Wednesday, December 3, 2014

Realiti hidup penduduk Mentawai

Darul Muwahhidiin dibina untuk membela nasib anak-anak Muslim di Kepulauan Mentawai melalui bimbingan agama dan dilatih sebagai pendakwah.


HUJAN lebat diiringi angin bersiul menyebabkan Lautan Hindi bergelora. Feri yang dinaiki Hazzierah Syaffieqah An Nadiah Azlan, 27, terumbang-ambing sementelah cuaca sedikit demi sedikit beransur gelap.
Lampu feri yang terpadam dinyalakan semula tetapi keadaan itu tidak dapat meredakan gelora yang sedang bermain di dalam hatinya.
Tambahan pula, tiada jejak daratan yang mampu dilihat sepanjang perjalanan itu. Air laut yang sesekali menerjah ke cermin feri menyebabkan Hazzierah Syaffieqah An Nadiah yang mesra disapa Hazzierah bersama beberapa penumpang lain sukar melelapkan mata.
Keadaan ombak yang semakin ganas memaksa kapten kapal mengarahkan setiap penumpang duduk di tempat masing-masing. Mendengar arahan itu, Hazzierah kembali ke biliknya yang menempatkan katil dua tingkat.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu bingkas membaluti tubuhnya dengan selimut sambil membaca beberapa potongan ayat suci al-Quran untuk menenangkan hati. Dia memohon semoga misi kemanusiaan membantu saudara baharu Islam di Kepulauan Mentawai bersama pasukannya terlaksana.
Ombak
“Kami bertolak pada pukul 8 malam dari Pelabuhan Teluk Bungus, Padang di Indonesia dan awal-awal lagi sudah dimaklumkan bahawa perjalanan ini memakan masa sehingga sembilan jam.
“Mengikut perancangan awal, kami perlu tiba di Dermaga Muara Pulau Siberut, Kepulauan Mentawai sebelum subuh untuk memberi ruang kepada pasukan sukarelawan berehat. Kami hanya berada di sana selama empat hari bermula hari Isnin hingga Khamis.
“Dalam tempoh itu sebanyak tiga pulau perlu dilawati yang memakan masa tiga jam dengan menyusuri sungai. Namun, dalam keadaan ribut seperti ini, perjalanan mungkin memakan masa selama 12 jam,” katanya yang merupakan sukarelawan Global Peace Malaysia (GPM).
Selain Hazzierah, dua lagi sukarelawan GPM turut terbabit dalam misi mendekati saudara Muslim di Kepulauan Mentawai.
Bagi menjayakan misi itu, pihaknya bekerjasama dengan empat sukarelawan dari Sekolah Perguruan Islam Darul Muwahhidiin dan Dewan Da’wah Indonesia yang berpangkalan di Padang Panjang, Barat Sumatera, Indonesia.
Sejurus tiba di Pulau Siberut, Kepulauan Mentawai, mereka disambut golongan agama di kepulauan itu dan meneruskan misi melawat perkampungan dan pulau yang menempatkan penduduk Islam di situ.
Tepat pukul 7 pagi, mereka tiba di destinasi dan mula mengangkut beberapa kotak yang mengandungi peralatan persekolahan seperti buku, alat tulis dan beg untuk diberikan kepada kanak-kanak di Kepulauan Mentawai.

KEADAAN surau di Kampung Madinah Mangorut yang usang menjadi tumpuan utama penduduk kampung menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.


“Saya difahamkan, penduduk Muslim di sini merupakan pribumi Kepulauan Mentawai. Mereka menampung kehidupan dengan mencari hasil laut dan hutan. Memburu adalah rutin harian bagi memperoleh sumber protein.
“Terdapat kira-kira 80,000 penduduk di kepulauan itu. Pada tahun 1980-an agama Islam berjaya disebarkan ke Kepulauan Mentawai sehingga hampir 80 peratus masyarakat di situ memeluk agama Islam.
“Malangnya, jumlah penganut Islam di kepulauan ini turun mendadak sehingga tinggal 12 peratus sahaja. Lebih buruk apabila mereka tidak pernah menerima sebarang bantuan terutama guru yang pakar mengenai selok-belok agama untuk mendidik mereka,” jelasnya.
Bergelar komuniti minoriti di kepulauan itu, golongan Muslim terdedah dengan aktiviti kemurtadan. Di sebalik faktor kemiskinan, mereka mudah disogok dengan wang dan bantuan. Bagaimanapun, masih wujud saudara baharu yang mempertahankan agama mereka.
Namun, kewujudan Islam di kepulauan tersebut hanya pada nama. Hazzierah menceritakan, menerusi program berkenaan, sukarelawan berpeluang mengenal pasti keperluan yang diperlukan penduduk Islam di Kepulauan Mentawai.
“Walaupun menetap di kawasan pedalaman dan hidup serba kekurangan, mereka mudah didekati. Golongan ini bukan sahaja memerlukan bantuan tetapi sokongan moral daripada saudara seagama,” kata penuntut Sarjana Bioteknologi Mikrob di Universiti Putra Malaysia, Serdang di Selangor itu.
Layan tetamu
Perkampungan sebesar padang bola sepak seluas 0.8 hektar (dua ekar) itu mempunyai sembilan buah rumah panjang yang menempatkan kira-kira 40 penghuni kampung berkenaan.
Hilai tawa kanak-kanak girang yang sedang bermain dilihat berlari tanpa memakai kasut. Kulit mereka kasar tetapi senyuman mereka tidak menggambarkan keperitan hidup yang terpaksa ditempuhi.
Dalam kedaifan itu, mereka tetap menyambut tetamu dengan layanan yang baik. Air kelapa muda bersama sagu menjadi santapan Hazzierah dan pasukannya pada petang itu.
Sepanjang dua jam beramah mesra dengan penduduk setempat, tiada seorang pun wanita di situ yang tidak memakai hijab. Sekiranya tiada tudung, golongan wanita di situ menutup bahagian rambut hingga dada dengan kain.
Sementara itu, 155 kilometer (km) dari Kepulauan Mentawai, sebuah institusi pendidikan agama pengajian Islam giat dibina. Sekolah Perguruan Islam Darul Muwahhidiin (Darul Muwahhidiin) umpama sinar baharu syiar Islam di Kepulauan Mentawai.
Terkumpul Dana

BAHAN binaan pusat pengajian Darul Muwahhidiin disediakan sendiri oleh penduduk kampung Padang Panjang.


Sekolah itu dibina untuk membela nasib anak-anak Muslim di Kepulauan Mentawai melalui bimbingan agama dan dilatih sebagai pendakwah. Sasaran Darul Muwahhidiin ialah melahirkan pendakwah yang mesra dengan masyarakat setempat bagi mengembalikan kegemilangan Islam di kepulauan itu.
Komuniti Muslim di Padang Panjang banyak menyumbang tenaga dan mencari sumber kewangan bagi membantu membina bangunan yang bernilai kira-kira RM20,000 seunit. Pusat pengajian itu menempatkan bangunan seperti surau, asrama dan kelas pembelajaran.
Persatuan Teknologi Makanan (Pertema) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor merupakan institusi pengajian tinggi yang terpanggil untuk membantu pembinaan Darul Muwahhidiin.
Dalam tempoh sebulan sebelum 23 Mei lalu, seramai 14 mahasiswa Fakulti Sains Gunaan (FSG) bertungkus-lumus mengumpulkan dana untuk disalurkan ke projek itu. Aktiviti kutipan derma, sumbangan dan hasil jualan produk dikumpulkan.
Syiar Islam
Diselia oleh Koordinator Program Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan, Dr. Aida Firdaus Muhammad Nurul Azmi merangkap Penasihat Pertema, persatuan itu berjaya membawa RM5,308 ke Padang Panjang bermula dari 23 hingga 27 Mei lalu.
Seorang peserta, Nordalila Diyana Mohd. Rodzi, 22, berharap usaha itu mampu mengembalikan semula syiar Islam kepada golongan Muslim yang murtad di kepulauan.
“Sepanjang mengecat dan menyusun batu-bata, hati saya berdoa semoga suatu hari nanti golongan Muslim di Mentawai kembali ke jalan Allah dan mempunyai pegangan agama yang kukuh,” jelasnya ketika ditemui Kosmo!
Seharian bersama dengan penduduk membina Darul Muwahhidiin, Pertema sempat berkongsi pengetahuan mengenai cara membuat mi kuning.
Ketua Program Misi Kemasyarakatan yang juga Setiausaha Pertema, Nur Hidayah Mohd., 23, memberitahu, pembelajaran itu bertujuan membantu penduduk tempatan untuk menjana pendapatan tambahan atau menghasilkan sumber makanan di rumah dengan kos yang minimum.
“Sebagai mahasiswa yang mahir dalam teknologi makanan, menjadi tanggungjawab kami berkongsi ilmu dengan masyarakat di sini. Sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya yang menambah program itu disertai para isteri masyarakat setempat di Padang Panjang.
Berbeza pula dengan Nadiah Amirah Mohamad, 23, ketepatan menunaikan solat dalam kalangan penduduk di Padang Panjang berjaya mencuri perhatiannya.
“Ketika itu, kami sedang sibuk membina rumah. Para wanita menyediakan makanan manakala golongan lelaki pula mengangkat batu-bata dan bahan binaan.
“Jam telah menunjukkan masuknya solat Zuhur. Sejurus azan dilaungkan, kesemua petugas termasuk golongan wanita meninggalkan kerja masing-masing dan berpusu-pusu menunaikan solat secara berjemaah,” katanya.
Kesemua peserta yang terdiri daripada wanita menjalinkan usahasama erat dengan GPM. Selain dana, Pertema menyampaikan sumbangan 10 naskhah al-Quran, telekung dan kain sarung.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: