Wednesday, December 3, 2014

Sardin bukan lauk orang miskin


SARDIN yang dimasak bersama cili dan bawang mampu membuka selera.


“Kalau susah-susah masak saja ikan sardin.” Ungkapan ini mungkin tidak asing bagi kebanyakan orang apatah lagi untuk orang bujang atau mereka yang kesuntukan masa untuk memasak.
Malah, ada yang menyimpan stok ikan sardin tin ini untuk tujuan kecemasan jika ada tetamu datang tanpa dirancang.
Memasak ikan sardin ini sama ada yang di dalam tin atau segar sememangnya mudah. Tidak memerlukan banyak bahan. Sama ada dijadikan sambal, dimasak kari atau digoreng bersama bawang dan halia, hidangan ini sudah cukup untuk mengalas perut yang lapar.
Ada juga yang menjadikan ikan sardin ini sebagai inti sandwic atau karipap.
Rakan Facebook (FB), Rosie Hashim memberitahu, untuk menjadikan masakan sardin lebih sedap beliau akan menambah air asam jawa dan hirisan cili merah.
“Masak lemak pun sedap,” tambahnya.
Penulis sendiri berasa nostalgik dengan ikan sardin, ikan yang sering dikaitkan dengan rakyat marhaen.
Membesar dalam keluarga yang ramai dengan gaji bapa yang sederhana, ikan sardin adalah sajian lumrah buat kami adik-beradik.
Untuk menjadikannya banyak, emak akan menambah ubi kentang. Cukuplah makanan pada hari itu.
Ikan sardin segar pada masa itu harganya mungkin kira-kira RM1 sekati (kira-kira 600 gram) dan itu pun boleh berkongsi dengan kucing.
Itu kisah puluhan tahun dahulu. Ketika ini, kalau disebut ikan sardin, ia lebih membayangkan keadaan bas atau tren yang sesak dan padat dengan penumpang.
Anak zaman sekarang pun mungkin lebih mengenali ikan tuna daripada ikan sardin.
Hari ini, kalau nak makan ikan sardin tin mungkin lebih elok beli ayam.
Baru-baru ini penulis membeli setin ikan sardin berjenama. Tin leper yang paling besar harganya mencecah RM9.30 dengan isi tiga tongkol ikan sahaja.
Di sebuah pasar raya lain, harga sardin tin yang sama RM9.99. Teringat minggu sebelumnya beli ayam, sederhana saiz, harganya kira-kira RM10 sahaja.
Nampaknya, ikan sardin bukan lagi semurah semasa saya kecil dahulu.
Imbau kenangan
DI Kyoto, Jepun, ikan sardin menjadi snek yang cukup digemari.


Rakan FB, Eta MT memberitahu, air matanya menitis tatkala mengimbau kenangan makan ikan sardin semasa belajar di menara gading.
“Ikan sardin antara memori yang tak akan dapat saya lupakan semasa belajar dengan rakan seperjuangan,” katanya.
Menurut Eta, yang berasal dari Batu Gajah, Perak, beliau dan lima rakan sebiliknya memasak ikan sardin dalam periuk nasi elektrik dan periuk itu juga digunakan untuk memasak nasi.
“Kami hanya tambah bawang dan cili. Makan dengan nasi panas-panas. Biasanya kami masak sardin ketika kewangan semakin menyusut.
“Kami akan kutip duit, yang ada banyak bagi banyak. Dapat beli ikan sardin pun dah syukur. Ada duit lebih, kami beli telur. Adalah menu tambahan, telur dadar.
“Kami makan berjemaah dan menu sardin menu istimewa kami, Sedap, masya-Allah,” kata Eta dan menambah harga setin pada tahun 1997 ialah sekitar RM2.50 yang mengandungi dua tongkol ikan sardin.
Ikan sardin segar yang pada satu ketika dahulu dibeli hanya untuk habuan kucing pun tidak kurang mahalnya.
Harga ikan sardin segar yang pernah penulis beli sedikit masa dahulu di pasar tani adalah antara RM7 hingga RM9 sekilogram.
Walau apapun, ikan sardin atau nama lainnya pilchard yang ada kaitan dengan ikan herring kaya dengan pelbagai vitamin dan galian.
Istilah sardin dipercayai digunakan orang Inggeris pada awal kurun ke-15 dan mungkin berasal daripada nama Pulau Sardinia di Laut Mediterranean yang dikatakan kaya dengan ikan sardin suatu ketika dahulu.
Ikan ini juga dikatakan hidangan popular di merata dunia termasuk Kanada, Perancis, Itali, Maghribi, India dan Jepun.
Mungkin ini agaknya yang menyebabkan ikan dikaitkan dengan rakyat marhaen semakin mahal harganya.
Meskipun mahal, bagi yang menggemari ikan sardin dalam bentuk apa juga masakan mungkin akan menutup sebelah mata.
Ikan sardin tetap jadi pilihan. Dahulu, kini dan selamanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: