti benar-benar berlaku. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa dalam menjalankan tugas. Semua orang perlu menghargai jasa pasukan keselamatan negara,” jelasnya.
Situasi tersebut turut memberikan satu pengalaman baharu kepada jurufoto pelatih Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Amirul Ashraf Mohd. Solihan, 18, yang ditugaskan untuk mengambil gambar pada pameran itu.
Dia ditawarkan oleh pengendali demonstrasi untuk menjadi pelakon tambahan dalam teater hidup yang bertemakan misi menyelamat oleh anggota keselamatan negara.
Pada awalnya, Amirul Ashraf menolak pelawaan untuk menyertai lakonan khas bagi dipertontonkan kepada para hadirin kerana berasa gementar dan tidak yakin.
“Saya diminta untuk melakonkan watak petugas media yang bertugas di kawasan yang diserang pengganas. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana situasi tersebut akan berlaku.
“Bagaimanapun, selepas mendapat penerangan daripada penganjur, saya bersetuju untuk menyertai lakonan tersebut,” katanya yang diminta untuk melakonkan watak itu pada saat akhir tanpa sebarang skrip.
Kongsi remaja kelahiran Klang, Selangor itu, dia dikehendaki berada di tengah-tengah pengunjung yang ramai dan berlagak biasa sebelum beberapa orang lelaki bersenjata datang dan menangkapnya.
Amirul Ashraf diberkas sambil matanya ditutup dengan kain. Lelaki-lelaki bersenjata tersebut telah membawanya ke lokasi persembunyian.
Menjiwai
Tambahnya, disebabkan berada dalam kalangan pengunjung ketika ditangkap pengganas, dia mendengar jeritan pengunjung yang terkejut.
“Dengan cara itu, sketsa yang dipaparkan nampak lebih realiti dan tidak kelihatan seperti dirancang. Apa yang lebih penting, setiap lakonan yang dipersembahkan tidak berorientasikan pentas semata-mata.
“Saya sendiri dapat menjiwai watak pada masa itu. Lelaki yang berpakaian pengganas dan membawa senjata tiba-tiba muncul dan mengheret saya ke kawasan persembunyian. Berdasarkan aksi-aksi yang dipaparkan, ia menghasilkan satu debaran buat penonton,” kongsi Amirul Ashraf yang seronok menyertai lakonan itu.
Tegasnya, selepas mengikuti sketsa itu, wujud satu tanggapan yang berbeza tentang peranan yang dimainkan oleh anggota keselamatan negara, sekali gus mengingatkannya tentang peristiwa berdarah di Lahad Datu, Sabah tahun lalu.
“Pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan ini perlu dihargai dan tidak boleh dipertikaikan. Tugas mereka sangat berat dan tidak semua orang boleh melakukannya,” kongsi remaja itu.
Peristiwa berdarah itu berlaku pada Februari tahun lalu apabila 10 wira negara terkorban di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna, Sabah.
Walaupun lebih setahun berlaku, kesan dan parutnya masih terasa terutamanya dalam kalangan ahli keluarga yang terkorban selain seluruh rakyat di negara ini.
Di sebalik peristiwa yang cuba mencalar kedaulatan negara itu, banyak perkara yang boleh diperhalusi. Antaranya tidak berasa selesa dengan keamanan yang dimiliki selain menghargai nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan orang-orang terdahulu.
Insiden itu menyaksikan kesungguhan para perajurit mempertahankan negara hingga ada yang terkorban nyawa.
Peristiwa itu juga menguji ketangkasan dan kredibiliti anggota keselamatan negara seperti Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Komando VAT 69 dalam Ops Daulat tersebut.
Demonstrasi yang dipersembahkan itu dapat melahirkan semangat patriotik dalam diri para penonton khususnya golongan muda yang tidak pernah merasai kehidupan di era kesusahan negara.
Situasi sebenar
Bagi presiden Pertubuhan Panggilan Pertiwi Malaysia, Megat Azmil Khalil, 34, sketsa itu dipersembahkan untuk menggambarkan situasi sebenar yang berlaku pada zaman peperangan selain pameran model skala ketenteraan.
“Orang awam perlu hadir dan menyaksikan sendiri sketsa ini untuk merasai peranan yang dilakukan oleh para perajurit tanah air. Sebanyak 31 pempamer yang terlibat selain 150 bahan pameran termasuk senjata, pakaian dan kenderaan untuk peperangan sepanjang pameran ini.
“Sebagai golongan yang menikmati kesenangan menerusi kesusahan orang terdahulu, kita perlu teruskan legasi yang ditinggalkan. Pertahankan kedaulatan negara melalui cara masing-masing,” jelas guru bahasa Melayu itu.
Megat Azmil merupakan salah seorang daripada petugas pameran yang mempunyai minat mendalam dalam bidang ketenteraan dan sejarah.
Guru yang pada awalnya bercita-cita untuk menjadi tentera ini sangat obses dengan perkara yang berkaitan tentera. Dia mewarisi darah pejuang daripada neneknya yang menjadi polis dan bertugas semasa zaman darurat menimpa negara ini.
“Minat yang mendalam terhadap ketenteraan mendorong saya untuk menubuhkan persatuan ini. Ia menjadi platform kepada saya dan rakan-rakan lain yang mempunyai kecenderungan sama.
“Bagi pameran kali ini, ada dalam kalangan ahli yang menjadi petugas pameran dan pelakon selain turut menyumbangkan pelbagai bahan seperti pakaian dan barangan berkaitan ketenteraan sebagai bahan pameran,” jelas lelaki ini.
Pertubuhan yang diasaskan oleh Megat Azmil ini ditubuhkan secara rasmi pada Oktober 2010. Pertubuhan itu banyak menjalankan aktiviti bersifat patriotik seperti Jejak Patriotik dan mempromosikan buku-buku ketenteraan.
Penggerak kepada persatuan Malaya Military Memorabilia Collector, Mohd. Faisal Mohd. Razi, 35, pula memberitahu, setiap pakaian yang dipakai oleh petugas ketika pameran tersebut adalah pakaian asal tentera.
“Pakaian tersebut diperoleh melalui ahli-ahli yang dikenali dalam persatuan ini. Kami akan membeli, menjual atau menjadi orang tengah untuk mendapatkan pakaian dan barangan ketenteraan.
“Seragam tersebut bukan sahaja seragam tentera Malaysia, sebaliknya pakaian tentera negara luar seperti Amerika Syarikat yang diperoleh melalui ahli yang terdapat di seluruh negara dan beberapa buah negara luar.
“Dengan adanya pameran yang mempamerkan barangan asal ketenteraan, setidak-tidaknya orang awam boleh kenal dan tahu jenis pakaian ketenteraan serta fungsi setiap unit tentera,” jelas kakitangan Tenaga Nasional Berhad itu.
Demonstrasi yang berlangsung sempena Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia 2014 itu menunjukkan beberapa situasi dan fasa peperangan yang berlaku, termasuklah zaman prapeperangan Vietnam yang berlaku sekitar 1950-an selepas Perancis kalah kepada Vietnam.
Lakonan yang ditonjolkan menunjukkan perjuangan golongan petani Vietnam dalam usaha melawan tentera Vietnam dan Amerika Syarikat menentang ideologi Komunis yang dibawa oleh Ho Chin Minh.
Peralatan
Menurut salah seorang pelakon yang memegang watak petani Vietnam, Rosdi Harun, 50, demonstrasi yang dilakukannya menunjukkan bagaimana petani dan rakyat Vietnam cuba untuk menyatukan negara tersebut.
“Selepas kekalahan Perancis, Vietnam terbahagi kepada dua iaitu Vietnam Utara yang dipengaruhi ideologi Komunis manakala Vietnam Selatan yang dibantu Amerika Syarikat menentang ideologi tersebut.
“Bagaimanapun, ada sebahagian penduduk di Vietnam Selatan, dikenali sebagai Viet Cong membantu Vietnam Utara menentang Amerika Syarikat dengan tujuan menjadikan Vietnam kembali menjadi sebuah negara,” ujar bekas tentera ini.
Memakai pakaian serba hitam, Rosdi memegang senapang dan melakonkan aksi berperang dengan musuh. Bunyi letupan dan tembakan dibunyikan melalui letupan mercun serta sistem bunyi yang disediakan khas oleh pihak yang pengelola.
Antara persatuan yang terlibat dalam menjayakan teater hidup ini selain Muzium Tentera Darat ialah Military Collector Group (MCG), Pertubuhan Panggilan Pertiwi Malaysia dan Malaya Military Memorabilia Collector. Persatuan-persatuan ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai minat yang mendalam dalam perkara berkaitan ketenteraan.
Ahli-ahli yang menyertai pameran itu memakai pakaian tentera dan menjadi pelakon dalam sketsa yang dipersembahkan kepada para pengunjung.
Rosdi yang menyertai MCG memberitahu, aksi peperangan yang dilakonkannya adalah untuk menunjukkan kesungguhan penduduk tempatan iaitu pasukan Viet Cong yang bersatu melawan kuasa besar demi menyatukan negara mereka.
Namun, perang ini memberi kemenangan kepada Vietnam sekali gus mencatat sejarah penting buat negara tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: