Sunday, December 7, 2014

Pengantin hanya pakai baju kasual, seluar denim


  • Mozil (kiri) bersama Abdul Yunus ketika majlisnya kelmarin.Mozil (kiri) bersama Abdul Yunus ketika majlisnya kelmarin.

PARIT BUNTAR - Santai dan bersahaja. Itulah perlakuan pengantin lelaki apabila hanya mengenakan baju kasual dan berseluar denim serta menjadi penyambut tetamu sepanjang majlis perkahwinannya yang berlangsung di Kampung Parit Sungai Baru Tengah, di sini, kelmarin.

Pengantin Mozil Janudi, 38, yang juga seorang penyampai radio di sini berkata, dia cuba membuat kelainan sempena majlis resepsinya dan dalam masa sama tetamu akan tercari-cari pengantin.

Menurutnya, disebabkan dia hanya berpakaian biasa, ada tetamu menyangka mereka tersalah rumah.

“Ramai tetamu bertanya kenapa saya tidak pakai baju pengantin dan saya memberitahu ingin membuat kelainan supaya wujud suasana lebih ceria,” katanya.

Mozil berkata, dia hanya memakai pakaian pengantin yang ditempah semasa menyambut kunjungan rombongan pengantin perempuan dan upacara makan beradab.

Majlis perkahwinan Mozil bersama isteri Siti Haisah Tukiran, 38, meriah dengan menerima kehadiran lebih 5,000 tetamu.

Tetamu Hamzah Yahaya, 68, berkata, ini kali pertama dia melihat pengantin menyambut tetamu dengan pakaian biasa.

“Saya tidak sangka Mozil mempunyai idea berbeza untuk memeriahkan lagi majlis resepsinya," katanya.

Turut hadir menyerikan majlis tersebut adalah Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: