Monday, December 1, 2014

Kelibat Pok Sohok digeruni


  • Pok Sohok (dua kiri) bersama peminat wau di Lorong Haji Da yang sering menemaninya pada masa luang.Pok Sohok (dua kiri) bersama peminat wau di Lorong Haji Da yang sering menemaninya pada masa luang.

KUALA TERENGGANU – Jaguh pertandingan wau, Ishak Husin, 78, atau lebih dikenali sebagai Pok Sohok, masih aktif biarpun usia semakin mencemburuinya, malah sejak kebelakangan ini turut mengalami masalah saraf yang agak membataskan pergerakannya.
Susuk tubuh kecil molek Pok Sohok yang cukup dikenali peminat setia permainan tradisional itu pasti akan kelihatan di celah orang ramai di tengah padang setiap kali adanya pertandingan wau di negeri ini.

Biarpun memegang status OKU kerana kecacatan pada bahagian kaki kirinya sejak kecil akibat terpijak api, ia tidak menghalang minat Pok Sohok untuk berentap di tengah padang yang panas terik.

“Sejak kecil lagi pakcik minat main wau tetapi mula serius ketika umur awal 20an, sebab itu pesaing-pesaing pakcik gerun apabila melihat pakcik ada di tengah padang dalam setiap pertandingan wau yang diadakan di dalam negeri ini.

“Walaupun minat main wau (bertanding) pakcik hanya main dalam negeri sebab malu dengan keadaan diri (OKU). Takut bila keluar negeri orang gelak, baik main kat negeri sendiri sahaja, lagipun ramai sudah kenal pakcik di sini,” ceritanya.

Pok Sohok yang tidak suka duduk diam itu juga berkebolehan menghasilkan wau yang menjadi pilihan utama peminat permainan tradisional kerana hasil tangannya diakui cantik dan puas hati.

“Pakcik juga suka buat wau, kalau ada orang hendak beli pakcik jual dengan harga serendah RM100, semua jenis wau pakcik boleh buat termasuk wau bulan, kucing, jala budi, burung helang dan barat.

“Pakcik tak ambil banyak tempahan kerana sebuah wau yang pakcik buat memakan masa tiga hingga empat hari untuk siap. Walaupun lama masa diambil tetapi pelanggan memang berpuas hati, kerana apabila masuk pertandingan pasti wau ini akan naik dengan mudah,” katanya.

Begitulah jiwa Pok Sohok, sebut sahaja wau pasti usia emasnya menjadi muda kembali dek semangat yang ada di dalam dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: