Saturday, December 6, 2014

Rise Of The Legend sarat aksi


  • Rise Of The Legend sarat aksi

NAMA Wong Fei Hung sememangnya cukup dikenali di China. Apatah lagi, semasa hayatnya beliau merupakan seorang tokoh lagenda seni mempertahan diri terkenal di sana.

Kini tokoh itu difilemkan dan divisualkan menerusi filem Rise Of The Legend arahan Roy Chow Hin-Yeung.

Filem ini juga menjadikan filem ke-90 yang mengangkat Fei Hung sebagai kisah utamanya.

Diterajui oleh Eddie Peng yang membawakan watak lagenda itu, Rise Of The Legend adalah sebuah filem aksi memfokuskan kehidupan Wong ketika muda dalam mengecapi cita-citanya.

Selain Eddie filem ini juga menampilkan Wong Cho-lam, Sammo Hung, Tony Leung Ka Fai, Angelababy dan sudah ditayangkan semenjak 27 November lalu.

Pada zaman Dinasti Qing, kumpulan kongsi gelap The Black Tiger geng secara aktif menjalankan kegiatan penyeludupan manusia di pelabuhan Guangzhou Pearl River.

Wong Fei Hung menganggap kegiatan itu satu jenayah kejam yang tidak boleh dimaafkan. Dengan bantuan beberapa rakan Fei Hung, mereka merancang untuk membuat serangan hendap terhadap kumpulan itu dan menyelamatkan mangsa.

Mereka berharap bantuan itu membolehkan penduduk tempatan memiliki masa depan lebih baik. Itulah permulaan kepada Fei Hung untuk menaikkan namanya sehingga menjadi legenda.

Begitulah antara sebahagian jalan cerita filem Rise Of The Legend ini.

Bukan itu sahaja, filem yang melihatkan Sammo Hung sebagai penerbit ini juga memasukkan perjalanan kehidupan Fei Hung sebelum dikenali.

Biarpun ada yang ditokok tambah, namun secara keseluruhannya ia adalah sebuah filem yang cukup menarik.

Apatah lagi, filem yang sarat dengan aksi pertarungan ini akan membuatkan anda tidak senang duduk melihat Eddie Peng selaku Fei Hung mengalahkan musuh-musuhnya.

Biarpun tampak klise bagi sebuah filem aksi Hong Kong dengan babak pertarungan yang tidak pernah melihatkan heronya kalah, namun secara keseluruhannya ia tidak menjengkelkan dan seronok untuk ditonton.

Dengan gerak kerja kamera yang cukup cantik, dan beberapa faktor teknikal lain menjadikan setiap babak pertarungan tanpa hidup dan mendebarkan.

Ditambah pula dengan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) yang membantu mencantikkan lagi aksi pertarungan dan beberapa babak di dalam filem itu secara keseluruhannya.

Selain itu, jalan cerita filem ini juga mudah difahami membuatkan anda tidak perlu pening untuk memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya dan seterusnya.

Sebaliknya anda hanya perlu duduk dan menikmati keseluruhan jalan cerita filem ini tanpa memeningkan kepala.

 Eddie berjaya

Bukan sahaja babak pertarungan yang hebat, lakonan Eddie juga begitu bersahaja menjadikan watak Fei Hung itu berjaya disampaikan dengan baik.

Dia berjaya menghayati emosi dan pendirian Fei Hung dalam menegakkan keadilan dan paling penting, usahanya menjalani latihan seni mempertahankan diri tampak berhasil.

Segala gerak langkahnya tidak sedikit pun tampak sumbang dan secara keseluruhannya watak Fei Hung tampak hidup hasil lakonannya.

Bagaimanapun pada pandangan penulis, kelibat pelakon tambahan yang agak ramai sedikit memeningkan, namun ada berpendapat ia adalah perkara lumrah dalam filem aksi Hong Kong.

Justeru bagi anda yang belum menonton filem yang berada di dalam top 10 filem terlaris minggu ini, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan anda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: