Saturday, December 6, 2014

Raih Pingat Emas Berganda BIS 2014

ZAWATI (kiri) menerima Pengiktirafan Emas Berganda daripada Pengerusi Juri BIS, Jeffrey Woolf di London baru-baru ini.


SEBAGAI seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor, Profesor Madya Dr. Norzila Othman, 41, tidak lekang melakukan pelbagai kajian dan penyelidikan.
Ia selaras dengan visi UTHM sebagai sebuah universiti bertaraf dunia dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi untuk pembangunan mampan. Justeru itu, penyelidikan Norzila dan ahli kumpulannya merupakan satu sumbangan besar kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.
Pencapaian Norzila bersama Profesor Madya Dr. Zawati Harun, 41, dan Dr. Soon Chin Fhong,40, yang mewakili UTHM dalam pertandingan The British Invention Show (BIS) di Pusat Pameran Barbican, London, Oktober lalu boleh dibanggakan apabila mengangkat nama universiti itu di mata dunia.
Ketiga-tiga penyelidik itu berjaya meraih tiga anugerah Grand Final Double Gold dengan Pengiktirafan Emas Berganda dan Pingat Emas menerusi hasil penyelidikan masing-masing.
Norzila bersama dua rakan penyelidik yang merupakan Ketua Pusat Penyelidikan Pencemar Mikro (MPRC) FKAAS, Prof. Madya Dr. Aeslina Abd. Kadir dan Dr. Rafidah Hamdan serta 26 orang penyelidik Pusat Penyelidikan Bahan Cemar Mikro (MPRC) termasuk pelajar pascasiswazah telah memenangi anugerah menerusi inovasi produk bahan penjerap untuk menjerap logam berat.
Penyelidikan tersebut bertujuan menghasilkan bahan sebagai penjerap logam berat dalam perawatan air dan air sisa di loji.
Air larian permukaan merupakan sumber utama air di negara ini. Air tersebut terdedah kepada pelbagai jenis pencemar organik atau bukan organik sebelum dirawat di loji. Pencemar yang rencam (bercampur) dan kos yang tinggi merupakan satu kekangan besar dalam usaha untuk merawat air dan air sisa di negara ini.
Menerusi hasil penyelidikan Norzila, beliau telah menggunakan pelbagai bahan buangan akuakultur, pertanian dan industri bagi menjerap logam berat. Norzila telah membuktikan bahawa bahan terbuang akan memberikan nilai tambah untuk diguna semula sekiranya dilakukan proses prarawatan.
Nilai tambah

NORZILA menunjukkan sisik ikan tilapia yang digunakan dalam produk Bahan Penjerap Untuk Menjerap Logam Berat.


Norzila telah membuktikan bahan terbuang merupakan satu aspek nilai tambah dalam rawatan air di negara ini.
“Pencemaran akan memberikan implikasi terhadap jasad air. Kesannya, keadaan fizikal jasad air akan berubah. Kehadiran bendasing seperti kulampair atau alga akan berleluasa di dalam sungai dan sumber air sekali gus menjadikan ia berbau busuk. Penggunaan bahan biopenjerap akan mengurangkan kebergantungan pengguna terhadap perawatan kimia dalam merawat air dan air sisa.
“Kami mengambil bahan-bahan terbuang dari kilang-kilang di sekitar Parit Raja,” ujar pemegang Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Awam (Kejuruteraan Air Sisa), Universiti Teknologi Mara itu.
Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan penjerap ialah sisik ikan tilapia, tempurung kelapa, sabut kelapa, kulit pisang, kulit tembikai, kulit tembikai susu dan kulit ubi.
Logam berat di dalam air seperti zink dan plumbum memberi impak kepada kesihatan manusia dan persekitaran kerana sifatnya yang kekal dan tidak terurai secara semula jadi. Produk yang dinamakan Bahan Penjerap Untuk Menjerap Logam Berat merupakan kaedah mesra alam kerana sistem rawatannya tidak menggunakan bahan kimia.
Bahan-bahan terbuang itu akan melalui proses prarawatan untuk ditukarkan kepada bentuk serbuk, berbutir atau karbon yang diaktifkan. Ia sesuai diaplikasikan selepas perawatan primer dengan dimasukkan ke dalam turus atau ditambah sebagai bahan pembantu pengentalan dalam proses rawatan air dan air sisa.
Kesannya, loji akan menghasilkan air terawat sebelum dilepaskan ke sistem saliran terbuka. Enap cemar yang terhasil daripada perawatan logam berat juga boleh digunakan sebagai baja untuk tumbuhan landskap atau tanaman yang bukan berasaskan makanan.
BIS merupakan sebuah pertandingan peringkat antarabangsa yang mempamerkan sebanyak 130 produk dari pelbagai negara antaranya, United Kingdom, Turki, Bahrain, Taiwan, Itali, Romania dan Malaysia. Sebanyak 51 produk dari beberapa IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang mengikut pengkelasan kluster seperti inovasi industri, ciptaan perindustrian dan bumi semula jadi bertanding di BIS pada tahun ini.
Dalam pada itu, Zawati memperkenalkan produk membran (selaput nipis berliang) antibakteria juga merupakan satu kaedah terbaik untuk tujuan perawatan dan penapisan air.
Malah, inovasi yang dihasilkan bersama ahli kumpulan penyelidiknya di Pusat Pembuatan dan Bahan Termaju (AMMC) iaitu Dr. Muhammad Zaini dan Dr. Hatijah serta penyelidik Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor merupakan rawatan lanjutan yang diperlukan bagi kebanyakan proses rawatan air yang berkualiti untuk digunakan bagi tujuan-tujuan tertentu.
Jelasnya, teknologi membran digunakan secara meluas di dalam pelbagai aplikasi dan medium seperti penyahgaraman air laut, perawatan air, pemisahan gas, perubatan dialisis, teknologi makanan, tujuan bioreaktor dan farmaseutikal.
Pengasingan

CHIN FONG


Secara umumnya, penapisan membran menggunakan teknologi pengasingan berdasarkan saiz liang pada strukturnya yang merangkumi aspek saiz mikron sehingga ke tahap nano. Teknologi penapisan ini hanya membenarkan jisim-jisim tertentu melaluinya.
Membran yang dihasilkan oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM itu, merupakan gabungan antara bahan polimer dan herba semula jadi yang digunakan untuk tujuan pemprosesan rawatan air dan tujuan-tujuan lain.
“Dalam produk ini, saya menggunakan 70 peratus polimer dan 30 peratus bunga cengkih. Kedua-duanya merupakan bahan organik dan mempunyai kekuatan tersendiri untuk menapis kotoran air. Dalam perubatan, bunga cengkih terbukti sebagai herba yang bertindak sebagai antibakteria,” ujar pemegang PhD Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Wales, Swansea, United Kingdom itu.
Di Singapura, teknologi membran digunakan secara meluas untuk penapisan atau penyahgaraman air laut selain dalam proses perawatan air.
Dalam industri penapisan dan perawatan air masa kini, penggunaan bahan tambah daripada partikel inorganik atau logam oksida banyak digunakan dalam struktur penapisan membran untuk meningkatkan prestasi membran bagi tujuan-tujuan yang tertentu termasuklah bagi aplikasi antibakteria. Pengunaan bahan tambah yang berunsurkan partikel inorganik yang bertoksik ini walaupun dalam kuantiti yang sedikit boleh mencemarkan hasil penapisan air sekiranya berlaku kebocoran pada sistem ini.
BIS 2014 merupakan penyertaan kali keempat UTHM dalam pertandingan bertaraf dunia itu. Kejayaan yang dikecapi ketiga-tiga penyelidik itu merupakan bukti penerimaan industri antarabangsa terhadap penyelidikan universiti yang berteraskan industri seperti UTHM.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan penyelidik utama pusat penyelidikan nanoteknologi dan mikrolelektronik Shamsuddin (MiNT-SRC) UTHM, Chin Fhong turut memenangi pingat emas menerusi produk bioteknologi baharu untuk pengkulturan sel tiga dimensi (3D) berdasarkan kristal cecair.
Aspek utama penciptaan produk itu adalah untuk menyediakan satu kaedah perancah bebas bagi pengkulturan tisu mikro 3D dan mesin salutan penyeka untuk menghasilkan substrat (lapisan) kristal cecair untuk sel-sel dikulturkan di atasnya.
Menurut Chin Fhong, penghasilan mesin tersebut merupakan satu cara untuk menggalakkan pengkulturan sel 3D untuk industri ujian ubatan dan kosmetik tempatan.
“Pengkulturan 3D merupakan salah satu langkah untuk mengakses ketoksikan ketika menguji ubat-ubatan dan kinetik peresapan molekul ubat. Model yang dicipta juga lebih sesuai digunakan dalam perubatan untuk menjana semula sel tisu dalam skala mikro. Di Eropah, kaedah ini digunakan untuk menyasarkan pengurangan penggunaan haiwan dalam ujian kosmetik.
“Kristal cecair merupakan bahan yang digunakan dalam pengkulturan sel dalam 3D yang dahulunya digunakan dalam paparan skrin elektronik. Saya merupakan penyelidik pertama menemui kaedah baharu dengan menggunakan hablur kristal cecair dalam pengkulturan sel 3D.
“Mesin salutan penyeka digunakan untuk membentuk lapisan kristal cecair dengan kawalan ketebalan yang dikehendaki. Mesin dan teknik baharu ini telah dipatenkan,” ujar pemegang PhD Kejuruteraan Molekul dan Bioperubatan, Universiti Bradford, United Kingdom.
Jelasnya, sel-sel yang dikultur mempunyai ciri-ciri biofizikal dekat dengan tisu semula jadi dan pelekatan sel-sel . Ia juga penting untuk sel-sel dikulturkan ke atas bahan yang bioserasi, tidak beracun dan mempunyai kestabilan haba.
Tambahnya, produk tersebut menyediakan satu kaedah yang mudah dan berkesan untuk pengkulturan sel 3D.
Ia berpotensi digunakan oleh kumpulan pakar dalam industri farmakologi, biologi sel, pelajar perubatan dan jurutera bioperubatan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: