Tuesday, December 2, 2014

Adzrin nekad kembali menyanyi


HADIR dengan imej berhijab, Azrin Adzhar yakin masih ada ruang untuk meneruskan perjuangan di persada muzik tempatan.


HATI penyanyi Adzrin Adzhar, 29, pernah luluh tatkala dijatuhkan hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah lebih RM100 juta menerusi syarikat pelancongan bapanya, Noradz Travel & Services Sdn. Bhd.
Atas kesalahan tersebut, pada 3 Oktober 2011, dia bersama bapanya, Datuk Adzhar Sulaiman dan kakaknya, Noradzma Adzhar telah diarahkan untuk menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, Selangor.
Nasib ternyata masih menyebelahi penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pujaan Malaya itu. Seminggu selepas menjalani hukuman penjara, atas perintah mahkamah, Adzrin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM500,000 sementara rayuan kesnya didengar di Mahkamah Tinggi Putrajaya.
Sejarah hitam yang melanda diri dan keluarganya itu akan kekal tersimpan dalam kotak memori, namun, tragedi itu sedikit pun tidak menjadi penghalang Adzrin untuk kembali menyanyi selepas hampir empat tahun menyepi daripada dunia hiburan tempatan.
Berkesempatan bertemu dengan Adzrin pada majlis pelancaran single terbaharunya, Petua di Hotel Holiday Villa, Subang, Selangor baru-baru ini, penyanyi tinggi lampai yang turut bergelar guru vokal itu turut mengejutkan pihak media apabila tampil dengan imej bertudung.
Bernaung di bawah syarikat rakaman Dream Music, Adzrin mengakui, dia nekad membawa semangat baharu di samping mengekalkan jalur muzik yang pernah mempopularkan namanya suatu ketika dahulu.
Kosmo!: Tahniah Adzrin atas kemunculan kembali dan imej baharu anda. Boleh kongsikan sedikit bagaimanakah anda terfikir untuk mengenakan hijab?
ADZRIN: Terima kasih. Alhamdulillah, saya telah mengenakan tudung sejak dua tahun yang lalu. Ianya berlaku secara spontan atas sebab kegemaran saya menukar gaya rambut setiap kali tibanya hari raya. Pada awalnya, sebelum ketibaan lebaran, saya bercadang untuk mewarna dan membuat rambut kerinting, tetapi, apabila setelah berfikir panjang, lebih baik saya mengenakan tudung. Justeru, pada pagi raya, ibu saya merupakan individu yang paling gembira dengan perubahan saya ini.
Boleh kongsikan perkembangan terbaharu kes yang hampir menyebabkan anda masuk penjara satu ketika dahulu?
Maaf, saya tidak mengulas dengan lebih lanjut kerana kes itu masih belum selesai. Apa yang boleh saya katakan, bapa dan kakak saya sudah selesai menjalani tempoh hukuman penjara mereka.
Hampir empat tahun anda menyepikan diri. Apakah yang anda lakukan dalam tempoh masa yang panjang itu?
Saya sibuk mengajar vokal secara kontrak di Kolej Vokasional ERT, Setapak, Kuala Lumpur. Jadi, apabila musim cuti sekolah tiba, saya mula terfikir untuk menyambung semula kerjaya nyanyian saya yang pernah terhenti suatu ketika.
Adakah anda benar-benar bersedia untuk kembali sebagai penyanyi?
Saya benar-benar bersedia. Saya yakin lagu ciptaan saya, Petua mampu diterima oleh pendengar. Lebih-lebih lagi lagu itu disuntik dengan elemen unfolk yang semakin popular pada masa kini.
Bercakap mengenai lagu tersebut, tidakkah anda gusar dikatakan meniru karya-karya yang sering dihasilkan oleh Yuna?
Sejujurnya, saya tidak mempunyai sebarang masalah. Lagu Jejaka Malaya sama-sama naik bersama lagu Dan Sebenarnya nyanyian Yuna. Karier saya bermula agak serentak dengan Yuna. Jadi, sebab itu saya meneruskan apa yang telah saya mulakan dahulu.
Lagu Jejaka Malaya pernah mendapat sambutan yang menggalakkan. Namun, kehadiran anda seperti dipandang sepi oleh peminat. Adakah anda sedar tentang perkara tersebut?
Ya, saya akui bahawa populariti saya tidak sama jika mahu dibandingkan dengan penyanyi seangkatan yang lain. Mungkin pada waktu itu saya tidak tahu cara untuk mempromosikan karya-karya saya. Tambahan pula, kes mahkamah yang tidak semena-mena datang terus menutup cerita kerjaya seni saya ketika itu.
Bagaimanakah anda mahu meyakinkan khalayak bahawa kisah hitam yang pernah melanda keluarga anda tidak akan mematahkan semangat anda untuk terus berkarya?
Hidup mesti diteruskan. Saya tidak kisah jika masih ada mulut-mulut yang mahu menghakimi saya. Saya serahkan segalanya kepada Tuhan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: