Friday, December 5, 2014

Pencinta Baharu: Erwan-Adib cipta keserasian


  • Foto Sinar Harian oleh AZAM MOKHTAR

MERASAKAN dirinya bukanlah vokalis sebenar, Erwan Taib menjemput Adib Nahar yang dahulunya dikenali menerusi kumpulan R&B popular, The Fabulous Cat menyertai The Muhibbain pada 2013.

Selaku ketua kumpulan, Erwan memberitahu, penyertaan Adib sangat bertepatan dengan matlamat penubuhan kumpulan apabila mereka berkongsi misi dan yang sama dalam menyampaikan mesej positif kepada semua pihak.

"Sejujurnya, saya sedar saya bukanlah seorang vokalis yang baik. Walaupun pendengar mahukan sesebuah lagu dengan pengisian spiritual tetapi kekuatan dari segi teknikal juga perlu ada.

"Saya berharap dengan gabungan ini akan menunjukkan bakat sebenar kami dari perspektif kesenian sekali gus dapat menghasilkan sesuatu lagu yang lebih segar.

"Lagipun, masing-masing punya nada suara tersendiri, jadi dengan gabungan ini ia memberi satu makna yang baharu," katanya kepada Zass ketika pelancaran album terbaharu mereka, #LoveCintaMahabbah, baru-baru ini.

Bagi Adib atau nama sebenarnya, Abdul Mutalib Nahar pula, keserasian di antara mereka berdua tercipta sejak menghadiri kelas di Majlis Ta’lim Darul Murtadza.
"Keserasian itu datang sebelum saya dijemput menyertai The Muhibbain lagi.

"Sebelum ini, kami ada menghadiri kelas agama yang dikelolakan oleh Al Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid dan bermula dari situ perkenalan di antara kami berdua sudah pun terbentuk," katanya.

Begitu pun, baik Erwan mahupun Adib, kedua-duanya lebih mementingkan keikhlasan dalam penyampaian lagu sekali gus menambah baik nyanyian mereka.

#LoveCintaMahabbah

Dalam perkembangan lain, The Muhibbain yang membawa maksud pencinta baharu saja melancarkan album keduanya, #LoveCintaMahabbah.

Kata Erwan, album ini mempunyai pendekatan yang unik kerana ia tampil dengan variasi lagu yang boleh diterima oleh semua golongan dalam setiap peringkat usia.
"Lagu-lagu dalam album ini lebih segar, catchy dan mesejnya dapat difahami dengan mudah.

"Selain itu, ia juga mengandungi lagu berkaitan sebuah qasidah yang umurnya beratus tahun karangan ulama silam tersohor, Al-Habib Abdullah Alwi Al-Haddad berjudul Qad Kafani dengan penampilan Ahmed Sumait," katanya.

Lebih istimewa, kata Erwan, album ini turut menampilkan beberapa artis seperti Lah Ahmad, Zain Hamid, Taj Addin, Ramli Mohar dan Ahmad Izaham Omar.
"Kami cukup teruja dengan adanya album ini.

"Bukan saja pertambahan daripada anggota baharu tetapi juga dengan label dan dapat bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman.

"Kami berharap agar album ini dapat membawa mesej berguna kepada semua pihak," katanya.

Kata Adib pula, pembikinan album ini mengambil masa hampir dua tahun akibat pelbagai masalah dan ujian yang perlu ditempuhi.

"Biarpun dilanda pelbagai ujian, namun ia memberi kekuatan kepada kami untuk terus berkarya.

"Insya-ALLAH, kami akan terus ikhlas dalam menghasilkan karya yang baik dan berkesan," katanya.

#LoveCintaMahabbah memuatkan 14 lagu seperti Cukuplah Bagiku, Kacamata Cinta, Dengan 2014 dan The Zikir yang diterbitkan oleh Inteam Records Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music.

Ia kini boleh didapati di kedai-kedai muzik terpilih atau secara online di www.inteammobile.com dengan harga RM19.90 selain boleh di muat turun secara digital menerusi portal muzik terkemuka seperti iTunes, Spotify dan Amazon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: