|
SETELAH agak lama menyepi dalam dunia lakonan kerana melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media dan Perfileman di Amerika Syarikat (AS), Juliana Sophie Johari Evans kini kembali ke tanah air bagi mengukuhkan portfolio kerjayanya sebagai seorang pelakon, pengacara dan model.
Siapa sangka selama tiga tahun bertungkus-lumus mengabdikan diri sebagai pelajar di Universiti Western Michigan, AS, Juliana atau lebih mesra disapa sebagai Jue memaklumkan, cintanya terhadap bidang lakonan masih didambakan sehingga kini.
Usai menamatkan pengajian di AS, Jue telah mengikuti program jangka pendek selama enam bulan di Akademi Filem New York yang membuatkan adrenalinnya semakin meluap-luap untuk kembali aktif berlakon di Malaysia.
Bertemu pelakon berusia 25 tahun ini, ada keterujaan yang masih membara dalam kotak hatinya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Sepanjang tiga tahun menetap di negara orang, banyak pengalaman berharga yang saya timba. Di samping mengenali diri dengan lebih mendalam, saya juga mencari kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang bergelar sebagai anak seni.
“Saya mahu kehadiran kali ini dilihat lebih matang tatkala bereksperimentasi dalam dunia seni lakonan,” kata Jue yang baru dua minggu tiba di Kuala Lumpur.
Tambah anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini, cintanya terhadap bidang lakonan masih belum berkubur. Dia mahu memfokuskan kepada pembinaan semula kerjaya seninya selepas beberapa tahun menyepikan diri.
“Saya mengambil keputusan kembali ke tanah air kerana sepanjang berada di AS, ada banyak tawaran menanti di sini. Rugi sekiranya saya tolak peluang yang sudah terbentang di depan mata.
“Selain itu, saya juga mahu mengasah bakat lakonan supaya menjadi lebih baik. Berbekalkan ilmu yang ditimba, saya yakin mampu melangkah lebih jauh dan memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap watak.
“Lagipun, saya sangat rindu untuk kembali berlakon kerana bidang ini banyak melonjakkan nama saya dalam persada seni. Tambahan pula, kerjaya ini memang jiwa saya dari dahulu lagi,” luah wanita berdarah kacukan Melayu-British itu.
Artis naungan
Benarlah kata pepatah Melayu, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah gambaran perjalanan hidup aktres jelita yang memulakan karier dalam industri seni sejak tahun 2001.
Apa tidaknya, kemunculan semula pelakon yang popular menerusi filem remaja, Kami The Movie itu dilamar menjadi artis naungan syarikat pengurusan, Uprising Entertainment.
“Bagi saya, semua yang diterima ini anugerah daripada Yang Maha Esa. Saya bersyukur walaupun sudah tiga tahun tidak melibatkan diri dalam aktiviti seni, namun sehingga kini masih ada yang berminat untuk mengambil saya menjadi artis naungan.
“Uprising Entertainment sudah lama berhajat untuk saya berada di bawah syarikat pengurusannya. Saya percaya dengan pertolongan mereka kemunculan semula saya dalam industri seni akan membantu menaikkan karier saya,” ujar Jue.
Perkembangan Terkini
Menyentuh mengenai perjalanan karier seninya, kepulangan ke negara tercinta sejak dua minggu lalu nyata telah membuahkan hasil. Apa tidaknya, terbaharu wanita yang pernah menjalin hubungan cinta dengan pelawak terkenal, Zizan Razak itu bakal menjalani satu penggambaran filem.
Kata Jue, dia sangat terkejut kerana terdapat produser yang sanggup menunggu kepulangannya dari AS untuk memulakan penggambaran.
“Pada mulanya saya fikir, mungkin orang sudah tidak ingat kepada saya lagi. Bagaimanapun, sangkaan itu meleset apabila sekembalinya di sini, saya menerima beberapa tawaran lakonan.
“Jika tiada aral melintang, pada bulan ini saya bakal menjalani sebuah penggambaran filem berjudul Tujuh Dimensi Alif terbitan Astro Shaw.
Filem tersebut bakal diarahkan oleh Faizal Ishak dan saya bakal digandingkan dengan aktor popular, Izzue Islam.
“Bercakap mengenai pemilihan watak, saya teringin memikul karakter yang lebih berat dan mencabar. Saya mahu menguji kemampuan lakonan saya. Sebagai contoh. menjadi wanita yang berlatarbelakangkan daripada keluarga yang berpecah,” kongsi Jue lagi.
Menurut Jue, selain mengintai peluang lakonan dalam industri seni tanah air, dia juga turut meletakkan sasaran untuk melebarkan sayap di peringkat antarabangsa.
“Ketika saya berada di AS, saya pernah membintangi dua muzik video. Walaupun watak yang ditawarkan itu kecil, namun saya anggap semua itu sebagai titik permulaan untuk mengintai pasaran antarabangsa.
“Saya percaya, pengalaman serta ilmu saya pelajari sepanjang di AS akan digunakan sebaik-baiknya untuk meluaskan prospek kerjaya seni supaya nama saya terus bertakhta di hati peminat,” jelas Jue.
Masih solo
Sebelum mengakhiri sesi temu-bual bersama Jue, penulis sengaja bertanyakan tentang kisah peribadi yang pastinya ramai peminat seni tanah air ingin mengetahui statusnya pada masa ini.
Sebelum ini, anak kelahiran Shah Alam , Selangor itu pernah berpacaran dengan vokalis kumpulan Bunkface, Sam dan naib juara program Raja Lawak musim pertama, Zizan, namun ketika ditebak tentang pertanyaan tersebut, Jue memberitahu, dia masih solo dan belum terfikir untuk menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.
Bagaimanpun, Jue tidak menafikan sepanjang berada di AS dia sering didekati oleh jejaka-jejaka kacak di sana.
“Saya akui ramai mat saleh yang ingin mendekati. Apa tidaknya, mereka seakan tertanya-tanya dari mana saya datang disebabkan wajah saya yang berdarah campuran.
“Sejujurnya saya ada bertemu dengan jejaka yang ingin mendekati hati saya dengan lebih dekat tetapi tidak rasa hubungan tersebut mampu untuk ke fasa seterusnya. Disebabkan itu, saya memilih untuk solo kerana saya mahu lebih fokus kepada pelajaran,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: