SEORANG Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan sistem rawatan air dan sungai menggunakan sistem BioFil iaitu proses rawatan air semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia.
Inovasi yang dihasilkan oleh Prof. Dr. Azni Idris itu menggunakan bio-media cosmoball untuk menyingkirkan bahan organik dan ammonia dalam air secara biofiltrasi.
“Inovasi ini dibuat daripada plastik khas untuk membolehkan pertumbuhan mikrob berkumpul di atas permukaan cosmoball supaya dapat mengurangkan kadar pencemaran organik di dalam air.
“Rawatan air ini berfungsi dengan air yang tercemar melalui fixed bed yang terdiri daripada cosmoball sarat mikrob,” katanya yang merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar.
Menurut beliau, selepas beberapa jam, mikrob itu kemudiannya akan memakan sisa kompleks di sekitarnya sebelum menukarnya kepada karbon dioksida dan air.
Inovasi tersebut tercetus apabila beliau mendapati kebanyakan proses rawatan air menggunakan rawatan kimia yang mahal dan menghasilkan sisa toksik.
Beliau yakin jika rawatan biologi digunakan, proses rawatan air akan menjadi lebih selamat, murah dan mampu digunakan oleh industri penting di Malaysia seperti industri kilang pembuatan, makanan, sektor kumbahan dan projek rawatan air sungai.
Mengimbas penyelidikan yang bermula pada tahun 1990 itu, ia memasuki fasa skala pilot pada tahun 2007 sebelum siap sepenuhnya pada tahun 2009 dengan bantuan beberapa pelajar Kejuruteraan Kimia.
“Rawatan air ini lebih berkesan berbanding rawatan sedia ada kerana ia dapat dihasilkan dalam jangka masa yang pendek dan memerlukan udara yang sedikit untuk proses pengudaraan.
“Rawatan ini juga memerlukan keluasan tanah yang kecil dan berkesan dalam proses penyingkiran ammonia nitrogen,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran dari Universiti Newcastle, England dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar pada tahun 1989.
Sistem Biofil yang dihasilkan sepenuhnya oleh UPM itu turut menjalani ujian makmal di UPM manakala ujian lapangan skala penuh pula dilakukan dengan kerjasama Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.
Melalui usaha beliau, inovasi itu dikomersialkan kepada Pakar Management Technology (M) Sdn. Bhd. pada 2012 dengan termeterainya memorandum perjanjian (MoA) dengan UPM Inovasi Sdn. Bhd dan mempunyai paten MY 127825A untuk versi anarobik.
Beliau berkata, kos inovasi itu dianggarkan bernilai RM8 juta sekiranya dibangunkan untuk kumbahan perbandaran, RM3 juta untuk kilang manakala kos loji rawatan sungai pula boleh mencecah RM20 juta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: