Saturday, December 6, 2014

Search, yang tak pernah tua



Tempoh 33 tahun merupakan satu jangka hayat yang panjang. Jika ia dikaitkan dengan manusia, kita akan melihat proses seorang bayi menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa dan kemudian beranjak tua. Kalau mahu menyangkutkan ia kepada persekitaran, metamorfosisnya akan menyaksikan sesuatu yang baharu bertukar menjadi lama. Jika mengaitkan ia dengan proses sebuah revolusi pula, kita akan melihat banyak perubahan yang terjadi, jatuh dan bangun serta kemuncak yang telah dicapai.
Proses-proses itu, dapat dilihat dalam pertumbuhan sebuah kumpulan yang megah memegang nama Search sejak 33 tahun lalu. Lima anggotanya semua sudah tua. Itu realiti. Vokalisnya sendiri, Amy sudah berusia 56 tahun. Si penabuk drum yang kondisi kesihatannya sangat meruncing kerana masalah buah pinggang, Yazit pula 52 tahun, sementara pemain gitarnya, Kid, 47, abangnya, Din, 52, juga pada posisi gitar serta pemain bassnya, Nasir berusia 50 tahun.
Namun, pada malam pertama mereka mempertontonkan aksi untuk konsert empat hari Search Live Di Istana Budaya yang bermula Khamis lalu sehingga Ahad ini (7 Disember), tidak seorang pun di antara mereka nampak tua. Search sendiri berdiri sebagai kumpulan yang tidak pernah tua apabila menggembalikan nostalgia lagu-lagu hit mereka sejak ditubuhkan pada tahun 1981.
Energi Amy, Din, Kid dan Nasir masih berbisa. Masih bertenaga, seperti zaman belasan tahun mereka mula bermain sebagai pemuzik yang belum tahu percaturan hidup mereka di dalam bidang seni menjadi atau ‘tergolek’.

SEARCH yang menampilkan pemain Cello, Paladin sebagai pemuzik sokongan mereka nyata telah memberi bunyi dan kesan yang lebih baik terhadap muzik yang dipersembahkan di dalam konsert Search Live Di Istana Budaya.


Permainan muzik Kid, Din dan Nasir juga kemas. Sebagai orang lama, mereka tidak perlu terlalu bersungguh-sungguh untuk menonjolkan kebolehan mereka dengan aksi-aksi tidak perlu, sebaliknya hanya tampil berdiri dan memainkan peranan masing-masing, dengan sesekali ikut ‘menggila’ pada beberapa irama rock keras yang dimainkan, itu sudah cukup membuktikan kredibiliti mereka.
Menyentuh kualiti vokal Amy, seperti yang diakui beliau dalam sesi sidang akhbar selepas usai konsert mengenai kebimbangannya ‘koyak’ sewaktu menyanyi, penyanyi tersebut lebih rileks dan ‘bermain dengan selamat’ apabila diselamatkan oleh nyanyian gerombolan peminat tegar kugiran itu.
Bagaimanapun, energi yang diberi Amy barangkali tidak mampu menjadi begitu konsisten jika beliau tidak berdiri di atas garis seorang penyanyi profesional.
“Sebenarnya saya bimbang vokal koyak. Jadi saya perlu menjaga stamina untuk marathon tiga malam lagi,” ujarnya yang berjanji bahawa momentum persembahan dan energi yang diberikan di dalam dua malam terakhir persembahan mereka tidak akan mengecewakan.
Satu-satunya anggota Search yang perlu diberi perhatian dan penghormatan kerana keazamannya biar sedang uzur ialah Yazit.
Biarpun beliau hanya bermain di dalam set lagu-lagu melankolik, namun bagi seorang individu yang dilarang bekerja dan baru keluar hospital pada petang hari kejadian, memukul drum dengan pergerakan yang banyak pada tangan dan kaki bukan kerja mudah.
Walaupun dengan hanya sedikit sentuhan, Yazit membuka dan menutup hit seperti Rozana dan Fantasia Bulan Madu dengan kemas.
Malah, saat mereka membuka segmen tersebut dengan lagu pertama yang dirakamkan Search lebih 30 tahun lalu, Kejora, ia seperti membawa peminat kembali ke masa lampau mereka.

AMY mempamerkan mutu vokal yang masih konsisten biar sudah berusia 56 tahun.


Rock sejati
Ironi, jika banyak yang terbuai dengan puluhan untaian melankolik mereka, Search sebenarnya sebuah kumpulan rock sejati. Di sebalik populariti hit seperti Isabella yang masih wangi baunya atau Gadisku, jangan pernah lupa kugiran yang berasal dari Johor Bahru ini punya bekalan rock kental seperti Diari Habil & Qabil, Kereta Merah atau Honky Tong Kosong yang diperdendangkan pada malam itu.
Dalam konsert yang menyaksikan mereka berkolaborasi dengan kumpulan pemain cello, Paladin, Search mengejutkan kembali lena sebahagian peminat mereka yang barangkali hanya kecanduan dan tahu lagu-lagu balada mereka, bahawa kugiran mereka merupakan sebuah kugiran yang ‘berat’ permainan muziknya.
Lebih hebat, bagaimana tulang belakang yang menggerakkan kugiran ini berjaya dalam padang komersial, Datuk M.Nasir menumpahkan banyak pesan dan mesej tersirat di dalam dentuman kuatnya muzik rock yang menyaksikan khalayak bukan sekadar dapat menikmati aliran muzik yang digemari, tetapi menghadam mesej tentang realiti kehidupan dan ketuhanan dalam satu sama.
Lihat sahaja Pawana yang dimainkan dengan cukup baik pada malam itu sehingga menenggelamkan nyanyian Amy sendiri apabila peminat turut berdendang sama, ironinya bercakap tentang kehancuran tamadun manusia yang tamak. Begitu juga dengan Pelesit Kota yang menyampaikan pesan terhadap sikap manusia yang leka.
Bersama lagu-lagu tersebut, Search mendendangkan 21 buah lagu yang pada hemat mereka sebagai antara yang paling baik dan melekat di dalam hati peminat. Sedar mereka mempunyai katalog lagu yang cukup besar, sementalah mempunyai lebih lapan buah album studio yang dimulakan dengan Cinta Buatan Malaysia pada tahun 1985, sehingga yang terakhir Gothic Malam Edan (2006), memuaskan hati peminat dengan memilih lagu-lagu yang mereka gemari adalah sukar.
Jika ramai peminat yang berpuas hati dengan seleksi lagu yang dimainkan pada malam tersebut seperti Isabella atau Fenomena, segelintirnya pula dahagakan lagu-lagu yang kurang popular tetapi punya cerita tersendiri seperti Pembakar Perasaan atau sekurang-kurangnya Mentari Merah Di Ufuk Timur yang tidak terdapat di dalam senarai lagu.
Begitu juga ramai yang berpendapat paduan empat anggota asal Search bersama pemain drum gantian, Paie sedikit gagal untuk ‘bersanding sama’ di atas sebuah pentas yang gah itu, namun ia juga masih boleh diterima baik oleh sebahagian peminat yang hadir tanpa mahu memikirkan aspek teknikal secara mendalam.
Sebaliknya, apa yang mereka mahukan ialah mendengar dendangan lagu-lagu seperti Kejoraku Bersatu, Gelora Cintaku, Isi Atau Kulit, Langit Dan Bumi serta Fenomena secara langsung, sekali gus menghiburkan mereka.

Nasir (kanan) dan Din bersama salah seorang pemain cello dari grup Paladin.


Memang, jika kesempurnaan yang dicari dalam sesebuah persembahan, itu tidak dapat kita temui di dalam konsert ini, waima konsert bintang antarabangsa sekali pun kerana setiap manusia mempunyai cita rasa berbeza.
Namun percayalah, jika kita tidak meletakkan ekspektasi yang terlalu tinggi dan hadir dengan berlapang dada demi menyokong survival anak seni tempatan, hadir ke Search Live Di Istana Budaya tidak akan membuatkan kalian rugi.
Sementelah yang ditonton itu Search, satu-satunya kurigan rock tempatan yang tidak ada duanya. Mereka adalah khazanah muzik rock negara. Menyaksikan legenda yang masih hidup beraksi di hadapan mata, tidak sama dengan sekadar mengenali ‘oh inilah kumpulan legenda dulu, yang semuanya tidak lagi ada’.
“Tidak ada apa yang mahu kami buktikan, selain berasa bangga dapat bermain pertama kalinya di Istana Budaya untuk berkongsi momen jatuh bangun Search sepanjang tempoh 33 tahun di dalam dunia seni melalui eksperimen kami di sini dengan persembahan yang membawa penonton kembali kepada asas dan kesederhanaan Search dahulu. Kami mahu berkongsi rasa dengan khalayak menerusi lagu-lagu kami dan perjalanan yang panjang ini, itu sahaja,” ujar Amy.
Untuk generasi yang membesar dengan untaian mereka, ia akan mengembalikan nostalgia zaman rock kapak kalian, sementara untuk generasi baharu yang baru ingin mengenal rock, konsert ini adalah salam perkenalan untuk kalian menikmati pesona Search, sebuah kumpulan yang tidak pernah tua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: